Keghairahan atau ketaksuban sesetengah individu untuk kelihatan cantik menyebabkan mereka mengetepikan larangan agama.
Kecantikan menurut panduan yang dimaktubkan di dalam Islam bukanlah sesuatu yang salah tetapi ia haruslah mengikut garis yang ditetapkan.
Fitrah seorang individu adalah berkeinginan dan berkemahuan untuk kelihatan cantik dan menarik pada pandangan mata manusia.
Mereka melakukannya untuk kepuasan diri sekali gus ia dapat meningkatkan keyakinan dalam diri mereka.
Tambahan pula, mereka berlumba-lumba untuk mencari petua bagi beroleh kecantikan yang diingini sebagai contoh yang gelap ingin lebih cerah, yang gemuk mahu kurus, yang kurus mahu lebih berisi, yang tua mahu kelihatan lebih muda dan sebagainya
Di dalam dunia yang serba moden ini, kita boleh lihat terdapat pelbagai cara atau kaedah yang telah digunakan individu itu untuk kelihatan cantik dan menarik.
Ketaksuban sebilangan individu itu menyebabkan mereka sanggup menghabisan duit beribu ribu ringgit malah ada yang dapatkan rawatan ke luar negara untuk melakukan perubahan fizikal yang diidamkan.
Allah SWT telah berfirman dalam surat At-Tin 95:4 yang bermaksud,
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan kelengkapan sesuai dengan keadaannya).”
Bagi penggunaan produk kecantikan pula, ia perlu pengesahan yang halal dan tiada unsur syubhah iaitu unsur-unsur yang tidak jelas dan menimbulkan keraguan.
Jika terdapat individu yang menyesal dengan keterlanjuran dalam perubahan yang pernah dilakukan pada wajah dan tubuh ketika sebelumnya dan kemudia ingin merubah ke bentuk rupa yang asal, sekiranya ia memudaratkan maka ia tidaklah perlu dibuang.
Saban tahun, pasti ada produk yang dikeluarkan atau dipasarkan.
Tapi sejauh manakah keberkesanan produk tersebut?
Misalnya kandungan, tahap kualiti, tarikh daftar dan lupus serta pembuatan sesuatu produk itu.
Adakah ia selamat digunakan atau sebaliknya.
Produk-produk tersebut telah menjadi teman setia dan rapat bagi mereka untuk tampil lebih cantik dan menarik pada hari ini.
Selain itu, media massa pada masa kini amat memainkan peranan dalam menyebarkan, menguar-uarkan dan menular di corong radio, siaran televisyen, keratan akhbar dan sebagainya.
Secara tidak langsung, semua faktor ini telah menyumbang kepada lambakan produk tersebut di pasaran.
Justeru itu, kita seharusnya lebih berhati-hati dalam memilih produk yang sesuai.
Jangan sesekali kita mengambil mudah dan ringan dengan iklan-iklan yang disampaikan dalam pelbagai bentuk saluran media massa barangkali ia hanya kata-kata kosong sahaja yang hanya menjanjikan keberkesanan produk mereka secara drastik dan berlebih-lebihan selalunya hanyalah indah khabar dari rupa.
Kita turut dinasihatkan supaya tidak sesekali membeli produk-produk tersebut daripada penjual atau premis yang meragukan seperti di kaki lima, pasar malam dan sebagainya kerana cara penyimpanan produk adalah tidak sesuai dan dikhuatiri boleh mempengaruhi kestabilan dan merosakkan kandungan produk serta bagi mengelakkan daripada akses kepada produk-produk tiruan.
Kemudian, kita juga digesa untuk tidak mudah terpengaruh dengan prosedur produk tersebut yang dihebahkan secara langsung atau tidak langsung sehingga mampu mengubah rupa paras kepada yang lebih cantik.
Sedarkah, bahawa kita telah mengubah ciptaan asal yang dianugerahkan oleh Sang Pencipta.
Terdapat dalil yang berkaitan dengan mengubah ciptaan Allah dalam Hadith, iaitu:
Abdullah bin Mas‘ud berkata: Maksudnya: “Allah S.W.T melaknat orang yang membuat tatu, yang meminta dibuat tatu untuknya, yang mencabut bulu di muka, yang meminta dicabutkan bulu di mukanya dan orang yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang mana mereka semua telah menukarkan ciptaan Allah.”
Akhir kata, kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan produk-produk tersebut yang menjanjikan kesan yang pantas atau menunjukkan kesan dalam jangka masa singkat kerana berkemungkinan produk-produk itu telah dicampur atau palsu dengan bahan-bahan yang tercemar dan terlarang.
Jangan kerana kegilaan itu kita jadi mangsa dan merana seumur hidup.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel