≡ Menu

Penipuan Dalam Keikhlasan. Boleh Ke Dalam Islam?


Pada awal Oktober yang lepas, ketika saya dan penumpang bas yang lain sedang bersedia untuk memulakan perjalanan ke Pantai Timur, seorang lelaki naik dan memasuki bas berkenaan dan berdiri di hadapan para penumpang. Dengan penampilan kemas serta berserban, dia memperkenalkan dirinya sebagai seorang ustaz maahad tahfiz dan menyatakan tujuan beliau adalah untuk meminta derma daripada para penumpang, yang akan digunakan untuk tujuan kebajikan bangunan dan pelajar maahad tahfiz berkenaan.

Saya meminta dokumen yang membuktikan beliau mempunyai kebenaran daripada pihak berkuasa untuk meminta derma. Selepas meneliti dokumen berkenaan, ternyata kebenaran yang diberikan oleh pihak Jabatan Agama Islam itu telah pun tamat tempohnya. Saya nyatakan keadaan berkenaan tetapi beliau menunjukkan lampiran lain yang dakwanya adalah pelanjutan tempoh kebenaran untuk meminta derma. Tetapi, lampiran berkenaan pada pendapat saya adalah berbeza dan tidak menyatakan kaitan dengan dokumen induk. Saya membuat kesimpulan pada tarikh berkenaan, “ustaz” tersebut telah menjalankan aktiviti di luar kebenaran pihak Jabatan Agama Islam negeri berkenaan.

Saya juga menjadi tertanya-tanya mengapa selepas saya menegur tentang kekurangan yang terdapat pada dokumen yang ditunjukkan beliau, menyebabkan beliau kelihatan tidak selesa dan nampak gelisah. Dan saya menjadi lebih sangsi terhadap keperibadian “ustaz” ini kerana doa yang dilafazkan bagi tujuan kesejahteraan semua penumpang ketika di sepanjang perjalanan selepas itu, semakin lama menjadi perlahan dan kemudiannya tidak kedengaran. Malah, perkataan-perkataan yang terkandung dalam doa berkenaan yang sempat saya dengar, disebut dengan makhraj yang tidak tepat.

Tujuan saya menegur individu berkenaan adalah untuk menyedarkannya bahawa sebahagian orang awam adalah individu yang peka dan prihatin. Yang tidak bersetuju sekiranya terdapat ruang bagi berlakunya manipulasi terhadap sifat murah hati orang awam. Menjaga maslahah atau kebajikan maahad tahfiz atau bangunan-bangunan yang menjadi tempat melaksanakan ibadah atau aktiviti-aktiviti yang Islamik adalah perkara yang mulia. Maka, keperluan untuk meminta derma bagi tujuan berkenaan harus dibuat dengan betul dan menurut prosedur yang ditetapkan. Pada hemat saya, ia perlu dilakukan dengan sikap yang warak dan terhindar daripada sebarang fitnah. Negara kita memiliki undang-undang dan prosedur tertentu, maka selagi ia tidak melanggar hukum syarak, maka wajib bagi kita untuk mematuhinya.

Saya percaya, pengalaman seperti yang saya lalui ini juga turut dilalui oleh orang lain. Sama ada ketika menjamu selera di restoran, di stesen minyak atau pun di pasar malam fenomena meminta wang ihsan daripada orang ramai berlaku di mana-mana dan semakin berleluasa. Untuk pelbagai tujuan, ia dilakukan dengan berbagai-bagai cara bagi meraih simpati dan ihsan orang awam.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Tidaklah menafikan bahawa sedekah itu merupakan amalan mulia, tetapi pada masa yang sama, kebanjiran peminta sedekah ini turut meresahkan orang awam. Masakan ia tidak menimbulkan keresahan jika di kawasan tempat makan tertentu, individu yang sama akan melakukan aktiviti yang sama pada setiap hari. Dan bukan dengan jumlah yang sedikit.

BACA:  Kalau Sayang Kulit Muka, Jangan Buat 9 Perkara Ini

Sesetengah pihak menyatakan bahawa ia perkara yang memalukan kerana mencemarkan pemandangan terutamanya apabila dilihat oleh pelancong yang datang dari luar negeri. Pada pandangan peribadi saya, jika kita buat analogi dengan negara-negara seperti India dan Indonesia, lebih ramai peminta sedekah di negara-negara tersebut, berbanding dengan negara kita tetapi tetap didatangi pelancong dari seluruh dunia. Oleh yang demikian, pada pandangan saya bukan soal kita perlu menjaga hati pelancong yang datang, tetapi, yang lebih kita sama-sama fikirkan ialah jawapan kepada persoalan, “mengapakah ia semakin berleluasa dan semakin tidak terbendung?”. Adakah, semakin ramai rakyat negara kita yang menjadi miskin? Atau dengan kata lain, kos hidup di negara ini telah naik mendadak sehinggakan ramai yang tidak mampu untuk menjalani kehidupan dengan sempurna, dan keadaan ini mendesak mereka sehingga terpaksa meminta ihsan daripada orang awam? Ataupun, semakin ramai rakyat Malaysia yang kehilangan rasa malu dan tidak rasa apa-apa untuk mengemis atau tidak rasa bersalah untuk memanipulasi sifat ihsan dan pemurah orang-orang kita?

Menginsafi bahawa sedekah itu amalan yang amat mulia, hati-hati yang ikhlas akan mudah untuk memberi golongan yang “terpaksa” merendahkan kedudukan mereka. Amalan bersedekah dapat menyucikan hati dan harta, mendidik jiwa, menghapuskan dosa, melindungi diri daripada panas api neraka di akhirat nanti dan mengelakkan su’ul khatimah pada ketika kematian. Dan mafhum daripada sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim r.a., sedekah juga mempunyai potensi untuk mendidik hati si penerima. Andaikan penerima itu seorang pencuri, sedekah yang diterimanya adalah berpotensi untuk menginsafkan hatinya daripada terus melakukan kesalahan curi. Begitu juga bagi si kaya yang bakhil, sedekah yang diterima juga berpotensi untuk mendidik jiwanya agar menjadi lebih ringan untuk menjadi seorang yang dermawan.

Walau bagaimanapun, setiap manusia mempunyai tahap iman yang berbeza. Apabila tahap iman berbeza, maka begitu juga tahap tawaduk seseorang turut berbeza antara satu sama lain. Justeru itu, fenomena yang berlaku ini dihadapi oleh setiap individu dengan cara dan sikap yang tersendiri. Tidak kurang yang keliru dan kurang yakin untuk menghulurkan bantuan kepada golongan peminta ini.

BACA:  'Lelaki berpakaian wanita itu dilaknat Nabi, walaupun untuk parodi'

Antara pengajaran yang boleh diambil daripada ayat 262 Surah al-Baqarah ialah, adab apabila memberi sedekah adalah tidak mengungkit pemberian berkenaan dan juga tidak mengiringi pemberian berkenaan dengan kata-kata yang menyakiti hati pihak penerima. Selanjutnya, Allah SWT memberi pesanan dalam ayat seterusnya bahawa menolak dengan baik itu adalah lebih baik berbanding dengan memberi sedekah tetapi mengiringi perbuatan berkenaan dengan perbuatan atau perkataan yang menyakitkan hati.

Sebenarnya, bagi tujuan untuk mendirikan bangunan-bangunan yang berkaitan dengan hal-ehwal agama Islam termasuklah masjid, surau dan sekolah-sekolah agama, kebenaran untuk mengutip derma adalah diluluskan oleh majlis agama Islam negeri yang diistilahkan sebagai “kutipan awam” atau “derma khairat”. Dan ini termasuklah bagi tujuan penambahbaikan bangunan yang telah disebutkan. Pihak-pihak dari luar negeri yang juga berhasrat untuk membuat kutipan awam juga harus melalui kebenaran majlis dan permohonan mereka perlu dikepilkan bersama kenyataan oleh pihak kedutaan negara mereka ataupun pesuruh jaya tinggi masing-masing. Pihak yang mendapat kebenaran untuk membuat kutipan derma di tempat awam akan dibekalkan resit yang dikeluarkan oleh pihak majlis. Bagi menjamin bahawa ia bukan manipulasi, resit berkenaan akan mengandungi nombor kelulusan oleh pihak majlis, nombor siri dan sesetengah resit menyatakan ia boleh digunakan untuk rebat cukai. Dengan adanya nombor kelulusan tersebut, orang awam boleh menghubungi terus pihak majlis bagi memastikan wang yang mereka serahkan kepada pihak yang meminta sememangnya bagi tujuan yang telah diluluskan oleh pihak majlis.

Walau bagaimanapun, alangkah baiknya jika sistem pemantauan masjid dan bangunan-bangunan yang melaksanakan aktiviti keislaman ini dipusatkan (centralized) dan bukannya majlis menerima permohonan daripada setiap kariah bagi tujuan pembangunan masjid atau surau dalam kariah berkenaan, tetapi pihak majlis mempunyai autoriti untuk membuat pemantauan secara langsung dari semasa ke semasa. Dan seterusnya membuat penilaian sekiranya terdapat keperluan bagi pembangunan satu-satu kariah. Jika sistem ini diperkemas, sudah tentu ia dapat membendung dan mengurangkan bilangan pihak yang ingin mengutip derma.

Sumber

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel