≡ Menu

Melaksanakan Ibadah Qurban Untuk Mereka Yang Telah Tiada, Boleh Atau Tidak?


“Tak lama lagi dah nak Raya Haji. Alhamdulillah, dah selamat booking satu bahagian. Kalau kita ada duit lebih sikit, boleh ke kalau nak buat korban untuk arwah ayah?”

Menjelang sambutan Hari Raya Aidil Adha nanti, tentunya ramai yang tak mahu melepaskan peluang untuk melakukan ibadah korban. Dah macam-macam cara kita boleh buat ibadah korban sekarang, bukan saja di kampung kita. Tapi juga di tempat-tempat lain bahkan di luar negara seperti Kemboja.

Persoalannya, bolehkah kita melakukan ibadah korban untuk orang yang meninggal dunia?

Mungkin kita ada duit lebih dan berharap ibadah korban ini dapat menjadi pahala buat arwah ibu, ayah, atau sesiapa saja anggota keluarga kita yang telah meninggal dunia kan? Namun seeloknya kita ketahui dulu hukum melakukan ibadah korban untuk orang yang meninggal dunia secara jelas.

Umrah dan Haji di Tanah Suci Makkah

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Nak tahu lebih lanjut, berikut adalah penjelasan terperinci oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengenainya di bawah ini.

HUKUM MELAKUKAN IBADAH KORBAN UNTUK ORANG YANG MENINGGAL DUNIA

Soalan:

Bolehkah sekiranya saya ingin melakukan korban buat orang yang telah meninggal dunia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Permasalahan mengenai korban buat si mati adalah permasalahan yang diperselisihkan oleh para fuqaha’. Di dalam permasalahan ini, terdapat beberapa pendapat, antaranya:

PENDAPAT PERTAMA : DIBOLEHKAN

Dibolehkan untuk melakukan korban buat si mati dan sampai pahalanya juga buat si mati. Ini adalah pendapat jumhur ahli ilmu yang merangkumi al-Hanafiyah, al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan sebahagian al-Syafi’ieyyah.

Ini berdasarkan sebuah hadith dari ‘Aisyah R.Anha yang mana meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ketika menyembelih menyebutkan:

بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ

Maksudnya: Bismillah, Wahai tuhan kami, terimalah daripada Muhammad dan daripada aali (keluarga) Muhammad dan daripada umat Muhammad.

Riwayat Muslim (1967) dan selainnya.

Umum mengetahui bahawa dikalangan umat Muhammad SAW itu ada yang telah meninggal dunia dan Baginda SAW menjadikan sembelihannya itu untuk umatnya dan ini menjadi dalil bagi keharusan untuk melakukan korban bagi orang yang telah meninggal dunia.

Al-Kasani Rahimahullah menyebutkan:

“dari sudut istihsannya bahawa kematian bukanlah penghalang untuk taqarrub. Dalilnya adalah dibenarkan untuk bersedekah buat si mati dan juga menunaikan haji buatnya dan telah sahih daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW telah melakukan sembelihan korban dengan dua ekor kibasy yang mana satunya untuk Baginda SAW dan baki satunya untuk umat Muhammad yang tidak melakukan korban dan sesungguhnya ada dikalangan umat Muhammad SAW itu yang telah mati dan tidak sempat melakukan korban maka ini menunjukkan bahawa orang yang telah mati boleh bertaqarrub dengannya (melalui ibadah korban)..”

[Lihat Bada’i al-Sana’i, 5/72]

Seterusnya Ibn ‘Abidin Rahimahullah menyebutkan:

“Siapa yang melakukan korban bagi si mati maka lakukanlah sepertimana dia melakukan korban buat dirinya sendiri daripada sedekah dan makan. Adapun pahala untuk si mati dan pemilikan untuk si penyembelih”.

[Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/326]

Daripada Hanabilah pula menyebutkan:

“Sembelihan korban buat si mati adalah afdhal daripada yang hidup kerana yang mati itu memerlukan kepada ganjaran pahala dan lakukan (sembelihan) sepertimana untuk yang hidup dari segi makan, sedekad dan hadiah”.

BACA:  Petua Mengalihkan Posisi Bayi Songsang Yang Anda Boleh Amalkan

[Lihat Matalib Uli al-Nuha, 2/472]

PENDAPAT KEDUA : MAKRUH

Makruh hukumnya melakukan korban buat si mati. Ini adalah pendapat al-Malikiyyah.

Al-Kharshi Rahimahullah menyebutkan:

“Dimakruhkan bagi seseorang melakukan korban buat si mati kerana takut akan riak dan bermegah-megah dan juga tidak warid perbuatan dalam perkara itu, dan ini sekiranya tidak disediakan oleh si mati dan sekiranya tidak maka si waris boleh melakukannya”.

[Lihat Syarh Mukhtasar al-Khalil, 3/42]

PENDAPAT KETIGA: TIDAK BOLEH MELAINKAN IA TELAH DIWASIATKAN
Tidak boleh melakukan korban buat si mati melainkan ianya telah diwasiatkan oleh si mati sebelum kematiannya. Ini adalah pendapat al-Syafi’ieyyah yang mana al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan:

“Dan tidaklah disembelih bagi orang lain melainkan mendapat izin daripadanya dan tidak juga daripada yang mati melainkan ianya telah diwasiatkan.”

[Lihat Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh. Dar al-Fikr, hlm. 321]

KESIMPULAN

Walaupun permasalahan ini menjadi khilaf dikalangan ulama, kami cenderung dengan pendapat yang ketiga iaitu pendapat kebanyakan Syafi’eyyah iaitu mesti adanya wasiat dari si mati untuk melakukan korban buat dirinya.

Namun, kami juga tidak menafikan pendapat sebahagian Syafi’eyyah yang berpendapat bahawa tidak memerlukan kepada wasiat.

Ini sepertimana yang telah dinukilkan oleh Prof. Dr. Muhammad al-Zuhaili Hafizahullah yang mana menyebutkan:

“(dan dikatakan) sah hukumnya sembelihan bagi si mati sekalipun tidak diwasiatkan kerana ianya seperti sedekah maka sahlah juga bagi si mati dan ianya memberi manfaat buatnya”.

[Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e. Dar al-Qalam, 2/490]

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel