≡ Menu

Tahun Ini Ramadhan Berbeza Dari Sebelumnya.


Ketibaan Ramadan ketika COVID-19 melanda dunia tidak memungkinkan umat Islam menyambutnya seperti biasa.

Ramadan tanpa majlis iftar, Tarawih secara berjemaah, beriktikaf dan bertadarus di masjid atau surau pastinya dirasakan janggal.

Begitu juga masjid yang diimarahkan pada Ramadan menjadi sunyi dan sepi. Ini menimbulkan kesedihan tidak terucap.

Namun, perbezaan menyambut kedatangan Ramadan perlu diterima hati terbuka. Agama mengajar kita memelihara kemaslahatan lebih utama, iaitu nyawa yang menjadi perkara daruri.

Nyawa sebagai antara prinsip dipelihara Maqasid Syariah (tujuan syariah). Dengan terpelihara nyawa atau diri, agama yang menjadi satu lagi prinsip dipelihara syariah akan turut terbela.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Penangguhan semua aktiviti ibadat secara berjemaah seperti diputuskan bertujuan memelihara nyawa dan mengelakkan penyebaran wabak.

Institusi fatwa peringkat antarabangsa dan tempatan mengeluarkan pandangan sebagai panduan masyarakat awam.

Antaranya, Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Malaysia, Majlis Ugama Islam Singapura, Hai’ah Kibar Ulama’ al-Azhar al-Syarif, Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, Majlis ‘Ilmi Fiqhi serta Kementerian Waqaf Syria dan Kesatuan Ulama Syam.

Rumusan fatwa dikemukakan itu antara lain, penangguhan ibadah seperti solat berjemaah dan solat Jumaat (yang perlu digantikan solat Zuhur) buat sementara waktu diharuskan dari sudut syarak.

Begitu juga semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau. Ini mengambil kira kemudaratan diakibatkan wabak seperti disahkan pihak berkuasa kesihatan.

Meskipun pelaksanaan solat berjemaah ditangguhkan, azan mesti dilaungkan setiap waktu solat di setiap masjid.

Kedua, penghidap penyakit atau orang yang memiliki simptom wabak diharamkan dari sudut syarak untuk berada di tempat awam atau ke masjid.

BACA:  Kekal Lansing Dan Kulit Berseri Dengan Mengamalkan Ini Dalam Diet Anda

Langkah pencegahan seperti kuarantin dan rawatan perlu diambil untuk memelihara kemaslahatan umum serta mengelakkan penularan wabak.

Tindakan kuarantin seumpama ini pernah dilaksanakan Ibnu Sina ketika wabak Black Death melanda Asia hingga Eropah dan mengorbankan 200 juta nyawa.

Ketiga, dari sudut syarak setiap warganegara bertanggungjawab mematuhi arahan dan panduan dikeluarkan Kementerian Kesihatan bagi mengekang penularan.

Umum mengetahui Islam ialah agama persaudaraan. Oleh itu, prinsip persaudaraan terserlah melalui ibadah disyariatkan seperti solat berjemaah.

Namun, Islam juga menekankan keprihatinan terhadap keselesaan dan kesejahteraan anggota jemaah lain.

Nabi SAW pernah mengingatkan individu yang memakan bawang putih atau merah tidak ke masjid. Tegahan itu bertujuan mengelakkan ketidakselesaan dan gangguan ketika menunaikan solat secara berjemaah.

Jika bau tidak menyenangkan pun ditegah Nabi SAW, apatah lagi membabitkan penyakit dan wabak yang boleh membawa maut.

Fatwa yang dikeluarkan pada peringkat tempatan dan antarabangsa itu juga dapat dijadikan panduan bagi pelaksanaan ibadah yang lazimnya dilaksanakan di masjid sepanjang Ramadan.

Seperti ditekankan dalam fatwa daripada Hai’ah Kibar Ulama al-Azhar al-Syarif, solat berjemaah tidak semestinya di masjid, sebaliknya boleh dilaksanakan di rumah bersama keluarga selagi sekatan perjalanan masih berkuat kuasa.

Keharusan solat berjemaah di rumah, termasuk solat Tarawih pernah dinyatakan ulama Mesir terkenal, Almarhum Sheikh Atiyyah Saqr, iaitu

Beliau berkata, meskipun solat tarawih lebih afdal di masjid kerana ia sebaik-baik lembah di bumi, ia boleh dilaksanakan di kediaman masing-masing kerana hakikatnya bumi Allah SWT seluruhnya masjid.

Ramadan tiba dengan jaminan keampunan dan limpahan rahmat Ilahi pasti lebih bermakna. Inilah peluang untuk bertaubat dan memohon keampunan, sekali gus mendoakan kesejahteraan penduduk dunia agar bebas wabak.

BACA:  4 Kunci Utama Dalam Meraih Hidayah Allah. Hidayah Itu MilikNya, Dan Kita Wajib Mencarinya

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Bazl al-Ma’un fi Fadl al-Ta’un menyebut beberapa tindakan diambil penduduk Mesir ketika dilanda wabak taun pada 449 Hijrah yang mengorbankan 80,000 orang.

Penduduk Mesir berkumpul membaca surah Nuh dan Sahih Bukhari, selain berdoa dengan penuh pengharapan.

Apabila keadaan tidak reda, mereka membaca kunut dalam solat dan doa serta berpuasa. Ini menjadikan jiwa mereka begitu pasrah, khusyuk, tawaduk dan kembali kepada Allah SWT dengan penuh keinsafan.

Imam Ahmad Ibnu Hanbal turut merujuk tindakan Khalifah Umar Abdul Aziz ketika menghadapi gempa bumi, iaitu dengan bersedekah dan berdoa seperti dianjurkan dalam al-Quran: Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami. (Al-A’raf: 23)

Menurut Imam Ahmad, tindakan Umar itu harus diteladani meskipun bentuk musibah berbeza kerana kedua-duanya menimbulkan ketakutan.

Pergerakan terhad tidak menjadi halangan untuk melaksanakan sedekah yang amat digalakkan pada Ramadan. Peluang ternyata luas pada saat ini dan tidak terhad dalam bentuk kewangan.

Dilaporkan, sebahagian masyarakat kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Sudah tentu sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu turut mengukuhkan inisiatif bantuan disediakan kerajaan.

Begitu juga khidmat sukarelawan dan kepakaran yang disumbang bagi membantu pasukan perubatan serta kesihatan dalam usaha menangani wabak.

Bersesuaian dengan Ramadan yang akhirnya ialah kemenangan menundukkan hawa nafsu, semoga akhir jihad menentang COVID-19, kita dikurniakan Allah kemenangan dan keselamatan daripada wabak ini.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel