Orang sholeh/sholehah pada zaman dahulu, apabila mereka melakukan amalan yang baik, mereka bersusah-payah menyembunyikannya.
Ayyub As-Sikhytiyani (wafat 131H) pernah memberikan satu nasihat yang sangat berharga dalam perbahasan ini. Beliau berkata:
ليتق الله الرجل، فإن زهد فلا يجعلن زهده عذابا على الناس، فﻷن يخفي الرجل زهده خير من أن يعلنه
“Seorang lelaki hendaklah bertaqwa kepada Allah. Jika dia hidup dengan zuhud, janganlah dia menyebabkan orang lain merasakan kesengsaraan daripada zuhudnya itu.
Dia menyembunyikan zuhudnya itu lebih baik daripada dia menzahirkannya. [Lihat: Siyar A’lam Nubala 16/15-26]
Perkataan beliau ini dilaksanakan oleh beliau sendiri. Sallam memberitahu: Ayyub melakukan qiyamullail sepanjang malam tetapi beliau menyembunyikan qiyamullailnya itu. Apabila dekat waktu Subuh, beliau mengangkat suara, seolah-olah beliau baru bangun dari tidur.
Abu Hazim Salamah bin Dinar (wafat 140H) berkata:
اكتم حسانتك كما تكتم سيئاتك
“Sembunyikanlah amalan kebaikanmu sebagaimana kamu menyembunyikan perbuatan jahatmu” [Lihat: Siyar A’lam Nubala 6/96-103]
Al-Khatib Al-Baghdadi meriwayatkan dalam Tarikh Baghdad 10/200 bahawa Abdul Rahman bin Abi Laila melakukan solat (sunat) di rumahnya. Jika ada orang masuk ke rumah, beliau akan berteleku di tilamnya (seolah-olah dia sedang berehat)
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel