
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Wahai para hamba-Ku, tiada kekhuatiran atas kalian pada hari ini dan kalian juga tidak bersedih. (Iaitu) orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami dan mereka dahulu ialah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah S.W.T). Masuklah kalian ke dalam syurga bersama isteri-isteri kalian dalam keadaan gembira. Diedarkan kepada mereka piring-piring daripada emas dan piala-piala, serta di dalam syurga itu terdapat segala perkara yang diingini oleh hati dan sedap (dipandang) oleh mata serta kalian kekal di dalamnya.”
Surah Az-Zukhuf : 68-71
Syurga adalah tempat segala nikmat berkumpul. Segala yang dihajati pasti dapat dicapai. Sifatnya kekal dan tidak binasa.
Destinasi yang pasti bagi mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah S.W.T. Destinasi terakhir yang cukup bermakna dan sangat dinanti.
Mari kita bersama-sama mengetahui 9 fakta menarik tentang syurga yang perlu kita singkapi. Semoga menjadi motivasi kita menempuh ujian di dunia dengan kesabaran dan tanpa keluh kesah.
1- Syurga Sedang Menanti Bakal Penghuninya
“Apabila seseorang meninggal dunia, akan diperlihatkan tempatnya setiap pagi dan petang. Sekiranya dia dalam kalangan ahli syurga, maka syurga akan diperlihatkan kepadanya. Sekiranya dia ahli neraka, maka neraka akan diperlihatkan kepadanya. Diberitahu kepadanya: “Inilah tempatmu sehingga kamu dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat.”
Riwayat Al-Bukhari Dan Muslim
Alangkah beruntungnya mereka yang diperlihatkan dengan keindahan syurga. Namun, betapa sedih dan malangnya mereka yang telah melihat kedahsyatan neraka. Nauzubillah.
2- Syurga Ada Lapan Pintu
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;
“Terdapat lapan pintu di dalam syurga, dan salah satunya ialah al-Rayyan, yang tidak akan dimasuki kecuali orang yang berpuasa.”
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim
Dalam hadis yang lain, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;
“Jika dia daripada golongan yang suka menunaikan solat, dia akan dipanggil dari pintu solat. Golongan yang berjihad akan dipanggil dari pintu jihad. Manakala golongan yang suka bersedekah akan dipanggil dari pintu sedekah. Golongan yang berpuasa pula dipanggil dari pintu al-Rayyan.
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim
Jadi setiap orang ada kebaikan dengan jalannya tersendiri. Janganlah memandang remeh sesuatu amalan walaupun kecil dipandangan mata kita.
3- Inilah Kunci Syurga
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud
“Kunci syurga ialah kesaksian ‘tiada Tuhan selain Allah’”
Riwayat Ahmad
Wahab bin Munabbih iaitu seorang ulama tabiin pernah ditanya;
“Bukankah kunci syurga itu Lailahaillallah?”
Lalu beliau pun menjawab;
“Benar, tetapi bukankah setiap kunci itu ada gigi-giginya. Maka jika kamu membawa kunci yang ada gigi-giginya, maka akan dibuka (syurga) untuk kamu. Jika tidak, tidak akan dibuka.”
Islam mengatakan Allah itu Maha Esa. Tiada tuhan selainNya. Kunci penting membawa kita ke syurga. Selain itu, seiringkan juga amalan lain yang diwajibkan dalam agama. Baru sempurna sifat kuncinya.
4- Masuk Syurga Dengan Rahmat Allah S.W.T
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;
“Tiada seorang pun masuk syurga atau selamat daripada neraka dengan amalannya termasuklah aku melainkan dengan rahmat Allah S.W.T!”
Riwayat Muslim
Rahmat Allah lebih besar dan luas daripada amalan kebaikan kita. Dengan rahmatNya jualah kita dapat merasai nikmat syurga. Amalan kita hanyalah syarat ke syurga.
Oleh itu, jangan berbangga dengan amalan baik kita. Takut nanti amalan menjadi sia-sia dan rahmat Allah pula tidak kunjung tiba. Nauzubillah minzalik.
5- Orang Miskin Masuk Syurga Dahulu
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud;
“Orang Muslim yang fakir masuk ke dalam syurga sebelum orang kaya lebih awal setengah hari bersamaan 500 tahun (di dunia).
Riwayat Ahmad
Dalam hadis yang lain;
“Umatku yang fakir akan masuk ke dalam syurga 40 musim lebih awal sebelum orang kaya.”
Riwayat Al-Tirmizi
Menurut Ibn al-Qayyim;
“Walau bagaimanapun, awal atau lambat seseorang masuk ke dalam syurga tidak menentukan darjat antara ahli syurga. Boleh jadi seseorang yang masuk syurga lambat, darjatnya di dalam syurga lebih tinggi berbanding teman-temannya yang masuk awal.”
6- Nikmat Syurga Paling Indah Dan Agung
“Ketika penduduk syurga masuk ke dalamnya. Allah bertanya: ‘Ada apa-apa yang kamu ingin Aku tambahkan?’
‘Bukankah Engkau telah memutihkan wajah kami, memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami daripada neraka?’
Lalu Allah membuka hijab (sehingga penduduk syurga melihat Allah). Tidak ada satu nikmat pun yang lebih mereka sukai melebihi nikmat menatap Tuhan mereka.”
Riwayat Muslim
Inilah nikmat syurga yang sangat besar yang akan dirasai oleh penghuni syurga. Nikmat yang tidak dapat di dunia kecuali di syurga. Subhanaallah! Beruntungnya mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah.

7- Syurga Pun Ada Pasar Minggu
“Di syurga ada pasar yang dikunjungi ahli syurga pada setiap Jumaat. Kemudian ada angin bertiup yang menerpa ke wajah dan pakaian mereka hingga mereka menjadi semakin cantik dan tampan.
Apabila mereka pulang ke rumah, isteri mereka menegur: ‘Demi Allah, engkau semakin tampan.’
Mereka membalas: ‘Kamu pun semakin bertambah cantik.’”
Riwayat Muslim
Di syurga berbeza dengan di dunia. Di dunia kita semakin hari semakin tua. Di syurga pula, kita semakin nampak cantik dan tampan. Tiada yang buruk di syurga kerana semuanya hanya indah belaka. (Lihat pula fakta yang kelapan. Sungguh menakjubkan).
8- Indahnya Sifat Syurga Dan Penghuninya
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;
“Kelompok pertama yang akan masuk ke dalam syurga adalah golongan yang wajah mereka bak bulan purnama. Kemudian, mereka diikuti oleh orang-orang yang wajah mereka bak bintang yang paling bersinar di langit. Mereka semua tidak buang air kecil, tidak buang air besar, tidak meludah, dan tidak membuang hingus. Sikat mereka diperbuat daripada emas, peluh mereka ialah kasturi, tempat bakaran (kemenyan yang wangi) mereka adalah al-uluwwah – iaitu kayu yang sangat wangi -, pasangan mereka ialah bidadari. Bentuk tubuh mereka adalah bentuk seorang lelaki (saiz mereka adalah sama). Mereka sama seperti bapa mereka, Nabi Adam yang mempunyai ketinggian 60 hasta.’”
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim
9- Sehasta di Syurga Lebih Indah Dari Dunia Dan Isinya
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;
“Tempat sepanjang satu anak panah(satu hasta) di syurga adalah lebih baik daripada segala sesuatu yang matahari terbit dan terbenam padanya (iaitu dunia dan segala isinya).”
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim
Tidak dapat bayangkan betapa indahnya syurga. Itulah nikmat yang hanya dapat dirasai oleh mereka yang menghuni syurga. Tidak mahukah kita ke sana?
Kesimpulan
Alhamdulillah, inilah antara 9 fakta yang cukup membuatkan hati kita mendambakan dan merindui syurga.
Masih banyak lagi fakta lain yang tidak dapat dikongsi di sini kerana perbincangan tentang syurga sangatlah panjang.
Namun, walau 9 fakta ini sahaja sudah membuatkan hati terpesona. Betapa adil dan kasihnya Allah S.W.T kepada hambaNya yang beriman dan beramal soleh.
“Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.”
Surah Al-Baqarah : 82
Marilah bersama-sama kita cintai Allah kerana cintaNya tidak pernah mengecewakan. Dia sentiasa ada bersama kita. Cuma kita sahaja yang melupakanNya. Semoga bermanfaat dan memberi semangat.

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel