≡ Menu

Naik Nafsu Syahwat Setelah Berhenti Merokok. Tolonglah Saya Ustaz


SOALAN

Saya memohon petunjuk daripada mufti tentang masalah saya. Saya seorang perokok tegar yang sebelum ini merokok 40 batang sehari. Selepas insaf, saya berhenti secara drastik dan tidak lagi merokok. Namun apa yang berlaku, syahwat saya meningkat secara mendadak sehingga isteri saya tidak lagi mampu melayan kehendak saya untuk bersama kerana terlalu kerap meminta untuk bersama. Saya tidak mampu menahan lagi nafsu saya dan saya terfikir untuk merogol isteri saya apabila dia menolak untuk bersama.

Setelah memikirkan secara rasional saya mula merokok semula demi kebaikan saya dan isteri. Bolehkah Mufti berikan petunjuk dan hukum berkaitan masalah saya?

JAWAPAN

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Merokok adalah suatu tindakan yang telah diharamkan oleh para fuqaha’ sejak dahulu lagi sama ada mengharamkan perbuatan mengambil, menghidu dan memakan sesuatu yang memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia atau mengharamkan secara terus dengan menyebut bahawa rokok adalah haram. Hal ini telah kami sebutkan dan senaraikan dalam banyak artikel kami sebelum ini tentang isu rokok, antaranya:

Hukum Solat Berimamkan Perokok[1]
Merokok: Hukum Dan Penyelesaian[2]
Hukum Penggunaan Rokok Elektronik Vapor[3]
Hukum Menghisap Shisha[4]
Hukum Bekerja Di Kilang Membuat Mesin Untuk Penghasilan Rokok[5]
Hukum Perkahwinan Berwalikan Seorang Perokok[6]
Hukum Merokok Ketika Berpuasa[7]
Isu Merokok Di Dalam Tandas[8]
Di sini kami tegaskan sekali lagi kepada yang bertanya bahawa insafilah dan hayatilah larangan untuk melakukan sesuatu yang membawa kepada keburukan terhadap diri kita berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan

(Surah al-Baqarah: 195)

Jelaslah bahawa Allah SWT memerintahkan kita untuk membelanjakan harta yang diberikan pada tempatnya, dan melarang kita membuat sesuatu yang boleh memberikan keburukan kepada kita.

Kita perlu yakin bahawa Islam itu bukanlah mengharamkan semua perkara secara sewenang-wenangnya, namun mempunyai alasan yang kukuh serta menghalalkan begitu banyak perkara yang dilihat baik dan bermanfaat untuk manusia. Maka, sebagai hamba yang beriman kepada Allah dan Rasul, wajib untuk kita mentaati seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT:

الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الْأُمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِندَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ يَأْمُرُهُم بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَالْأَغْلَالَ الَّتِي كَانَتْ عَلَيْهِمْ ۚ فَالَّذِينَ آمَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنزِلَ مَعَهُ ۙ أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.

(Surah al-A’raf: 157)

Permasalahan ini turut ditegaskan oleh Nabi SAW berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Yahya al-Mazini, bahawa Baginda SAW bersabda:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak boleh memudaratkan diri dan memudaratkan orang lain.

Riwayat Malik (1435) Ibn Majah (2341)

Berdasarkan hadith ini, para ulama’ mengeluarkan daripadanya suatu kaedah fiqh yang cukup besar nilainya iaitu:

. الضَّرَرُ يَزَالُ

Maksudnya: Kemudaratan itu perlu diangkat (dihapuskan).

Berdasarkan kaedah ini dapat kita fahami bahawa syariat sesekali tidak mengizinkan untuk membuat sesuatu yang akan menyebabkan kemudaratan seperti mana yang disebutkan di dalam kaedah di atas, bahawa menjadi kewajipan untuk orang Islam menghapuskan segala perkara yang memudaratkan atau boleh membawa kepada kemudharatan.

Sekiranya kita melihat fatwa-fatwa para ulama’ kebelakangan ini, menunjukkan begitu ramai yang mengharamkan rokok. Hal ini telah kami sebutkan di dalam artikel kami sebelum ini yang bertajuk: Bayan Linnas Siri Ke-18 : Merokok : Hukum Dan Penyelesaiannya[1]. Dalam artikel ini kami sebutkan beberapa fatwa tentang rokok seperti:

Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf (mantan Mufti Mesir) dalam kitabnya Fatawa Syariyyah wa Buhuth Islamiyyah, mengupas hukum merokok itu:
“Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini, dahulunya belumlah dikenali. Apabila tembakau diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, ulama fiqah dari pelbagai mazhab Islam pun membincangkannya untuk untuk menetapkan hukum berdasarkan prinsip(kaedah) yang telah ditetapkan. Mereka mengatakan: “ Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu ialah harus.” Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal(keharusan ini), melainkan adanya perkara-perkara mendatang (luaran) yang mengubah hukumnya menjadi haram dan makruh.”

Al-Imam al-Akhbar Mahmud Syaltut: Syeikh al-Azhar Mesir dalam al-Fatawa Dirasah li Musykilat al-Muslim al-Mu’asir fi Hayatihi al-Yaumiyyah wa al ‘Ammah, (hlm. 384) menyebut mengenai bahaya merokok terhadap kesihatan dan harta:
“Walaupun menghisap tembakau itu tidak memabukkan dan tidak merosakkan akal, namun wujud pelbagai kesan yang membahayakan kepada kesihatan perokok itu sendiri dan juga terhadap orang lain yang tidak merokok.”

Maka, hukum merokok ini tidak dipanjangkan lagi kerana sudah sedia maklum hukumnya adalah haram.

Dalam menjawab persoalan ini juga, kami melihat bahawa perlu difahami tentang adab seorang suami dengan isteri. Walaupun seorang isteri itu telah menjadi halal kepada suaminya, dan suaminya berhak untuk mengadakan hubungan dengan isterinya, namun tidaklah sehingga dibenarkan melakukan kekerasan terhadap isteri. Firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.

(Surah al-Nisa’: 19)

Dalam menerangkan ayat ini Imam al-Qurtubi mengatakan “Yakni bergaul dengan mereka dengan baik pada apa yang diperintahkan Allah.” Rujuk Tafsir al-Qurtubi (5/97)

Kami tekankan bahawa istilah merogol isteri adalah tidak tepat kerana menurut syarak istilah rogol tidak wujud setelah berkahwin. Hal yang sama di dalam undang-undang civil yang mengecualikan kesalahan rogol dalam kes suami yang memaksa isterinya untuk bersama. Hanya yang diperuntukkan di dalam jenayah civil dan syariah adalah kesalahan mendatangkan kecederaan kepada isteri.

Dalam isu ini juga, tidak boleh untuk kita mempraktikkan konsep yang disebut dalam satu kaedah fiqh yang menyebutkan:

ارتكاب أخف الضررين

Maksudnya: “Mengambil yang lebih ringan di antara dua kemudharatan”

Kaedah di atas digunakan apabila berlaku hal darurat dan tersepit di antara dua pilihan sahaja, maka dipilih yang lebih ringan kesannya. Sekiranya ada pilihan yang ketiga atau jalan keluar daripada keluarnya, maka kaedah ini tidak terpakai.

Selain itu dalam isu ini, perlu untuk difahami konsep darurat berdasarkan lima pembahagian berdasarkan bagaimana sesuatu perkara itu dipandang, seperti yang dibincangkan ulama’ qawaid al-fiqhiyah (lihat Idoh al-Qawaid al-Fiqhiyah (79):

BACA:  Antara Mistik Dan Sains. Ini Penjelasan Kena "Tindih" Sewaktu Tidur

al-Darurat Sesuatu perkara yang apabila tidak mengambil sesuatu yang dilarang maka akan menyebabkan kehancuran atau kematian. Seperti orang yang sesat di dalam hutan dan tidak menjumpai makanan lain melainkan khinzir. Maka dibolehkan untuk memakan untuk mengelakkan kematian.
al-Hajat Sesuatu perkara yang sangat diperlukan, namun sekiranya tidak diambil tidak akan menyebabkan kehancuran (kematian). Seperti orang yang kelaparan, namun mampu menahannya sekiranya tidak menemui makanan.
al-manfaat Sesuatu perkara yang diinginkan, seperti seseorang yang ingin memakan roti, daging kambing dan sebagainya.
al-Zinah Sesuatu yang dikehendaki untuk menambahkan keindahan, kesedapan dan sebagainya seperti orang yang inginkan manisan selepas makan, atau seorang yang ingin pakaiannya diperbuat dari sutera.
al-Fudhul iaitu kehendak yang melampau dengan mengambil perkara yang haram atau syubhah seperti orang yang memakan dengan mengunakan piring emas.
Kesimpulan

Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami katakan dalam kes ini, tidak boleh digunakan kaedah memilih salah satu daripada dua, sama ada bertindak memaksa isteri hingga menyebabkan kecederaan apabila isteri menolak untuk bersama kerana terlalu kerap, ataupun merokok kembali.

Tindakan memilih untuk merokok kembali adalah suatu kesalahan disebabkan tindakan itu tidak berdasarkan darurat. Seperti yang disebutkan di atas, sesuatu yang haram hanya dibolehkan apabila dengan tidak merokok akan menyebabkan kematian.

Pihak kami telah merujuk pengamal perubatan daripada Hospital Kuala Lumpur untuk memahami lebih lanjut tentang kes ini. Maka, kami dapati dalam isu ini, ini adalah jalan keluar yang perlu dilakukan segera dengan pergi ke klinik yang menyediakan khidmat berhenti merokok dan memberitahu kepada doktor perkara yang berlaku. Pilihan yang ketiga ini sekaligus membatalkan dua pilihan yang dilihat oleh yang bertanya.

Kami juga mendapati terdapat begitu banyak ubat-ubatan yang boleh membantu seseorang dalam mengawal syahwat, berdasarkan sebuah artikel kesihatan yang bertajuk: Low Libido? 11 Drugs That Affect Your Sex Drive[2]. Maka kami yakin dan pasti, klinik berhenti merokok akan membantu sesiapa sahaja yang bertanya atau mana-mana ahli masyarakat yang turut menghadapi masalah ini.

Kami juga mengajak semua umat Islam yang berusaha untuk berhenti daripada merokok dengan meningkatkan amalan kerohanian seperti memperbanyakkan istighfar, dan mengamalkan doa-doa yang baik seperti yang diajarkan oleh Nabi SAW, antaranya yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Ash’ari:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي خَطِيئَتِي وَجَهْلِي وَإِسْرَافِي فِي أَمْرِي وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي جِدِّي وَهَزْلِي وَخَطَئِي وَعَمْدِي وَكُلُّ ذَلِكَ عِنْدِي اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ وَأَنْتَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: Ya Allah, ampunilah kesalahan dan kejahilanku, Dan berlebih-lebihanku dalam urusanku, dan apa yang Engkau lebih tahu tentangnya daripadaku.Ya Allah, ampunilah apa yangku lakukan, yang sungguh-sungguh mahupun yang tidak, yang tidak sengaja dan yangku sengajakan, dan semua itu ada dariku.Ya Allah, ampunilah aku apa yang berlalu mahupun yang akan aku lakukan, apa yang aku sembunyikan dan apa aku tampakkan, dan apa yang Engkau lebih tahu tentangnya dariku, Engkau adalah Maha Mendahulukan, dan Engkau Maha Mengakhirkan, dan Engkau Maha kuasa atas segala sesuatu.”

Riwayat Muslim (2719)

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel