≡ Menu

Yang Remeh Temeh Mengenai Nafkah, Tapi Kita Malu Untuk Bertanya


 

Soalan 1

Ustaz, saya dan isteri sudah sembilan tahun hidup bersama. Alhamdulillah, hidup kami bahagia.

Isteri saya bekerja sejak berkahwin lagi. Kami mengagihkan tanggungan rumah tangga seperti ansuran rumah, ansuran kereta, belanja dapur, belanja sekolah anak-anak, belanja bil-bil dan lain-lain antara kami berdua. Manakala perbelanjaan keperluan diri seperti pakaian, bil telefon dan lain-lain ditanggung masing-masing. Pendapatan isteri saya setakat ini melebihi perbelanjaan-perbelanjaan ini dan dia masih mampu menyimpan setiap bulan pada jumlah yang agak banyak.

Adakah saya masih wajib memberikan nafkah kepada isteri saya dalam keadaan ini?

Jawapan:

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Suami wajib memberikan nafkah kepada isteri, iaitu untuk memberikan makanan dan pakaian yang mencukupi serta menyediakan tempat tinggal yang sesuai.

Kewajipan ini berasaskan beberapa dalil al-Quran dan sunah.

Antaranya firman Allah:

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

— Surah al-Nisa’ ayat 34

Kepentingan Berbelanja & Mengeluarkan Nafkah Untuk Ahli Keluarga
Membelanjakan harta untuk isteri dan ahli keluarga bukan sekadar satu kewajipan, bahkan merupakan amalan yang sangat disukai oleh Allah Taala

Para suami dan para isteri sewajarnya mengamalkan sikap pemurah dan mengutamakan perbelanjaan untuk keluarga mengatasi perbelanjaan lain.

Ibnu Mas’ud meriwayatkan Rasulullah bersabda:

Apabila seseorang Muslim memberikan nafkah kepada keluarganya kerana mencari pahala, maka hal itu menjadi sedekah baginya

— Riwayat al-Bukhari

Suami wajib membayar nafkah memandangkan kedudukannya sebagai ketua keluarga yang punya tanggungjawab untuk memimpin rumah tangga – termasuklah dalam soal saraan dan perbelanjaan.

Kewajipan nafkah ini diseimbangkan dengan kewajipan isteri untuk taat dan setia kepada suami.

Selain itu, sebahagian daripada tugas yang dibawah amanah suami seperti mendidik anak-anak, menyediakan makan minum dan menjaga rumah dan harta, telah dilaksanakan oleh isteri.

Oleh yang demikian, wajarlah suami memberikan nafkah sebagai memenuhi semangat kasih sayang, rahmat dan keadilan dalam rumah tangga.

BACA:  5 Perkara Yang Anak Anak Belajar Daripada Ayah Yang Soleh

Walau bagaimana pun, nafkah suami kepada isteri menjadi wajib hanya apabila beberapa syarat telah dipenuhi iaitu:

  • Suami tidak dihalang untuk mendekati, berseronok dan berjimak dengan isterinya, melainkan jika terdapat halangan yang telah ditetapkan oleh syarak
  • Isteri tinggal di tempat tinggal yang ditetapkan oleh suaminya, kecuali jika tempat itu mendatangkan mudarat kepada diri, harta atau maruahnya
  • Isteri taat kepada suami dan tidak nusyuz. Misalnya, jika isteri bekerja tanpa izin suami, maka suami tidak wajib membayar nafkah. Bahkan isteri akan kekal dalam keadaan berdosa selama mana keluar bekerja tanpa keredhaan suaminya.

Soalan 2

Memandangkan kami bersama-sama bekerja, adakah saya boleh menganggap agihan yang dipersetujui itu sebagai memenuhi kewajipan saya menyara keluarga?

Jawapan:

Kewajipan suami untuk memberikan nafkah tidak luput kerana isteri bekerja.

Suami tidak akan terlepas daripada kewajipan itu semata-mata dengan membuat agihan perbelanjaan, melainkan jika mengikut agihan itu suami menanggung perkara asasi yang termasuk sebagai keperluan asas. Atau jika isteri secara nyata dan berterusan melepaskan tanggungan suaminya.

Islam menetapkan satu prinsip penting dalam rumah tangga, iaitu berkenaan dengan kedudukan suami sebagai ketua keluarga. Walaupun dari sudut amalannya, suami dan isteri berkongsi hidup, tetapi hakikatnya suami tetap diiktiraf sebagai ketua, bukan sekadar rakan kongsi. Pada zaman ini ramai isteri turut bekerja seperti suami, bahkan ada yang lebih tinggi pendapatannya daripada suami.

Hakikat ini sama sekali tidak mengubah kedudukan suami sebagai ketua. Kedudukan suami sebagai kutua bukan sekadar dilihat dari sudut kuasanya, bahkan yang lebih penting ialah dari sudut amanahnya. Di akhirat nanti, para suami akan ditanya tentang kebajikan dan agama isteri serta anak-anak mereka. Memandangkan isteri juga bekerja, menjadi kebiasaan, perbelanjaan rumah dan keluarga diagihkan antara suami dengan isteri.

Sebenarnya agihan ini dibuat atas timbang rasa isteri. Tanggungjawab hakiki untuk nafkah keluarga tetap di bahu suami. Jika isteri tidak ingin berkongsi pendapatannya, maka suami tidak berhak memaksa atau merampas. Namun begitu, hukum ini tetap tertakluk kepada prinsip bahawa isteri hanya boleh bekerja jika diizinkan oleh suami. Seorang isteri yang bekerja tanpa izin suaminya tidak berhak untuk mendapat nafkah.

Walau bagaimanapun, jika pekerjaan itu tidak menjejaskan tugasnya sebagai isteri, maka haknya untuk mendapat nafkah tidak terjejas. Dalam menentukan soal ini, keperluan isteri bekerja dan agihan perbelanjaan, kedua-dua suami dan isteri mesti mengutamakan muafakat, rahmat dan kasih sayang dalam membuat ketetapan dan persetujuan.

BACA:  Kemarau Panjang Akan Melanda Dunia 2019-2022. Apakah Maksudnya Tanda-Tanda Ini?

Agihan perbelanjaan yang dipersetujui antara suami dengan isteri yang bekerja belum dapat melepaskan tanggungan nafkah suami melainkan jika mengikut agihan itu suami menanggung tiga perkara asas yang termasuk dalam nafkah wajib iaitu tempat tinggal, makan minum dan pakaian. Oleh itu, jalan terbaik bagi menyusun agihan perbelanjaan adalah dengan menetapkan tiga perkara asasi iaitu sebagai tanggungan suami, dan isteri boleh menanggung perbelanjaan lain seperti bil-bil perkhidmatan utiliti, kenderaan dan lain-lain mengikut kerelaannya.

Perlu diingat kadar kewajipan suami dalam tanggungan terhad kepada keperluan asas yang diukur mengikut ‘uruf atau adat dan juga mengikut kemampuan suami bukannya kemampuan isteri. Selain itu, tanggungan nafkah isteri boleh terlepas, jika isteri secara nyata melepaskan haknya untuk menerima nafkah.

Pelepasan begini hanya melepaskan hak semasa dan isteri tetap boleh membatalkan pelepasan hak pada bila-bila masa atas kehendaknya. Walau bagaimanapun, adalah lebih baik bagi para suami untuk mengelakkan pelepasan hak sebegini kerana soal nafkah berkait rapat dengan kedudukannya sebagai ketua keluarga. Isteri yang menerima nafkah mempunyai kecenderungan yang lebih kuat untuk kasih, taat dan setia dengan suami berbanding sebaliknya.

Soalan 3
Saya sebenarnya biasa juga memberikan hadiah atau menolong membayar waktu dia membeli-belah, tetapi tidak pernah memberikannya wang secara khusus untuk belanja makanan dan pakaianya.

Adakah tindakan saya memberi hadiah dan membayar waktu membeli-belah boleh dianggap sebagai nafkah?

Jawapan:

Jika hadiah itu berbentuk pakaian yang menepati keperluan asasnya, maka itu boleh dianggap sebagai sebahagian daripada nafkah.

Walau bagaimanapun, itu belum memenuhi kewajipan lain seperti rumah dan makan minum.

Nafkah asasi yang diwajibkan oleh Islam terdiri daripada tiga perkara iaitu tempat tinggal, makan minum dan pakaian.

Kadar nafkah adalah berasaskan keperluan asas seorang manusia dengan mengambil kira keperluan dan keadaan kewangan suami.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel