≡ Menu

Subhanallah! Amalan Yang Mengangkat Darjat Ke Syurga. Nak Syurga Tak?


 

RASULULLAH SAW seringkali berpesan agar umatnya sentiasa mengimpikan agar menjadi penghuni syurga Firdaus pada Hari Akhirat kelak. Terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan oleh manusia ketika menjalani kehidupan di dunia yang akan menjamin kedudukan mereka di dalam mencapai darjat tertinggi di syurga. Amalan jihad ke jalan Allah adalah di antara amalan yang harus ada pada diri setiap manusia. Jihad yang dimaksudkan ialah bersungguh-sungguh di dalam memikul tanggungjawab dan menegakkan agama sehingga kemuncaknya apabila menemui ajal dengan syahid di jalan Allah.

Syurga mempunyai 100 tingkat yang dipersiapkan oleh Allah kepada orang yang berjihad demi agama. Di antara satu tingkat dengan tingkat yang lain sejauh di antara langit dengan bumi, dan bermohonlah agar diganjari syurga Firdaus kerana ia adalah tempat yang berada di tengah-tengah tetapi darjatnya merupakan kedudukan yang paling tinggi, di antaranya terdapat Arasy Allah dan memancar daripadanya sungai-sungai syurga. Sebagaimana perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki b. Abdul Rani melalui slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm, tingginya darjat ditentukan oleh kesungguhan yang dilakukan apabila manusia mentaati perintah Allah.

Dirikanlah solat dengan penuh kesungguhan, bersedekahlah dengan keikhlasan, malah jangan sesekali sambal lewa apabila melakukan amal ibadah. Abu Said al-Qudri meriwayatkan Rasulullah SAW pernah bersabda, “Wahai Abu Said, sesiapa yang redha menjadikan Allah sebagai tuhannya, Islam sebagai agamanya dan menjadikan Nabi Muhammad itu nabinya, wajiblah dia dimasukkan ke dalam syurga Allah.” Mendengar keadaan itu, Abu Said meminta agar Baginda mengulang kembali percakapannya itu. Kemudian diulang kembali oleh Rasulullah dan berkata, selain itu Allah juga akan mengangkat darjat hambanya yang taat 100 kali ganda di dalam syurga nanti. Perbandingan di antara satu darjat dengan yang lain sejarak langit dan bumi. Rasulullah juga berkata amalan yang mampu meninggikan darjat manusia di syurga adalah menerusi jihad di jalan Allah dan Baginda mengulangi percakapannya itu sebanyak dua kali.  Sesungguhnya di dalam mengerjakan amal ibadah mampu mendatangkan keletihan dan kepenatan kepada pengamalnya, malah memerlukan kesungguhan untuk melawannya dan inilah disebut jihad dalam beribadah.

BACA:  Tak Pernah Tahu, Suami Pun Sebenarnya Boleh Nusyuz. Suami Sila Ambil Perhatian

Selain itu amalan yang boleh mengangkat darjat manusia ialah belajar untuk menjadi seorang yang tawaduk dan mengelakkan diri dari kesombongan. Semakin merendah diri seseorang itu, semakin tinggi darjatnya di angkat di sisi Allah. Banyakkan membaca dan menghafaz al-Quran juga dapat mengangkat darjat manusia, sebagaimana perlunya manusia untuk makan di dalam kehidupan mereka, maka sebanyak itu jugalah keperluan terhadap amalan membaca al-Quran. Kerana sesungguhnya makan adalah tuntutan untuk jasad yang akan mereput, manakala membaca al-Quran adalah keperluan untuk roh yang akan terus hidup. Di antara kezaliman yang dilakukan ke atas diri manusia sendiri ialah dengan membiarkan dirinya tidak dapat membaca dan mengenali al-Quran. Apabila pengamal membaca al-Quran itu masuk ke dalam syurga nanti, Allah akan berkata kepada mereka, “Bacalah dan naiklah.” Maka dengan setiap satu ayat al-Quran yang dibacanya, akan naiklah satu darjatnya. Dengan hafazan yang dilakukannya juga akan meninggikan darjatnya sehingga selesai semua yang dibacanya.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Amalan menyempurnakan wuduk dan sering ke masjid untuk menunggu waktu solat akan meninggikan darjat manusia di syurga Allah nanti. Pastikan diri sentiasa di dalam keadaan berwuduk kerana perbuatan ini mendekatkan malaikat dengan mereka, malah mampu menghalang diri daripada melakukan maksiat. Selain itu amalan orang yang ketika hidupnya menyambung saf dalam solatnya juga tergolong di kalangan mereka yang akan ditinggikan darjatnya.

Banyakkan zikir kepada Allah kerana amalan ini mampu membantu ketika di syurga nanti. Jadikanlah ia amalan di dalam kehidupan terutamanya di dalam keadaan menghadapi ujian, difitnah, diuji dengan cacian dan makian orang lain atau dikhianati kerana semakin bertambah iman mereka apabila berpegang teguh dengan kepercayaan bahawa memadailah Allah yang menjadi sebaik-baik penjaga di dalam hidup ketika mereka berada di dalam kesulitan.

Sabarlah di dalam menghadapi pelbagai ujian kehidupan kerana ia mampu mengangkat manusia di syurga. Sesungguhnya tidak ada satu perkara pun yang Allah jadikan di dalam hidup manusia kecuali mengetahui mereka mampu memikul bebanan sesuatu ujian itu. Sabar itu juga menandakan usaha untuk keluar daripada keadaan kesulitan yang sedang menimpa dan pada masa yang sama redha dengan ujian Allah. Selain itu sentiasalah berada di dalam keadaan yang mempunyai keinginan yang tinggi untuk menuntut ilmu. Belajarlah untuk sentiasa mencari ilmu pengetahuan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah agar menjadi manusia sering belajar, yang mengajar manusia lain, atau sekadar mendengar. Tetapi elakkan diri daripada tidak melakukan apa-apa pun untuk menambah ilmunya. Semakin bertambah ilmu mereka, maka akan bertambah pula tahap keimanan kepada Allah SWT.

Golongan lain yang diangkat darjatnya di dalam syurga Allah ialah manusia yang mempunyai semangat Islam sehingga ke akhir usianya dan mempunyai tekad yang kuat di dalam beragama, malah segenap aspek di dalam menjalani kehidupan di dunia, disandarkan kepada Islam semata. Selain itu mereka yang memperbanyakkan ibadah tawaf di tanah suci Mekah dijanjikan Allah dengan setiap langkahnya akan ditulis kebaikan, dihapuskan semua keburukannya, diangkatkan darjatnya dan diberikan pahala seperti pahala memerdekakan seorang hamba.

Amalan lain ialah dengan memperbanyakkan sujud kepada Allah kerana setiap orang yang sujud kepada-Nya akan diangkat darjatnya dan menghapuskan dosa-dosanya. Solatlah kerana ia juga merupakan satu bentuk kerehatan bagi orang-orang yang beriman. Perelokkan akhlak agar menjadi akhlak yang mulia kerana ia juga akan meninggikan darjat manusia di syurga nanti.

sumber: ikim

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel