Adakah aqal mempunyai peranan yang sangat besar dalam kefahaman dan pengamalan Islam?
Lazimnya, masyarakat Islam di Malaysia, termasuk sebahagian besar golongan yang digelar sebagai “agamawan,” cenderung untuk memberikan jawapan dalam bentuk yang negatif terhadap soalan tersebut.
Kecenderungan demikian, walau bagaimanapun, bukan pendirian utama para ilmuwan ternama dalam Tradisi Keilmuan Islam.
Yang jelas, ilmuwan-ilmuwan tersebut pada amnya bersepakat dalam menegaskan satu ciri penting Agama Islam, iaitu perihal wujudnya kemuafakatan antara apa yang merupakan tanggapan aqal murni dan apa yang sahih dinaqalkan (atau diriwayatkan) daripada sumber asli Islam.
Pengiktirafan terhadap kemuafakatan sedemikian jelas terjelma pada tajuk dan isi kandungan kitab-kitab utama para alim-ulama Islam, seperti: Ibn Rushd (wafat 594-5H/1198M) lewat karyanya Fasl al-Maqal fi ma bayn al-Hikmah wa al-Shariʻah min al-Ittisal (Kata-Putus Perihal Hubungan antara Ilmu Falsafah dan Ilmu Shariat) dan Ibn Taimiyyah (wafat 728H/1328M) menerusi kitabnya Dar’ Taʻarud al-ʻAql wa al-Naql (Penafian Pertentangan antara Aqal dan Naqal) yang turut dikenali dengan tajuk Muwafaqat Sahih al-Manqul li Sarih al-Maʻqul (Kemuafakatan Perkhabaran yang Sahih dengan Tanggapan Aqal Murni).
Kemuafakatan ini justeru membentuk satu hubungan kesalingan dinamis antara aqal dan naqal yang merupakan lanjutan daripada semangat Islam yang bersifat tawhid (bersepadu-bersatu) serta adil-beradab.
Kemuafakatan sedemikian justeru merangkum pendekatan terhadap pelbagai cabang ilmu, baik yang sharʻi (iaitu yang bersumberkan sharaʻ) mahupun yang aqli (yakni yang berpuncakan aqal).
Hubungan yang bercirikan kemuafakatan tersebut pernah suatu ketika diringkaskan oleh Hujjatul Islam Imam Abu Hamid Muhammad al-Ghazzali (wafat 505H/1111M) lewat pernyataan beliau dalam karya terkenalnya, Ihya’ ʻUlum al-Din: “Majoriti ilmu-ilmu sharaʻ, menurut yang tahu tentangnya, bersifat aqli manakala sebahagian terbesar ilmu-ilmu aqli, menurut yang arif tentangnya, bersifat sharʻi” (wa-akthar al-ʻulum al-sharʻiyyah ʻaqliyyah ʻind ʻalimiha wa-akthar al-ʻulum al-ʻaqliyyah sharʻiyyah ʻind ʻarifiha).
Malah, dalam karyanya yang lain, Maʻarij al-Quds fi Madarij Maʻrifat al-Nafs, Imam al-Ghazzali turut memberikan empat kiasan yang menjelaskan kaitan rapat antara aqal (iaitu: punca ilmu-ilmu aqli) dan sharaʻ (yakni: sumber ilmu-ilmu naqli), kedua-duanya sentiasa berpasangan dalam Agama Islam, yang satu tiadakan dapat berpisah daripada yang lainnya.
Pertama, aqal itu laksana tapak binaan manakala sharaʻ itu seperti bangunan.
Kedua, aqal itu umpama penglihatan sedangkan sharaʻ itu bagai cahaya yang meneranginya.
Ketiga, aqal itu serupa dengan nyalaan pelita sementara sharaʻ itu semacam minyak yang menghidupkannya.
Dan yang keempat, sharaʻ itu aqal daripada luar diri manakala aqal itu sharaʻ daripada dalam diri.
Perkara yang serupa turut dibahaskan oleh Imam al-Ghazzali dalam Qanun al-Ta’wilnya, iaitu sebuah monograf berkenaan dengan peraturan dan kaedah ta’wil yang menyepadukan antara apa yang diaqali (al-maʻqul) dan apa yang dinukilkan (al-manqul).
Justeru, dalam mengemudi kehidupan mereka ke arah meneruskan dan memperkasakan peradaban Islam yang membawa Rahmat kepada sekelian Alam, amat penting sekali untuk Umat Islam kembali memberikan perhatian kepada tunjuk-ajar para sarjana dan ilmuwan Islam tersohor di atas sekaligus benar-benar memanfaatkannya.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel