Pernah tak alami situasi kelopak mata bergerak secara tiba-tiba?
Kalau ikut kata orang-orang lama, kelopak mata bergerak-gerak ni ada membawa petandanya yang tertentu, seperti:
- Kelopak Mata Kanan diatas bergerak – Akan mendapat keuntungan dan beroleh keamanan.
- Kelopak Mata Kanan dibawah bergerak – Akan mendapat kesusahan.
- Kelopak Mata Kiri diatas bergerak – Akan mendapat kebaikan.
- Kelopak Mata Kiri dibawah bergerak – Alamat berita sedih dan hendak menangis.
- Ekor Mata Kanan bergerak – Bakal menerima kedatangan orang jauh.
- Ekor Mata Kiri bergerak-gerak – Mendapat sedikit kepayahan.
Tak tahulah benda ini mitos ataupun tidak. Mungkin sekadar seloka orang lama-lama yang unik dan menarik berdasarkan pemerhatian dalam hidup seharian. Yang penting jangan buat ia sampai merosakkan akidah.
Ok, itu cerita orang-orang lama. Sekarang kita cuba lihat dari sudut sains dan kesihatan.
Mengapa kelopak mata bergerak-gerak ini boleh berlaku dan apakah tanda-tanda pembawaannya. Biasa-biasa atau bahaya? Jom kita tengok huraian ringkasnya.
Kenapa Mata Berkedip Dengan Tiba-tiba?
Kelopak Mata Bergerak: Dalam istilah Bahasa Inggeris, ia disebut “Eye Twitching” – mata berkedip-kedip atau “Eyelid Tic” – kelopak mata bergerak-gerak.
Situasi ini berlaku disebabkan oleh gerakan kelopak mata atas dan kelopak mata bawah secara tiba-tiba atau mengejut (spasma), berlaku sangat cepat dan sekejap; tidak berasa sakit dan juga tidak boleh dibuat-buat.
Ia boleh berlaku sekali dalam beberapa saat atau dalam siri yang berulang-ulang kali dan bersifat sementara serta tidak berpanjangan.
Sama ada ia berlaku pada mata sebelah kiri atau kanan (tidak berlaku serentak pada kedua-dua belah mata), keadaan ini tidak menimbulkan sebarang bahaya.
Ia mungkin saat yang menghiburkan kerana setiap individu paling tidak mesti pernah mengalaminya sekali dalam seumur hidup. Betul kan!?
Tetapi selain tindakan luar kawalan yang mengejut, ia juga mungkin membawa petanda masalah kesihatan dan kita tidak mahu ia berlaku secara berulang-ulang kerana ia diluar tabiat biasa kerdipan mata.
Bagaimana Kelopak Mata Bergerak-gerak Boleh Berlaku?
Secara amnya, mata berkedip-kedip ini berlaku disebabkan oleh gerakan otot dalam kelopak mata secara berulangan dalam masa yang sangat cepat dan tidak boleh dikawal.
Baca Juga : Adakah Masalah lutut Berbunyi Petanda Sakit Sendi Lutut Yang Serius?
Dalam istilah bidang perubatan, ia disebut sebagat “Myokymia“.
Gerakan otot secara tiba-tiba (spasma/kekejangan) ini biasanya didominasi oleh kontraksi otot kelopak mata bawah dan berlaku hanya pada sebelah mata dalam satu-satu masa.
Senarai Punca Mata Berkedip-kedip
Mengikut Medical News Today, gerakan kelopak mata ini disebabkan oleh aktiviti elektrikal dalam otak yang merangsang sel saraf menghantar isyarat dengan sangat cepat kepada otot kelopak mata, yang kemudian mencetuskan kekejangan otot atau spasma.
Menurut sumber itu lagi, kondisi ini boleh terjadi berpanjangan dalam masa beberapa minit hingga ke beberapa hari.
Keletihan otot mata dan rangsangan berlebihan (overstimulation) adalah antara faktor puncanya akibat:
- Stress
- Pengambilan kafein berlebihan
- Gangguan tidur atau tidak cukup tidur
- Mata kering
Penyebab lain yang secara tidak langsung boleh mencetuskan gejala kelopak mata bergerak-gerak ini ialah:
- Pengambilan alkohol
- Terdedah kepada cahaya terang
- Iritasi permukaan biji mata atau bahagian dalam kelopak mata
- Kesan kerja keras secara fizikal tubuh
- Merokok
Terdedah kepada cuaca dan angin - Sakit kepala atau pening kepala
- Kesan pengambilan ubatan atau rawatan tertentu
Bahaya Simptom Kelopak Mata Berkedip-kedip Dengan Kerap
Sebenarnya, keadaan mata berkedip-kedip secara tiba-tiba ini tidak mendatangkan suatu masalah yang serius. Ia boleh dikatakan sebagai masalah terpencil kerana jarang berlaku, tidak berbahaya dan tidak menyakitkan.
Ia boleh hilang sendiri dalam kadar waktu tertentu dan tidak memerlukan apa-apa kaedah rawatan perubatan.
Bagaimanapun, jika kelopak mata bergerak-gerak ini berlaku secara kerap dan berterusan secara kronik, ia mungkin membawa petanda serius amaran kesihatan dalam sistem tubuh kita.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel