≡ Menu

Solat Subuh Pakai Pakaian Tidur. Ini Hukum Yang Kita Perlu Tahu


Soalan :

Salam ustaz. Saya nak bertanya tentang hukum pakai pakaian tidur kemudian gunakan pakaian yang sama untuk solat. Apa hukumnya ustaz?

Jawapan :

Waalaikumussalam.Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Syarat sah solat 6 syarat. Di antaranya ialah bersihnya badan,tempat solat dan pakaian seseorang itu.Lebih khusus lagi pakaian yang ingin dibawa solat mestilah bersih dari segala najis. Ini berdasarkan firman Allah SWT :

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya :” Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”

(Surah Al-Muddatthir : 4)

Sheikh Abdurrahman Al-Sa’di di dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan juga di dalam ayat tersebut ialah membersihkan pakaian daripada najis. Ini kerana ianya merupakan salah satu kesempurnaan amalan khususnya di dalam solat. Oleh sebab itu diperintahkan untuk membersihkan pakaian daripada segala jenis najis pada setiap waktu khususnya waktu solat.

Rujuk Taysir Al-Karim Al-Rahman Fi Tafsir Al-Kalam Al-Mannan (2/132)

Begitu juga dapat difahami bahawa najis itu perlu dibersihkan daripada pakaian melalui perintah Nabi SAW kepada Khaulah Binti Yasar. Kata Khaulah kepada Rasulullah SAW :

يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ ؟ قَالَ : إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ ، ثُمَّ صَلِّي فِيهِ

Maksudnya :” Wahai Rasulullah, Aku ini tiada pakaian melainkan satu helai sahaja dan aku dalam keadaan berhaid. Macam mana nak buat?. Sabda Rasulullah SAW: Jika engkau telah suci daripada haid, basuhlah pakaian tersebut dan solatlah gunakan pakaian itu.”

Riwayat Abu Daud (365)

Ini menunjukkan bahawa Nabi memerintahkan agar pakaian yang dipakai untuk solat perlu dibersihkan terlebih dahulu daripada segala najis.

Kata Imam al-Nawawi bahawa menurut mazhab syafi’i ialah bersih dan hilangnya najis merupakan syarat sah solat. Jika dia mengetahui adanya najis maka solatnya tidak sah tanpa ada khilaf lagi. Jika dia terlupa atau jahil terhadap najis yang ada pada tubuh, baju dan tempat solatnya maka solatnya juga tidak sah.Tidak kiralah sama ada solat fardu, solat sunat, solat jenazah ataupun sujud tilawahnya. Menghilangkan najis adalah syarat sah bagi kesemua ibadah tersebut. Inilah mazhab para syafi’iyyah, Imam Ahmad dan jumhur para ulama. Sama ada salaf mahupun khalaf.

BACA:  Dua Amalan Sunat Yang Sangat Mudah Selepas Solat Subuh Dan Maghrib.

Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab (3/139)

Sheikh Nawawi Al-Jawi :

“Syarat sah solat yang kedua ialah bersih daripada najis yang tidak dimaafkan (لا يعفى عنها) pada baju iaitu pakaian yang dipakai, bersih najis daripada badan termasuk hidung, mata dan telinganya. Juga bersih najis daripada tempat solat yang mana jika ada najis boleh terlekat pada anggota badan atau pakaian.”

Rujuk Kasyifah Al-Saja Syarh Safinatunnaja (hlm 119)

Ini bermakna bahawa sah atau tidak solat seseorang adalah bergantung kepada syarat ini. Jika ianya tidak dipenuhi atau dituruti maka tidak sahlah solat seseorang itu.

Di antara syarat sah solat yang lain ialah menutup aurat dengan sempurna. Ini berdasarkan teguran Nabi SAW kepada Jarhad ketika mana pehanya terselak di dalam solat. Kata Nabi SAW :

غَطِّ فَخِذَكَ فَإِنَّهَا مِنْ الْعَوْرَةِ

Maksudnya :” Tutuplah peha mu kerana peha itu aurat.”

Riwayat Al-Tirmizi (2798).

Imam Al-Tirmizi mengatakan bahawa hadis ini ialah hadis hasan.

Di dalam riwayat lain menyebut daripada Aisyah bahawa Nabi SAW bersabda :

لاَ يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاَةَ حَائِضٍ إِلاَّ بِخِمَارٍ

Maksudnya :” Allah tidak menerima solat wanita yang haid (iaitu wanita yang telah berlaku) kecuali dengan khimar (penutup kepala).”

Riwayat Abu Daud (641)

Imam Al-San’ani menyebut bahawa penafian dengan huruf lam di dalam hadis tersebut adalah penafian yang membawa maksud tidak sahnya dan terbatalnya solat seseorang wanita jika tidak menutup auratnya.

Rujuk Subul Al-Salam Ila Bulugh al-Maram (14/43)

Kata Imam Al-Nawawi di dalam al-Majmu’ :

“Menutup aurat ialah syarat sah solat. Jika mana-mana bahagian aurat seseorang yang menunaikan solat terdedah, maka tidak sah solatnya.Tidak kiralah yang terdedah itu sedikit atau banyak. Sama ada lelaki atau perempuan. Sama ada solat bersama orang ramai atau bersendirian. Sama ada solat fardu atau solat sunat atau solat jenazah atau tawaf atau sujud tilawah mahupun sujud syukur.”

BACA:  Bolehkah Abang Susuan Menjadi Wali Nikah Adik Perempuan?

Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab (3/172)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, harus menggunakan pakaian tidur untuk solat selagi mana pakaian itu bersih dan suci dari segala najis serta menutup aurat. Ini kerana kaedah mengatakan :

الأَصْلُ فِي الأشْيَاء الطَّهَارةُ

Maksudnya :” Asal bagi sesuatu adalah suci bersih.”

Ini bermakna bahawa mana-mana pakaian, air dan sebagainya itu adalah kekal suci selagi mana tiada bukti tentang kenajisannya. Kata Sheikh Abdurrahman Al-Sa’di :

والأصل في مياهنا الطهارهْ # والأرض والثياب والحجارهْ

Maksudnya :” Asal bagi air kita adalah suci bersih. Begitu juga tanah, pakaian dan batu-batu.” (Rujuk Syarh Manzumah Al-Qawaid Al-Fiqhiyah,hlm 136-137)

Akan tetapi seelok-eloknya gantilah kepada pakaian yang lebih elok dan sesuai. Ini berdasarkan firman Allah SWT :

يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ خُذُوا۟ زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya :” Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang)…”

(Surah Al-‘Araf : 31)

Kata Al-Hafiz Ibnu Kathir di dalam ayat ini terdapat makna bahawa sunnah memakai pakaian yang kemas dan sesuai ketika solat. Terutamanya pada hari Jumaat dan hari raya. Begitu juga digalakkan memakai wangi-wangian dan bersiwak kerana ia juga termasuk dalam maksud berhias dan kedua-duanya itu merupakan satu kesempurnaan.

Rujuk Tafsir Al-Quran Al-‘Azim (2/256)

Kesimpulannya, harus menggunakan pakaian tidur untuk solat selagi mana pakaian tersebut suci bersih dan menutup aurat. Akan tetapi lebih baik memakai pakaian yang lebih elok, kemas dan sesuai. Ini merupakan satu persediaan menghadap Tuhan Yang Maha Esa.

Semoga Allah memberi kita kefahaman di dalam agama-Nya. Wallahu’alam.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel