≡ Menu

Sedang Orang Barat Kagumi Akhlak Rasulullah, Kita Sibuk Sanjungi Artis Korea! Nauzubillah


PADA ambang akhir zaman ini menyaksikan serangan terhadap Islam jelas lebih berani dan ekstrim, ditambah keruntuhan akhlak dan keperibadian umat Islam yang berjaya dimanipulasi musuh agama ini.

Lebih menyedihkan, Nabi Muhammad SAW yang sewajarnya dijadikan suri teladan setiap Muslim difitnah dan ditohmah dengan pelbagai dakwaan yang turut berpunca kegagalan kita mencontohi kemuliaan akhlak Baginda.

Sabda Rasulullah SAW: Aku tidak diutuskan (oleh Allah) kecuali hanyalah untuk menyempurnakan akhlak mulia. (HR Ahmad)

Sejauh manakah kita sedar pentingnya untuk tidak sekadar mengagumi keperibadian dan akhlak mulia Rasulullah SAW dengan lisan semata-mata, sebaliknya menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.

Penulis dan pendakwah, Hadi Fayyadh, berkata kehidupan tidak dipandu akhlak murni menyebabkan masyarakat akan sentiasa dibelenggu perasaan takut, bimbang serta tidak aman.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

“Jenayah akan meningkat dan nilai kemanusiaan tidak lagi dipandang bahkan nyawa seolah-olah tiada lagi harga dan nilainya.

“Pemimpin pula tidak lagi dipercayai kerana skandal dan salah laku hingga rakyat tidak lagi boleh meletakkan kredibiliti dan harapan sebagai pelindung dan penyelamat,” katanya.

Justeru, Hadi Fayyadh berkata, berbekalkan akhlak mulia seperti ditunjukkan Rasulullah SAW, segala masalah hidup dapat diselesaikan dengan baik.

Beliau berkata, alasan segelintir masyarakat yang menyifatkan mustahil untuk mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW jelas tidak boleh diterima.

Ini kerana sunnah dan kehidupan Rasulullah SAW bersesuaian pada setiap masa hatta dalam gaya hidup moden kerana asasnya ia mengajak kita mengamalkan kesederhanaan dalam apa sahaja situasi.

“Ia tidak sesukar yang disangka tetapi mungkin kita tidak memiliki ilmu dan pendedahan sebenar terhadap Rasulullah SAW hingga ada yang keliru dan tidak faham konsep sebenar akhlak Baginda.

BACA:  Israel TV: Arab Saudi, Mesir memberikan cahaya hijau Trump mengenai Baitulmuqaddis

“Cuba kita belajar dan fahami dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan, maka sifat serta akhlak Baginda akan mudah diikuti dan mampu diteladani,” katanya.

Antara sifat yang perlu diteladani, kata Hadi Fayyadh, ialah pemurah hingga setiap hari, Baginda akan memastikan harta dimilikinya didermakan kepada fakir miskin.

Rasulullah SAW bersabda: Orang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia dan jauh dari api neraka.

Orang kedekut itu jauh dari Allah, jauh dari manusia dan dekat dengan neraka. Sesungguhnya orang bodoh tetapi pemurah itu lebih disayangi Allah daripada abid yang bakhil. (HR Tirmizi)

Mengulas tutur bicara Rasulullah SAW, Hadi Fayyadh menyarankan ada banyak yang mampu kita lakukan kerana kesungguhan untuk menyempurnakannya berkait dengan keikhlasan hati masing-masing.

“Ketika berbicara, Baginda menggunakan ayat ringkas, padat, lengkap dan mudah difahami pendengar.

“Baginda tidak akan bercakap melainkan perkara penting dan terdapat keperluan serta tidak akan meninggikan suara melainkan untuk menyatakan hal benar dan apabila berkait hak Allah SWT,” katanya.

Hadi Fayyadh berkata, akhlak Rasulullah SAW amat luar biasa kerana ia antara perkara paling banyak dibicarakan hatta dalam kalangan musuh Islam.

“Akhlak Rasulullah SAW ialah al-Quran, terpancar sepanjang zaman walaupun sudah lama wafat tetapi masih ramai tertarik dengan Islam kerana terpesona dengan akhlak Baginda.

“Rasulullah SAW sangat mengasihi anak yatim, berlemah-lembut dengan golongan tua, sangat menyintai jiran tetangga dan golongan fakir hingga sanggup berlapar demi berkongsi sebiji kurma walaupun hanya itu yang Baginda miliki,” katanya.

Beliau menambah, pengarang Barat seperti Michael H Hart menobatkan Rasulullah SAW sebagai figura di tempat pertama daripada 100 tokoh manusia paling berpengaruh di dunia.

“George Bernard Shaw menyatakan Rasulullah SAW memiliki peribadi sangat agung dan penyelamat kemanusiaan.

BACA:  Elakkan Makan Kacang Soya Ketika Mengandung. Ini Sebabnya

“Beliau sangat meyakini andai Rasulullah SAW masih hidup dan menjadi pemimpin di dunia moden ini, maka Baginda mampu mengatasi segala permasalahan serta membawa kedamaian serta kebahagiaan yang diperlukan dunia,” katanya.

Menurut Hadi Fayyadh, terlalu banyak sirah Rasulullah SAW yang mempamerkan keindahan akhlak Baginda yang tiada tolok-bandingnya.

“Seorang Arab Badwi pernah menarik kain rida’ yang dipakai Nabi SAW buatan Najran yang kainnya kesat dengan kasar hingga berbekas leher Baginda.

“Namun, Rasulullah SAW tidak marah, sebaliknya menghadiahkan jubah itu kepadanya,” katanya.

Ada juga seorang wanita tua selalu menyakiti Rasulullah SAW dengan meletakkan halangan seperti duri dan najis di jalan yang selalu dilalui Baginda tetapi tidak pernah bertindak balas.

Malah, ketika wanita itu sakit, Rasulullah SAW menziarahi dan menunjukkan kasih sayang terhadapnya.

“Wanita itu terharu dengan kebaikan Rasulullah SAW, lantas memeluk Islam di tangan Baginda,” katanya.

Beliau berkata, jika dihayati setiap kebaikan daripada akhlak Rasulullah SAW, ia wajar menjadi acuan kepada umat hari ini untuk menunjukkan pendekatan dakwah terbaik.

“Kita banyak bercakap daripada bertindak dan gemar menghukum daripada mendidik sedangkan dakwah itu kasih sayang.

“Rasulullah SAW mengajarkan ada ketika perlu berlemah-lembut dan pada waktu tertentu mesti bertegas yang bergantung kepada keadaan,” katanya.

Hadi Fayyadh berkata, akhlak ialah nadi utama dalam pembangunan manusia dan penting kerana mencorak tingkah laku manusia, mencerminkan keimanan dan menentukan kejayaan hakiki sesebuah tamadun.

“Pertimbangan dalam soal pembangunan material tidak mencukupi kerana sudah terbukti banyak tamadun runtuh kerana kerosakan daripada sudut akhlak,” katanya.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel