Sebuah roket dilancarkan ke atas pekan Sderot, di selatan Israel dari Semenanjung Gaza, malam tadi, namun pihak tentera enggan memberikan butiran lanjut mengenai kejadian itu.
Pengumuman oleh radio awam bagaimanapun menyebut bahawa roket itu gagal untuk meletup dan tidak mengakibatkan sebarang kecederaan, tetapi seorang wanita berusia lingkungan 50an diberi rawatan ringan kerana mengalami kejutan.
Tembakan itu adalah yang ketiga setakat ini dan memasuki malam kedua selepas pengumuman oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berhubung pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Sementara itu di Gaza, dua penduduk Palestin maut dalam pertempuran yang tercetus susulan pengumuman Trump.
Seorang lagi penduduk dilaporkan berada dalam keadaan sangat kritikal selepas ditembak di bahagian kepala semasa pertempuran itu.
Menurut kenyataan dari Kementerian Kesihatan Gaza, 14 penduduk tercedera dalam serangan udara dilancarkan tentera Israel bagi membalas tembakan roket berkenaan.
Tentera Israel mendakwa, kira-kira 4,500 rakyat Palestin terbabit dalam keganasan di enam lokasi di sepanjang sempadan Semenanjung Gaza. – AFP
Sumber:bharian
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel