
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak bersetuju dengan pelaksanaan Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) dalam menguruskan visa umrah. Sistem yang diumumkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu semalam dibatalkan hari ini.
“Saya tidak bersetuju sistem IMAMS dikenakan untuk urusan visa umrah. Pengumuman ianya dibatalkan sangat tepat,” kata Najib melalui akaun Twitter.
Saya tidak bersetuju sistem IMAMS dikenakan untuk urusan visa Umrah . Pengumuman ianya dibatalkan adalah sangat tepat .
— Mohd Najib Tun Razak (@NajibRazak) December 16, 2017
Selepas sehari dilaksanakan, IMAMS batal

SISTEM Pemantauan Pengendalian Pakej Umrah Malaysia (IMAMS) yang baru diumumkan semalam ditangguhkan pelaksanaannya tidak sampai 24 jam selepas penguatkuasaannya hari ini, lapor Utusan Online.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Rashidi Hasbullah dipetik berkata penangguhan itu dibuat berikutan maklum balas orang ramai serta pengendali pakej umrah berhubung sistem tersebut.
Katanya, kementerian akan mengkaji semula kaedah bagi memantau dan mengawal syarikat pelancongan serta pengendali umrah daripada menipu jemaah.
“Sistem IMAMS ini bagus tetapi aspek-aspek kos terlibat perlu diperhalusi kerana kita rasa ia terlampau mahal dan sebagai kita sebagai pihak yang prihatin tidak mahu rakyat terbeban,” katanya, seperti dipetik oleh Utusan Online.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Mas Ermieyati Samsudin melalui Twitter memaklumkan satu sidang media menjelaskan pembatalan pelaksanaan IMAMS akan diadakan petang ini.
Kementerian semalam mengumumkan pelaksanaan IMAMS ke atas semua 65 agensi pelancongan berstatus muasassah dalam usaha memantau dan mengawal syarikat pelancongan serta pengendali umrah dan ziarah daripada menipu para jemaah.
Sistem tersebut merupakan satu-satunya akses rasmi kepada permohonan visa umrah yang akan diproses oleh Konsul Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia, lapor Kosmo.
Menurut Mas Ermieyati melalui twitternya, RM90.10 itu termasuk (RM5.10) Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), RM40 insurans dan RM45 bagi sistem yang digunakan IMAMS.
Perlaksanaan mendapat tentangan beberapa pihak termasuk Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh) yang menyifatkan kadar bayaran tidak berpatutan.
Pengerusinya, Razali Mohd Sham mempersoalkan kadar caj tinggi itu memandangkan sistem yang boleh digunapakai seumpamanya boleh didapatkan secara percuma selain caruman insurans yang lebih murah.
“Bila IMAMS wujud, ia ibarat buka satu kaunter di kedutaan, kena bayar, kemudian cop. Ia ibarat tol Umrah. Kita tidak persoalkan GST kerana duit itu dimiliki kerajaan dan pulangan sampai kepada rakyat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Dalam pada itu, PKR mempersoalkan syarikat IMAMS yang dikendalikan orang bukan Islam,
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution berkata carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat Integrated Manasik Monitoring System Sdn Bhd (IMAMS) terdiri daripada seorang Melayu selaku pengarah dan tiga orang Cina selaku setiausaha.
“Terdapat persoalan yang perlu dijawab, adakah Pegawai Operasi IMAMS bernama Ryan Loh?,” tanya Saifuddin, dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Ryan Loh adalah penama yang menandatangani surat pemberitahuan kepada syarikat pelancongan yang memiliki lesen khas umrah (LKU) mengenai kadar pembayaran permohonan visa bagi jemaah umrah di bawah sistem baru itu. – 16 Disember, 2017.
Sumber: TMI

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel