Rupanya nafkah anak-anak selepas kematian ayah mereka bukanlah jatuh pada tanggungjawab mak semata-mata.Tidak dinafikan,ramai ibu tunggal yang hilang tempat bergantung serta mengalami kepayahan dalam membesarkan anak-anak selepas kematian suami.Ini kerana ramai mak-mak yang beranggapan bahawa tanggungjawab menyara anak-anak ini harus digalas sepenuhnya tanpa mengharapkan bantuan daripada sesiapa.
Mungkin atas faktor tidak tahu menahu mengenai perkara ini atau tidak mahu ‘menyusahkan’ sesiapa, ia mengakibatkan pihak yang sepatutnya menggalas tangungjawab ini ambil sikap ‘lepas tangan’.
Sebenarnya, selepas kematian suami, jika tidak berkemampuan dalam menyara anak-anak dan memerlukan bantuan dalam membesarkan mereka, mak-mak boleh menuntut hak bagi pihak anak-anak mengikut akta Undang-Undang Keluarga Islam. Atas sebab ini jugalah dari segi pemberian faraid bahagian isteri paling sedikit berbanding yang bakal diterima oleh waris yang lain. Mohon hadam perkongsian soal jawab ini yang dipetik daripada page Info Syariah Ini.
Soal jawab 01: NAFKAH ANAK YANG KEMATIAN BAPA
Soalan:
“Saya adalah ibu tunggal yang mempunyai 3 orang anak setelah kematian suami setahun yang lalu. Saya berusaha keras menyara keluarga demi membesarkan anak-anak. Soalan saya, adakah boleh saya menuntut supaya keluarga belah arwah suami saya membantu menyara nafkah anak-anak saya?”
Jawapan:
Tanggungjawab menyara nafkah anak-anak yang kematian ayahnya jatuh kepada datuk (ayah arwah bapa si anak). Jika datuk telah meninggal dunia atau kurang berkemampuan, tanggungjawab tersebut boleh dipikul oleh bapa saudara (adik beradik lelaki arwah bapa si anak) yang berkemampuan.
Failkan kes tuntutan nafkah anak dan masukkan nama mereka (datuk atau bapa saudara) sebagai defendan di mahkamah rendah syariah terdekat.
Mahkamah kemudiannya akan menentukan kadar bayaran nafkah mengikut keperluan si anak dan kemampuan defendan.
Akta undang2 Keluarga Islam WP memperuntukkan;
Seksyen 72. Kewajipan menanggung nafkah anak
(1) Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.
(2) Kecuali seperti tersebut di atas, adalah menjadi kewajipan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak, supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak jika bapa kanak-kanak itu telah mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika dan setakat mana bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka.
Sumber: Info Syariah
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel