Tidak dinafikan, ada masanya sesetengah individu mungkin merasa terdesak dan tertekan atas masalah yang dihadapi dalam hidup mereka. Malah anda juga mungkin pernah terfikir untuk membunuh diri apabila berdepan dengan situasi yang terlalu membebankan dalam kehidupan anda. Apa yang perlu dilakukan sekiranya berdepan dengan situasi sedemikian?
Dapatkan bantuan profesional
Keinginan untuk membunuh diri adalah sangat berbahaya; oleh itu, jadi tidak ada guna untuk melawannya sendiri. Dapatkan bantuan perkhidmatan profesional atau pakar. Sebagai alternatif, anda boleh mendapatkan terapi atau berjumpa doktor, malah anda juga boleh pergi ke balai polis yang terdekat jika ia adalah satu kecemasan. Jangan malu untuk mendapatkan bantuan.
Hubungi rakan atau individu yang dipercayai
Apabila anda bersendirian dengan keinginan anda, risiko bunuh diri meningkat dengan ketara. Jangan pendam kerana ia hanya akan menjadikan keadaan lebih buruk. Hubungi seseorang yang anda percayai, kemudian luahkan apa yang anda rasa dengan mereka. Ada masanya, bercakap dengan seseorang yang mengambil berat dan bersedia mendengar dapat menghasilkan perubahan. Teruskan berbual sehingga anda berasa tenang.
Anda mungkin akan berasa malu untuk meluahkan tentang apa yang anda rasa. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa individu yang menyayangi anda pasti tidak akan menghakimi atau melayani anda dengan cara yang berbeza. Mereka pasti akan berasa terharu kerana anda memilih untuk berkongsi luahan anda dengan mereka dan bukan membiarkan sahaja.
Berhenti gunakan dadah dan alkohol
Terdapat sesetengah individu, apabila berdepan tekanan, daripada menghadapinya, mereka memilih untuk melarikan diri dengan mendekatkan diri kepada dadah dan alkohol. Tanpa mereka sedari, dadah dan alkohol tidak mendatangkan sebarang manfaat. Malah penggunaan dadah dan alkohol ini hanya menjadikan keadaan lebih parah dan berbahaya.
Ada juga yang memilih untuk menyalahgunakan narkotik dan ubat-ubatan seperti antidepresen untuk menyingkirkan kebimbangan serta keinginan membunuh diri mereka itu. Tetapi ia hanyalah untuk sementara dan akhirnya akan menyebabkan mereka akan bertambah tertekan.
Jadikan rumah lebih selamat
Apabila berdepan dengan keinginan untuk membunuh diri, idea yang baik adalah menjadikan rumah adalah selamat. Ini bermakna anda perlu menyimpan barang atau objek bahaya seperti pisau pencukur, senjata api dan objek tajam. Anda boleh memberikan kepada seseorang yang anda percayai untuk menyimpannya, membuang atau meletakkan ia di tempat berkunci.
Keingin membunuh diri adalah sangat berbahaya dan individu yang memiliki keinginan seperti ini tidak boleh diabaikan atau dipandang remeh. Adalah lebih baik untuk berkongsi dengan seseorang yang dapat memahami dan boleh menawarkan bantuan apabila anda memerlukannya.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel