Tidak dinafikan, korek telinga boleh menghilangkan rasa gatal. Sehingga boleh membuatkan kita khayal seketika dengan kesedapan korekkan tersebut. Tambahan pula, bila ada yang tolong korekkan. Betul tak?
Selalunya, kita akan menggunakan besi atau ‘cotton bud’ untuk mencuci telinga. Tapi dengan menggunakan besi, tidakkah anda terfikir dan risau bahawa ia akan melukakan sel lubang telinga anda? Malah penggunaan putik kapas juga berupaya menyebabkan masalah gangguan pendengaran.
Percayalah, penggunaan putik kapas amat bahaya. Ia telah mengakibatkan lebih daripada 263,000 orang kanak-kanak di Amerika Syarika dimasukkan ke dalam wad kecemasan akibat kecederaan dalam telinga.
Secara amnya, putik kapas hanya akan mendorong tahi telinga untuk ditolak lebih jauh ke dalam dan akhirnya bertimbun sehingga menyebabkan telinga tersumbat, dan kadang-kala ia boleh menyebabkan jangkitan kuman.
Malah, alat-alat untuk korek telinga seperti penggunaan besi juga boleh menyebabkan calar kecil di saluran telinga dan senang untuk dijangkiti kuman. Bahkan ia juga boleh menyebabkan telinga anda rasa sakit.
Jika ada air terperangkap dalam telinga selepas mandi atau berenang. Anda boleh gunakan putik kapas yang lebih halus dan khas disediakan untuk kanak-kanak. Apapun, anda perlulah berhati-hati dan pastikan anda tak menggores telinga dengan putik kapas atau sebarang objek.
Perlukah kita mengorek dan mencuci telinga?
Hampir 73% daripada kecederaan akibat putik kapas adalah berpunca daripada niat untuk membersihkan telinga. Individu yang sering menjadi mangsa adalah bayi yang baru lahir.
Memang tidak dinafikan, mengorek telinga dengan putik kapas umpama satu tabiat dan kita sukar untuk membuangnya.
Persoalannya, perlukah kita mengorek dan mencuci telinga ini?
Pensyarah Kanan dan Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Universiti Sains Malaysia, Dr. Irfan Mohamad menjelaskan, anda tak perlu mengorek dan mencuci telinga!
Mengapa?
Ini kerana telinga boleh membersihkan dirinya sendiri.
Menurut beliau, saluran telinga mempunyai struktur menyerupai rerambut halus di bahagian yang menghala ke luar dan bahagian tanpa rerambut yang letaknya lebih ke dalam yang hampir dengan gegendang telinga.
Ramai antara kita menyangka lilin telinga adalah sebagai tahi telinga. Buat pengetahuan semua, lilin telinga terhasil daripada kelenjar yang terletak di bahagian yang lebih ke luar daripada keseluruhan salur telinga. Ia terhasil daripada proses fisiologi dalam diri manusia dan amaunnya amatlah sedikit
Walaubagaimanapun, majoriti dalam kalangan masyarakat menganggap bahawa lilin telinga ini kotor dan perlu dicuci. Tetapi tanggapan itu salah. Tindakan mengorek telinga hanya akan menyebabkan proses pencucian lilin telinga terganggu.
Anda tidak perlu membersihkan telinga kerana tubuh badan manusia mempunyai mekanisma dalaman untuk membersihkannya sendiri. Di samping itu, rerambut halus yang terdapat dalam saluran telinga juga sebenarnya telah diprogramkan untuk ‘menyapu keluar’ lilin telinga ini.
Jika anda perasan, biasanya kita akan terasa seperti ada debu-debu berhampiran dengan kawasan cuping telinga. Jangan risau, ia merupakan lilin telinga yang secara automatik telah disapu keluar oleh ‘petugas’ yang sentiasa bekerja di dalam telinga kita.
Jadi, apabila tugas mereka diganggu, maka semakin hari semakin banyaklah lilin telinga terkumpul dan terperosok ke bahagian yang lebih ke dalam. Sampai ke suatu tahap, kita akan mengalami gangguan pendengaran yang dikenali sebagai kurang dengar jenis konduktif.
‘Cotton bud’/putik kapas tertinggal dalam telinga
Kes-kes seperti hujung putik kapas terlucut daripada bahagian plastiknya dan tertinggal di dalam lubang telinga memang sering berlaku. Kebanyakkan yang berlaku adalah melibatkan kanak-kanak.
Menurut Dr. Irfan, untuk pengeluaran kapas berkenaan, biasanya memerlukan pemeriksaan mikroskopik manakala putik kapas yang tertinggal diambil keluar dengan menggunakan forsep.
Apabila terlalu banyak lilin telinga yang termampat dan terperosok ke dalam disebabkan oleh selalu menggunakan putik kapas, ia semakin menghampiri gegendang telinga.
Buat pengetahuan semua, gegendang ini berfungsi sebagai penukar daripada tenaga bunyi kepada tenaga getaran atau mekanikal. Hasilnya, akan menyebabkan seseorang itu mengalami masalah pendengaran.
Untuk merawatya adalah dengan menggunakan kaedah rawatan konvensional. Caranya ialah memancutkan air suam ke dalam telinga dengan menggunakan picagari. Bagaimanapun, kaedah ini hanya boleh dilakukan oleh mereka yang terlatih sahaja. Melalui kaedah berkenaan, ia akan membuatkan lilin telinga menjadi sedikit lembut dan lama-kelamaan terkeluar mengikut arus air tersebut.
Bagi sesetengah kes pula, ketulan yang terlalu keras, kering dan mampat akan dilembutkan terlebih dahulu dengan sejenis ubat titis telinga dan selepas itu barulah lilin termampat tadi mudah dikeluarkan. Oleh yang demikian, apabila lilin telinga telah dikeluarkan, biasanya pesakit akan memperoleh tahap pendengaran seperti sediakala, ujar beliau.
Bagaimana untuk mencuci dan membersihkan telingan dengan selamat?
Tapi, jika anda tak mengorek telinga itu langsung, anda pasti akan merasai beberapa kesakitan seperti berdesing, berdengung dan berkerik. Ya, taik telinga sebenarnya boleh berkumpul dengan banyak jika ia tak “jatuh” dengan sendiri.
Selain itu, lebihan taik telinga juga merupakan salah satu punca masalah kehilangan pendengaran. Oleh itu, bagi individu yang banyak taik telinga, anda boleh berjumpa dengan doktor pakar. Doktor akan mengeluarkan serumen dengan mudah menggunakan campuran peroksida dan air. Lalu campuran berkenaan akan disuntik ke dalam telinga. Jangan risau, proses ini tak menyakitkan dan amat berkesan.
Untuk kanak-kanak pula, anda boleh membersihkan telinga mereka dengan menggunakan kain basah. Dan hanya perlu cuci bahagian luar telinga. Perlu diingat, jangan masukkan apa-apa ke dalam telinga mereka!
Tuntasnya, Walau gatal macam mana sekalipun telinga itu, janganlah sesekali dikorek. Baik guna jari apatah lagi cotton bud atau besi. Semoga perkongsian ini membuka mata anda untuk berhenti daripada menggunakan putik kapas atau sebarang objek lain.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel