Fenomena masa kini.
Seakan-akan sudah menjadi trend kebiasaan apabila perempuan-perempuan yang menutup aurat atau berpakaian rapi, membuat kesalahan atau pincang pada akhlaknya, maka akan mendapat kutukan yang kaw-kaw punya dari orang-orang sekeliling. Dan apa yang sungguh sangat meng’whoa!’kan, orang-orang yang mengutuk itu adalah orang Islam itu sendiri.
Maka ayat-ayat seperti;
“Elehh! Nama je pakai tudung. Tapi perangai lebih teruk dari yang tak pakai tudung!”
“Aku bukan nak cakap apalah. Tapi pakai niqob, keluar berdua-duaan dengan lelaki!”
“Pakai tudung tapi ketawa terbahak-bahak. Kalah perempuan tak pakai tudung!”
“Pakai jubah, tertutup semua. Tapi galak sangat dengan lelakinya gayanya!”
“Teruk betul. Kalau macam tu, lebih baik orang yang biasa-biasa saja.”
Biasa dengar ayat-ayat dialog di atas? Senyum.
Alhamdulillah. Saya tidak mengambil dari sudut negatif sahaja, inshaAllah saya akan memandang dari sudut positif jua. Dan diakui, perkara-perkara begini memang terjadi dan memang perlu dibaiki sebenarnya. Siapa yang memperlu memperbaiki? Jawapannya, kita semua! Kita semua perlu membaiki diri sendiri yang banyak pincangnya ini.
Namun, kenap seringkali pakaian yang akan menjadi mangsa? Ada jawapan?
Allah Memuliakan Kaum Perempuan
Jika kita soroti kembali sirah atau pun sejarah pada zaman dahulu kala, atau lebih tepatnya pada zaman sebelum kedatangan Islam, betapa seorang perempuan itu adalah golongan yang dihinakan. Yang selalu ditindas, dan yang selalu seolah-olah adalah makhluk sial. Sehinggakan, pernah menjadi tradisi masyarakat arab jahiliyah untuk tidak menerima anak perempuan dan menanam anak mereka hidup-hidup. Hanya kerana, fikir mereka perempuan itu membawa nasib yang buruk dan langsung tidak membawa tuah.
Jika kita fikir secara logik, bukankah itu tindakan bodoh?
Lalu Allah Ta’ala datangkan Islam melalui utusan-Nya Nabi Muhammad SAW. Mengangkat maruah dan darjat para wanita disisi Islam. Betapa seorang wanita sangat dihormati, dihargai dan dipandang tinggi sehinggakan Allah SWT sendiri menyuruh hamba-Nya patuh kepada ibunya selepas Allah dan Rasul-Nya. Mengutamakan ibunya, seorang wanita.
Dan Allah SWT menurunkan kewajiban untuk menutup aurat kepada kaum wanita, begitu juga kepada kaum lelaki. Namun aurat kaum wanita itu lebih dari kaum lelaki. Maka Allah SWT menurunkan firman-Nya :
“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, “Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya (pakaian) ke seluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Surah al-Ahzab : 59)
Kenapa Allah SWT menyuruh kaum wanita untuk menutup aurat? Untuk mengelakkan gangguan, sekaligus sebagai pengenalan bahawa kita adalah wanita-wanita Muslim, dan kita dimuliakan dengan perintah itu wallahi. Adakah satu kesusahan bagi kita wanita? Tidak, inshaAllah. Bahkan seharusnya kita merasa bertuah dan kita sangat menjunjung perintah Allah SWT itu dengan hati yang gembira. Kerana sebenarnya, Allah SWT hendak menjaga golongan hamba-Nya yang bernama perempuan itu dari sebarang kemudaratan.
Tidakkah kalian merasa hal yang sama, kawan? Senyum.
Akhlak Tidak Selari Dengan Pakaian Menurut Aurat
Saya selalu dengar aduan atau pun rungutan orang, tidak kurang juga mengenai sinisnya pandangan sesetengah masyarakat kepada wanita-wanita yang menutup aurat (inshaAllah), yang mana akhlaknya tidak selari dan seindah dengan pemakaiannya. Maksudnya, mungkin si pelaku buat sesuatu perkara yang tidak manis dan tidak sesuai serta sinonim dengan penampilan diri yang kelihatan sopan. Akhirnya, yang dipersalahkan adalah pakaian.
Sebenarnya, manusia hendak salahkan si pelaku itu sendiri. Namun mungkin kerana keghairahan untuk mencari kesalahan, maka pakaian yang dipakai sempurna menutup aurat itu juga turut terkena tempias. Mereka akan berkata begini, “Kalau dah yang pakai menutup aurat itu pun dah macam tu kelakuannnya, takda gunalah. Baiklah tak payah susah-susah menutup aurat!” Baiklah, itu dari sisi pandangannya.
Beberapa minggu yang lepas, saya menerima persoalan seperti ini di ask.fm.
aurat
Saya sebenarnya secara peribadi, akan pandang dari dua sisi.
Pertama : Pakaian Itu Sendiri
Jika seseorang itu telah memakai baju yang inshaAllah menepati kehendak syara’ seperti tidak jarang, longgar dan tidak ketat, dan yang penting telah menutupi aurat manusia dengan sempurna, maka pakaian langsunglah tidak bersalah. Begitu juga apabila sebaliknya; baju ketat, pendek, jarang.. Maka itu juga tidak menjadikan pakaian yang tersebut itu bersalah. Namun yang bersalahnya adalah si pemakai kepada pakaian tersebut tadi.
Namun saya percaya, pemakaian yang sempurna mengikut ciri-ciri dikehendaki oleh syara’ itu pasti akan membuahkan bunga akhlak yang cantik dan harum. Dan si pemakainya akan terhias dengan malu yang menjadi penyeri dan pendinding diri.
Saya percaya bahawa, sedikit sebanyak pemakaian seseorang itu melambangkan peribadi dia adakalanya. Nah, jika ada kepincangan terhadap akhlak seseorang, mungkin kita patut bertanya kepada diri sendiri — apakah sebenarnya salah kita?
Kedua : Individu Si Pemakai Pakaian Tersebut
Sahabat, jika niat kita hendak menutup aurat kerana taat perintah Allah Ta’ala, maka tahniah inshaAllah anda sedang berjaya melakukannya untuk yang satu ini. Dan jika benar-benar kita hendak mematuhi perintah Allah Ta’ala dengan sungguh-sungguh, bukankah perintahnya mengenai menjauhi maksiat, menjaga diri dan maruah perlu diikuti juga?
Tidak cukup untuk kita meraih perhatian dari Allah sekadar pada perintah menutup aurat, tapi juga kita perlu memikul tanggungjawab untuk menjaga nama lain saudara wanita seMuslim kita yang lain untuk turut menjaga nama baik mereka yang betul-betul menutup aurat kerana Allah dan yang berusaha sungguh-sungguh untuk menjaga maruah diri.
Dimana silap kita dalam membawa imej Islam?
Dan yang penting sekali, apakah niat kita sebenarnya?
Mungkin perlu kita bertanya kepada diri kita kembali —
muhasabah diri;
koreksi diri.
Memang betul, kita semua manusia yang lemah dan selalu buat silap serta banyak terlepas pandang. Namun, sebelum keluar melangkah keluar rumah, pastinya kita semua melihat cermin kan?
Maka ketika melihat cermin tersebut, tataplah dirimu. Dan berbicara dengan dirimu sendiri, “Aku berpakaian yang cantik dan elok serta menutup aurat ini, adakah kerana mahu redha Allah atau mahu meraih pandangan dan pujian manusia?”
Kita Saling Menjaga Nama Baik
Saya pasti ramai yang setuju apabila saya berkata bahawa, apabila kita ke mana-mana dengan hijab tudung di kepala, dengan pakaian sopan yang menutup aurat, maka kita sebenarnya turut membawa nama saudara-saudara seIslam kita yang lain. Ke mana-mana sahaja kita pergi, itulah. Dan yang paling penting sebenarnya adalah ;
kita ini DUTA ISLAM!
Maka beritahukan kepada diri kita, bahawasanya kita sentiasa menjadi contoh buat manusia lainnya. Kerana kita membawa nama Islam. Semoga dengan peringatan demi peringatan kepada diri, membuatkan kita malu sendiri apabila kita ingin membuat sebarang kemaksiatan.
Allah Ta’ala tidak akan memerintahkan sesuatu itu tanpa sebab atau kebaikan. Namun semuanya, dan segalanya adalah dalam pengetahun Allah Ta’ala. Kita yang hamba ini, perlu merendah diri dihadapan-Nya untuk menuruti segala perintah dan larangan-Nya, moga-moga Allah Ta’ala pandang kita dengan pandangan kasih dan kasihan.
Semoga ALLAh merahmati.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel