Soalan:
Apakah hukum penggunaan benang hitam yang dipakaikan kepada bayi yang sering menangis ?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan sahabat baginda, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Menjadi suatu kebiasaan di negara kita, sejak puluhan tahun dahulu sehinggalah pada hari ini, terdapat segelintir ibubapa yang memakaikan benang hitam sama ada di kaki atau di pergelangan tangan bayi mereka yang masih kecil dengan tujuan untuk menjaga bayi dari terkena penyakit ‘ain, gangguan makhluk halus, dan seumpamanya.
Sebelum kami mengulas berkenaan hukum isu ini, suka untuk kami memberikan gambaran asas berkenaan dengan tamimah terlebih dahulu. Ini kerana, menurut pengamatan kami perbuatan tersebut sedikit sebanyak ada hubungkait dengan tamimah.
Di dalam Mukhtar Al-Sihah penulisnya mendefinisikan tamimah sebagai: Pelindung yang digantungkan kepada seorang manusia. Lihat Mukhtar Al-Sihah, Al-Razi (Hlm. 33).
Manakala al-Imam al-Khattabi pula mentakrifkan tamimah dengan katanya: Benang-benang yang golongan Arab terdahulu menggantungkannya kepada anak-anak mereka dengan tujuan untuk mengelakkan penyakit ‘ain menurut sangkaan mereka. Lihat Ma’alim Al-Sunan, Al-Khattabi (4/204).
Imam Ibn Abd Al-Barr Rahimahullah pula mendefinisikan tamimah sebagai: Setiap benda yang digantung di bahagian leher daripada rantai kerana takutkan penyakit ‘ain atau bala-bala selainnya. Rujuk Al-Tamhid, Ibn Abd Al-Barr (17/162).
Berdasarkan beberapa takrifan berkenaan tamimah yang kami kongsikan di atas, maka dapat dilihat hubungkait di antara tamimah dengan benang yang diletakkan di bahagian kaki anak-anak kecil atau di pergelangan tangan mereka. Perkara yang perlu kita perhatikan adalah, apakah hukum syarak berkenaan perbuatan ini ?
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Isa bin Abd al-Rahman bin Abi Laila beliau berkata: Aku pergi menziarahi Abu Ma’bad Al-Juhani dan aku mendapati badannya kemerah-merahan. Lalu aku berkata kepadanya: Tidakkah kamu menggantungkan sesuatu ? Maka beliau menjawab:
الْمَوْتُ أَقْرَبُ مِنْ ذَلِكَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم مَنْ تَعَلَّقَ شَيْئًا وُكِلَ إِلَيْهِ
Maksudnya: Mati itu jauh lebih baik dari perbuatan tersebut. Nabi S.A.W bersabda: Sesiapa yang menggantung sesuatu nescaya dia akan diserahkan kepadanya (benda yang digantung).
Riwayat Al-Tirmizi (2072).
Syeikh Mulla Ali Al-Qari ketika mensyarahkan hadis ini, beliau menukilkan kata-kata Ibn Al-Athir dalam kitabnya: Sesiapa yang menggantungkan sesuatu ke atas dirinya daripada pelindung-pelindung, tamimah, dan yang seumpama dengan keduanya dengan beriktikad bahawa kesemua itu mendatangkan manfaat atau menghalang kemudaratan nescaya dia akan diserahkan kepadanya. Iaitu dia akan dibiarkan bersama benda yang dijadikan pelindung itu dan akan ditinggalkan bersamanya. Lihat Mirqaat Al-Mafatiih, Mulla Ali Al-Qari (7/2882).
Imam Ahmad bin Hanbal juga ada meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ عَلَّقَ تَمِيمَةً فَلَا أَتَمَّ اللهُ لَهُ
Maksudnya: Sesiapa yang menggantungkan tamimah maka Allah tidak akan menyempurnakan buatnya.
Riwayat Ahmad (4/154)
Imam Ibn Abd Al-Barr Al-Maliki apabila mengulas berkenaan isu ini berkata: Apabila seseorang itu beri’tikad bahawa benda yang dia gantung itu dapat menolak penyakit ‘ain maka sesungguhnya dia telah menyangka yang ia dapat menolak takdir (ketentuan).
Demikian juga terdapat sebuah riwayat daripada ‘Imran Bin Husain R.anh bahawa Nabi S.A.W pada suatu hari melihat seorang lelaki yang memakai gelang di tangannya. Lalu Nabi S.A.W bersabda:
مَا هَذِهِ الْحَلْقَةُ ” . قَالَ هَذِهِ مِنَ الْوَاهِنَةِ . قَالَ ” انْزِعْهَا فَإِنَّهَا لاَ تَزِيدُكَ إِلاَّ وَهْنًا
Maksudnya: Gelang apakah ini ? Maka lelaki itu pun menjawab: Ini disebabkan penyakit. Lalu baginda bersabda: Tanggalkanlah ia kerana sesungguhnya ia tidak menambahkan kepadamu melainkan kelemahan.
Riwayat Ibn Majah (3531)
Maka jelas daripada hadis di atas bahawa Nabi S.A.W memerintahkan supaya pemakaian gelang dengan tujuan dan keyakinan bahawa ia dapat menyembuhkan ditanggal dan dijauhkan kerana ia sama sekali tidak dapat memberi manfaat mahupun mengelakkan kemudaratan.
Kesimpulan
Setelah kami menekuni dalil-dalil dan hujah berkenaan isu ini dengan sebaiknya, maka kami berpandangan bahawa hukum pemakaian benang atau tali di tangan atau kaki bayi dengan keyakinan bahawa ia dapat mendatangkan manfaat atau mengelakkan kemudaratan adalah haram. Ini kerana, perbuatan ini bercanggahan dengan akidah yang sejahtera sebagaimana yang telah diajarkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel