≡ Menu

Terkentut Sewaktu Melaungkan Azan? Inilah Dilema Seorang Bilal


Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Apa khabar?. Harapnya ustaz sihat. Saya ada satu soalan. Saya bertugas sebagai seorang bilal di salah sebuah masjid. Ada satu hari tu saya bertugas. Semasa sedang khusyuk melaungkan azan, tiba-tiba saya terkentut. Adakah saya perlu teruskan azan atau berhenti untuk ambil wuduk. Tolong saya ustaz sebab bila terkentut, hilang habis khusyuk saya untuk azan. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Azan merupakan salah satu daripada syiar Islam yang sangat besar. Dari segi syarak ianya bermaskud perkataan yang khusus yang mana ianya dilaungkan untuk memberitahu tentang telah masuknya waktu solat fardu. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Malik Bin Al-Huwairith. Kata beliau :

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

أَتَيْتُ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- أَنَا وَصَاحِبٌ لِى فَلَمَّا أَرَدْنَا الإِقْفَالَ مِنْ عِنْدِهِ قَالَ لَنَا إِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَأَذِّنَا ثُمَّ أَقِيمَا وَلْيَؤُمَّكُمَا أَكْبَرُكُمَا

Maksudnya :” Aku dan sahabatku datang untuk bertemu dengan Nabi SAW. Apabila kami mahu pulang, Rasulullah SAW bersabda Jika masuk waktu solat maka azanlah dan kemudian laungkan iqamah. Biarkan orang yang paling tua dari kalangan kalian yang menjadi imam.”

Riwayat Muslim (1570)

Imam Al-Nawawi menyebut bahawa hadis ini menjadi dalil bahawa wajib untuk sentiasa menjaga syiar azan sama ada ketika bermusafir mahupun berada di kawasan tempat tinggal. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/175)

Walaupun nampak ringan, namun ianya merupakan syiar yang tidak boleh ditinggalkan. Sehinggakan Nabi SAW menggalakkan umatnya untuk menjadi salah seorang yang melaungkan syiar yang mulia ini. Perkara ini dapat dilihat melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Kata beliau bahawa Nabi SAW bersabda :

BACA:  Sewa atas Sewa. Halal Atau Haram Duit Yang Kita Dapat?

لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الْأَوَّلِ ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لَاسْتَهَمُوا وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي التَّهْجِيرِ لَاسْتَبَقُوا إِلَيْهِ وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Maksudnya :”Kalaulah manusia tahu (kelebihan) azan saf yang pertama dan mereka tidak mendapatinya melainkan dengan undian nescaya mereka akan mengundi. Kalaulah mereka tahu kelebihan bersegera menunaikan solat nescaya mereka akan segera menunaikannya. Jika mereka tahu kelebihan solat isyak dan subuh (secara berjemaah) maka mereka datang walaupun secara merangkak.”

Riwayat Al-Bukhari (615) & Muslim (1009)

Ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadikan azan yang dialungkan itu sah. Antara syarat-syarat tersebut ialah :

Islam. Iaitu muazzin mesti seorang muslim.
Berakal
Seorang yang mumayyiz.
Lelaki
Menguatkan suara ketika azan.
Masuk waktu solat
Muazzin tahu tentang waktu solat
Berturutan (Muawalah) di antara kalimah azan.
Mengikut susunan kalimah azan (tertib).
Oleh itu mana-mana syarat yang tidak dipenuhi maka azan tersebut tidak sah.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, jika seseorang terkentut atau terbatal wuduknya ketika melaungkan azan maka azannya tetap sah. Ini kerana bersuci daripada hadas bukan syarat sah azan. Seseorang yang melaungkan azan tanpa berwuduk, azannya tetap sah namun perbuatan tersebut adalah perbuatan yang makruh. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW :

إِنِّي كَرِهْتُ أَنْ أَذْكُرَ اللَّهَ إِلاَّ عَلَى طُهْرٍ

Maksudnya :” Aku tidak suka menyebut nama Allah kecuali aku berada dalam keadaan yang bersih (suci daripada hadas).”

Riwayat Ibnu Hibban (806)

Atas sebab itu, jika seseorang terkentut semasa melaungkan maka teruskan sahaja azan ambil wuduk semula setelah selesai melaungkan azan. Namun, jika dia memberhentikan azan serta merta untuk mengambil wuduk, dia mesti melaungkan azan daripada awal bukan menyambung kembali kalimah azan yang dia berhenti tadi.

BACA:  Ketahui 8 Jenis Makanan Untuk Jantung Yang Sihat Dan Tahan Lama

Imam Al-Nawawi menukilkan perkataan Imam Al-Syafi’i di mana beliau menyebut jika seseorang memulakan azan dalam keadaan dia telah berwuduk kemudian terbatal wuduknya, dia hanya perlu teruskan azannya dan jangan berhentikan azan yang sedang dilaungkannya itu. Namun jika dia berhenti dan pergi mengambil wuduk kemudian kembali untuk melaungkan azan dia boleh menyambung kembali azannya akan tetapi lebih baik dia mula dari awal kalimah azan.

Imam Al-Nawawi kemudian menyambung lagi dengan menyebut bahawa pandangan ashab di dalam mazhab Syafi’i adalah perlu mula semula dari awal kalimah azan bukannya menyambung kembali kalimah yang di berhenti tadi supaya orang ramai tidak menganggap dia bermain-main dengan kalimah azan. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/98).

Begitu juga apabila dia berhenti untuk pergi mengambil wuduk, tidak boleh untuk orang lain menyambung azannya. Al-Khatib Al-Syarbini menyebut :

“Disyaratkan di dalam azan agar ianya dilaungkan oleh seorang muazzin sahaja. Tidak boleh menyambung azan yang dilaungkan oleh orang lain kerana ianya dilaungkan oleh dua orang dan takut-takut akan menimbulkan kekeliruan.” (Rujuk Mughni Al-Muhtaj Ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz Al-Minhaj, 1/136),

Kesimpulannya, jika saudara sedang melaungkan azan kemudian terkentut, azan yang dilaungkan tetap sah. Pergilah berwuduk setelah selesai melaungkan azan. Namun, jika saudara berhenti kemudian pergi untuk berwuduk, laungkan azan bermula dari awal kalimah bukan menyambung semula kalimah ketika berhenti tadi. Begitu juga orang lain tidak dibenarkan untuk menyambung kalimah azan yang terhenti ketika saudara pergi mengambil wuduk.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman di dalam agama-Nya. Wallahu’alam.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel