Ramai daripada ibubapa merungut ketika taska mereka ditutup disebabkan wabak yang berlaku di dalam taska.
Sekarang pula terdapat wabak yang semakin menular di negara kita iaitu Penyakit Kaki, Tangan dan Mulut. Dalam bahasa inggeris dipanggil sebagai Hand, Foot and Mouth Disease(HFMD) dan menyebabkan orang kita panggilnya secara pendek sebagai penyakit HFMD.
Penyakit ini disebabkan jangkitan virus iaitu virus coxsackie dan juga enterovirus. Selalunya pesakit ini akan mengalami demam ringan yang diikuti dengan ruam pada tangan, kaki serta di sekitar mulut. Di dalam mulut pula akan terdapat banyak ulser yang membuatkan seseorang kanak-kanak itu tidak mahu makan.
Masa inkubasi untuk virus ini adalah 3 hingga 5 hari. Maksudnya jika seseorang itu terdedah kepada virus ini, ia mengambil masa 3 – 5 hari untuk simptom HFMD itu datang.
Bagi pesakit yang dijangkiti virus enterovirus pula mungkin akan mengalami simptom muntah dan cirit-birit membuatkan kanak-kanak tersebut lebih mudah mendapat dehidrasi (Kekurangan air) yang boleh menyebabkan kematian.
Bahkan mereka yang dijangkiti penyakit ini mungkin boleh menyebabkan komplikasi yang lain seperti meningoencephalitis (Jangkitan kuman di otak dan selaput otak) dan myocarditis(Keradangan otot jantung). Kedua-dua perkara ini boleh menyebabkan kematian walaupun ia jarang berlaku
Kenapa perlu tutup Taska?
Bahagian ini saya kena jelaskan betul-betul agar ibubapa diluar sana berlapang dada jika pihak pejabat kesihatan datang ke tadika anak anda dan membuat keputusan untuk menutupnya selama 10 hari.
Sebelum itu tuan-tuan, puan-puan semua kena faham definisi wabak bagi penyakit HFMD. Sesuatu taska itu akan dikatakan mempunyai wabak HFMD jika dia mempunyai dua kes HFMD atau lebih yang berlaku dalam satu Masa inkubasi yang sama. (Boleh baca di atas maksud ‘Masa Inkubasi’)
Contoh, jika hari ini seorang kena HFMD. Lepas dari 3 hari kanak-kanak lain dalam taska yang sama kena HFMD. Maka, Taska tersebut diisytiharkan mempunyai wabak HFMD dan akan ditutup selama 10 hari. Dalam 10 hari penutupan tersebut, pihak taska akan diminta untuk membersihkan taska mereka termasuk permainan dan perkakasan yang mereka guna dalam taska
Kenapa kena tutup selama 10 hari?
Untuk memberhentikan sesuatu wabak, kita perlu memutuskan rantaian jangkitan kuman. Disini kita menyatakan bahawa taska adalah tempat jangkitan tersebut berlaku. Jadi kita akan ambil 2 waktu masa inkubasi(5 hari + 5 hari) iaitu selama 10 hari untuk memutuskan jangkitan.
Mana-mana kanak yang menunjukkan simptom HFMD perlu dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
Setelah 10 hari, kita menganggap semua kanak-kanak telah melepasi masa inkubasi. Mereka yang dijangkiti HFMD akan dapat dikesan. Mereka yang tidak dijangkiti penyakit ini sudah tentu bebas daripada jangkitan tersebut.
Dengan itu rantaian penyakit berjangkit ini dapat diputuskan, kanak-kanak lain di dalam taska tersebut tidak akan dijangkiti dan penyakit HFMD dapat dikurang. Jika penyakit HFMD dapat dikurang, maka komplikasi yang saya nyatakan di atas juga dapat dikurangkan
Oleh itu, kerjasama pengusaha taska dan juga ibubapa memainkan peranan penting untuk menurunkan kes HFMD di negara kita.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel