Soalan:
Assalamualaikum. Saya nak bertanya mengenai isu aurat wanita. Saya faham kaki merupakan aurat bagi wanita, tapi bagaimana dengan wanita yang ada masalah seperti kaki berpeluh dan doktor sarankan supaya tidak memakai sarung kaki / stokin dan kasut bertutup untuk elakkan kemudaratan seperti pembiakan fungus? Saya difahamkan ada khilaf ulama yang menyatakan kaki wanita bukan aurat, jadi bolehkah saya mengikut pendapat tersebut kerana darurat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Memang diakui permasalahan ini adalah khilaf dalam kalangan ulama’, dan kami telah bahaskan isu ini dalam artikel kami Irsyad Al-Fatwa Ke-134: Adakah Kaki Wanita Itu Aurat?
Namun demikian, kami berpendapat bahawa pendapat yang mengatakan bahawa kaki wanita itu adalah aurat lebih selamat, berhati-hati dan keluar dari khilaf. Inilah juga pandangan majoriti ulama, dan inilah pandangan mu’tamad mazhab Syafi’e.
Adakah Dibenarkan Tidak Menutup Kaki dalam Keadaan Darurat?
Dalam hal ini kami berpandangan, jika doktor sendiri mengakui akan wujudnya risiko jangkitan kuman atau fungus, maka mereka yang mengalami masalah itu dibenarkan untuk tidak memakai stokin, sarung kaki atau kasut yang bertutup. Ini sesuai dengan qaedah fiqh yang memberi keringanan dalam situasi-situasi kesempitan dan kesukaran:
إذا ضاق الأمر اتسع
Maksudnya: Apabila suatu perkara itu menjadi sempit, maka ia diperluaskan.
Namun kami menasihatkan agar memakai kain sarung atau seluar yang labuh sebagai langkah mengurangkan aurat yang terdedah, meskipun dalam keadaan darurat. Firman Allah SWT:
فَاتَّقُوا اللَّـهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا
Maksudnya: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya);
Surah al-Taghabun (16)
Namun apabila risiko tersebut hilang, dan masalah kaki berpeluh sudah tiada, maka dia wajib untuk kembali menutup kakinya. Salah satu qaedah fiqh menyebut:
الحكم يدور مع العلة وجودا وعدما
Maksudnya: Suatu hukum itu tertakluk kepada kewujudan atau ketiadaan ‘illahnya.
Ini sesuai dengan prinsip agama Islam yang memberi keringanan kepada manusia, seperti yang dizahirkan melalui firman-firman Allah SWT:
يُرِيدُ اللَّـهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.
Surah al-Baqarah (185)
Wallahu a’lam.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel