≡ Menu

Mengiringi Jenazah Kawan Yang Bukan Islam, Ini Hukumnya


Soalan:

Apakah hukum seorang muslim mengiringi jenazah bukan Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga baginda ﷺ, sahabat baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda ﷺ.

Perlu diketahui bahawa di dalam permasalahan ini, tiada dalil yang qat’ie menjadi pemutusnya. Disebabkan oleh itu, para ulama’ telah berselisih pendapat di dalam isu ini. Zahirnya, ada yang membenarkannya dan ada juga yang menegahnya. Kami nukilkan di sini pendapat-pendapat yang dibincangkan di dalam kitab fiqh mengenai permasalahan ini, antaranya:

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Pertama: Pendapat Yang Membenarkan
Pendapat yang membenarkan ini berdalilkan athar salaf al-soleh para Sahabat Nabi ﷺ dan juga tabi’en Radhiallahu ‘anhum. Antaranya:

Sebahagian para sahabat pernah mengiringi jenazah ibu al-Harith bin Abi Rabi’ah yang mana beliau adalah seorang nasrani (kristian). Ini berdasarkan sebuah riwayat oleh al-Imam Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani di dalam kitabnya, al-Aathar (2/178) dan ianya juga adalah zahir dari pendapat al-Imam Abu Hanifah Rahimahullah:
أَنَّ الْحَارِثَ بْنَ أَبِي رَبِيعَةَ مَاتَتْ أُمُّهُ النَّصْرَانِيَّةُ، فَتَبِعَ جَنَازَتَهَا فِي رَهْطٍ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. قَالَ مُحَمَّدٌ: لَا نَرَى بِاتِّبَاعِهَا بَأْسًا، إِلَّا أَنَّهُ يَتَنَحَّى نَاحِيَةً عَنِ الْجَنَازَةِ، وَهُوَ قَوْلُ أَبِي حَنِيفَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ

Maksudnya: Sesungguhnya al-Harith bin Rabi’ah telah kematian ibunya seorang nasrani. Maka diikuti jenazahnya sekumpulan dari sahabat Nabi ﷺ. Telah berkata Muhammad al-Syaibani: “Aku tidak melihatnya (mengikuti jenazah) sebagai suatu kesalahan kecuali jika ianya memberi ruang satu sudut daripada jenazah dan ianya adalah pendapat Abu Hanifah RA.

Telah berkata al-Sya’bi Rahimahullah:
مَاتَتَ أُمُّ الْحَارِثِ بْنِ أَبِي رَبِيعَةَ، وَكَانَتْ نَصْرَانِيَّةً، فَشَيَّعَهَا أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. قَالَ الثَّوْرِيُّ فِي بَعْضِ الْحَدِيثِ: إِنَّهُ كَانَ يُؤْمَرُ أَنْ يَمْشِيَ أَمَامَهَا

Maksudnya: Telah meninggal dunia ibu kepada al-Harith bin Abi Rabi’ah, yang mana ibunya itu adalah seorang nasrani (kristian). Maka telah mengiringi sahabat-sahabat Nabi ﷺ. Telah berkata al-Thauri Rahimahullah dalam sebahagian hadith: “Sesungguhnya mereka diarahkan berjalan dihadapan (jenazah tersebut)”.

Musannaf Abdul Razak al-Son’ani (9926)

Begitu juga dengan riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (11842) namun dengan sidikit lafaz yang berbeza namun membawa maksud yang sama.

BACA:  Elakkan perkara khurafat, Kerajaan Saudi larang jemaah umrah/haji melawat 6 tempat ini

Daripada Abi Wael, telah berkata beliau:
مَاتَتْ أُمِّي وَهِيَ نَصْرَانِيَّةٌ فَأَتَيْتُ عُمَرَ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ: ارْكَبْ دَابَّةً وَسِرْ أَمَامَهَا.

Maksudnya: Telah meninggal dunia ibuku dan beliau adalah seorang nasrani (kristian). Maka aku mendatangi Umar RA dan memberitahunya. Maka telah berkata Umar RA: “Ambillah kenderaan dan berjalanlah dihadapannya (jenazah tersebut).

Musannaf Ibn Abi Syaibah (11844)

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkannya di dalam kitabnya al-Majmu’ bahawa al-Imam al-Syafi’e Rahimahullah di dalam Mukhtasar al-Muzani dan juga ashab-ashab yang lain mengatakan dibolehkan bagi seorang muslim untuk mengiringi jenazah kerabatnya yang kafir dan begitu juga menziarahi kubur mereka. [Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr, 5/144]
Begitu juga pendapat yang membenarkan untuk mengiringi jenazah bukan Islam adalah berdasarkan qiyas kepada dibenarkan untuk mengiringi jenazah kerabat yang bukan Islam. Ini sepertimana yang telah dinukilkan oleh al-Imam Shamsuddin al-Ramli Rahimahullah di dalam kitabnya Nihayah al-Muhtaj. Beliau menyebut termasuk di dalam dibenarkan untuk mengiringi jenazah bukan Islam termasuklah jiran tetangga yang bukan Islam, maula (hamba) dan ianya diqiyaskan dengan keharusan menziarahi mereka. [Lihat Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, 3/23]

Kedua: Pendapat Yang Tidak Membenarkan
Pendapat yang tidak membenarkan umat Islam untuk turut serta mengiringi jenazah bukan Islam menggunakan dalil-dalil seperti berikut:

Berdasarkan kisah kematian Abu Talib, bapa saudara Nabi ﷺ yang meninggal dunia dan Baginda ﷺ bersabda kepada Ali RA:
اذْهَبْ فَوَارِ أَبَاكَ ثُمَّ لاَ تُحْدِثَنَّ شَيْئًا حَتَّى تَأْتِيَنِي

Maksudnya: Pergilah dan tanamlah ayahmu kemudian jangan kamu lakukan sesuatu sehingga kamu datang menemuiku.

Riwayat Abu Daud (3214) & al-Nasa’ie (2006)

Rasulullah ﷺ hanya mengarahkan Ali RA untuk mengebumikan ayahnya (Abu Talib) bahkan Rasulullah ﷺ tidak pula hadir untuk mengiringi jenazah bapa saudaranya itu dan tidak pula hadir pada hari pengebumiannya.

Zahir daripada pendapat al-Imam Malik Rahimahullah juga yang mana disebutkan di dalam al-Mudawwanah. Telah berkata al-Imam Malik Rahimahullah: “Tidaklah seorang muslim itu memandikan jenazah ayahnya jika matinya itu di dalam kafir, tidaklah juga mengiringi jenazahnya, tidaklah juga memasuki ke dalam kuburnya…” [Lihat al-Mudawwanah. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1/261]
Ianya juga zahir daripada pendapat mazhab al-Hanbali yang mana di dalam Syarh al-Muntaha al-Iradat menyebut: “Tidaklah seorang muslim itu memandikan jenazah orang kafir kerana larangan memberikan muwalah (kesetiaan) kepada mereka kerana di dalamnya terdapat unsur mengagung dan menyucikan mereka. Ianya seperti solat ke atas mereka”. Seterusnya disebutkan: “Tidaklah dikafankan mereka, tidak disolatkan mereka dan tidak juga mengiringi jenazah mereka”. [Lihat Syarh al-Muntaha al-Iradat. ‘Alim al-Kutub, 1/347]

BACA:  Hukum Menangis Ketika Solat. Batalkah Solat Kita?

Kesimpulan

Setelah meneliti kedua-dua pendapat, kami nyatakan di sini bahawa isu ini adalah isu khilafiyah yang memerlukan kepada tarjih. Terdapatnya dua pendapat di dalam isu ini adalah disebabkan terdapat dua sudut pandang yang berbeza para ilmuan Islam mengenainya. Bagi yang membenarkan, mereka melihat ianya dari sudut al-bir wa al-ihsan (melakukan kebaikan dan juga belas ihsan) manakala yang melarangnya melihat dari sudut muwalah (kesetiaan), ta’zim (mengagungkan) dan juga tathir (menyucikan) terhadap jenazah tersebut.

Adapun di dalam permasalahan ini, kami berpendapat hukumnya adalah dibolehkan berdasarkan kepada hujah yang lebih menepati mazhab Hanafi danSyafi’e kerana ianya adalah penyelesaian kepada khilaf secara zahir dan nas.

Walaupun begitu, hendaklah menepati beberapa perkara. Antaranya:

Tiada iktikad untuk membenarkan agama mereka.
Tidak terbabit dalam upacara yang berkaitan dengan agama mereka kerana sesetengah majlis kematian bagi bukan Islam terdapat upacara-upacara yang berkaitrapat dengan amalan keagamaan.
Bagi mereka yang ada pertalian dengan bukan muslim seperti saudara baru, rakan taulan, jiran tetangga dan sebagainya, kami syorkan agar dizahirkan akhlak islami dan menjadi ‘juru dakwah’ dengan memperlihatkan keindahan Islam itu sendiri. Memperlihatkan bagaimana sifat simpati dan empati kepada sesama manusia meskipun berlainan agama tetapi tetap dengan prinsip Islam yang sebenar.
Semoga pencerahan ini menjadikan kita saling hormat-menghormati antara satu sama lain, saling bantu-membantu sesama rakan taulan dan jiran tetangga sementelahan waris berasa dukacita kerana berlakunya musibah.

Wallahu a’lam.

Akhukum fillah,

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel