Masalah pecah bibir
Angular Cheilitis (AC) adalah lebih tepat dikenali sebagai “radang sudut bibir” kerana ia melibatkan proses keradangan yang berlaku di sama ada satu atau kedua-dua belah sudut bibir. Kebiasaannya kawasan yang mengalami radang ini akan menjadi merah, disertai oleh pecah dan berkerak.
Keadaan ini menyebabkan pesakit mengalami kesakitan atau kegatalan di sudut bibir tersebut. Penyakit ini boleh berlarutan selama berhari-hari hingga bertahun-tahun, bergantung kepada punca penyakit berlaku.
Penyakit ini juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti angular stomatitis, cheilosis dan perleche.
Punca Hujung Bibir Pecah
Terdapat beberapa punca yang dikenalpasti menjadi penyebab kepada masalah ini iaitu :
A) Jangkitan organisma tertentu seperti :
i) Jangkitan kulat candida – jangkitan kulat Candida dikesan pada hamper 93% kes angular cheilitis. Hal ini kerana organisma ini mendiami hampir 40% manusia yang sihat dan dalam bentuk yang tidak aktif, candida dikatakan mampu bertindak sebagai salah satu komponen penting organisma semulajadi mulut atau dikenali sebagai microbiota
ii) Jangkitan virus herpes – jangkitan ini juga dikenali dengan nama lain iaitu cold sores. Dalam kes ini, bukan kulat yang menyebabkan jangkitan, oleh itu pesakit merasakan kurang gatal, namun lebih terasa sakit dan kudis bernanah kekuningan. Kudis ini akan pecah sendiri dalam tempoh 7-10 hari dan boleh tumbuh pada tempat yang sama, terutama ketika pesakit berada dalam keadaan stress
iii) Jangkitan bakteria – dalam kes jangkitan bakteria, terdapat dua jenis bakteria yang selalu menjangkiti kawasan ini iaitu staphylococcus aureus dan β-hemolytic streptococci. Kadangkala jangkitan kulat dan bakteria boleh berlaku serentak dan kedua-dua jangkitan ini memerlukan ubat yang tersendiri untuk merawatnya.
B) Kerap mengetap dan menjilat bibir – Apabila bibir anda kering, anda tidak digalakkan untuk menjilat bibir kerana enzim yang terdapat di dalam air liur anda akan menyebabkan kawasan sudut bibir yang nipis terhakis. Ini seterusnya menjadikan kawasan tersebut mengalami keradangan atau juga disebut irritation contact dermatitis.
C) Pemakaian pendakap gigi atau gigi palsu – Kajian mendapati bahawa pemakaian gigi palsu dan pendakap gigi yang tidak bersesuaian atau lusuh akan menyebabkan sudut bibir si pemakai mudah mengalami AC. Hal ini kerana pemakaian alatan ini akan menjadikan kedudukan bibir pesakit tidak selari dengan asalnya dan menyebabkan air liur mudah terkeluar dari sudut bibir pesakit
D) Kekurangan zat makanan – Terdapat kajian yang dijalankan yang mendapati pesakit yang kekurangan zat besi dan vitamin B mudah mendapat AC berbanding individu yang mencukupi zat. Hal ini boleh terjadi samaada disebabkan oleh faktor kemiskinan, diet tidak seimbang atau pesakit yang mempunyai masalah penyerapan zat oleh usus seperti coeliac disease, chronic pancreatitis, atau juga disebabkan oleh pembedahan pada usus kecil seperti pernicious anemia.
E) Penyakit genetik – Penyakit seperti Down Syndrome, Sjogren Syndrome dan Eczema adalah antara penyakit genetik yang paling banyak dikaitkan dengan AC.
i) Pesakit Down Syndrome memiliki lidah yang lebih besar berbanding individu normal (macroglossia). Hal ini sekaligus menyukarkan bibir mereka tertutup rapi dan lidah kerap terjulur keluar, menyebabkan sudut bibir mudah terhakis dan terjadinya AC
ii) Sjogren syndrome pula adalah satu penyakit genetik di mana kelenjar yang menghasilkan kelembapan di kulit dan anggota badan tidak berfungsi.Hal ini menyebabkan pesakitnya mengalami kekeringan yang melampau dan antara kawasan yang paling kerap terjejas adalah kawasan sudut bibir kerana kawasan ini akan menjadi terlampau kering serta merekah, memudahkan jangkitan kuman bakteria masuk ke dalam sel kulit tersebut dan membiak, serta menyukarkan AC pada pesakit ini untuk sembuh, kadangkala bertahun lamanya.
iii) Eczema adalah nama yang tidak asing lagi dalam masyarakat kita. Pesakit yang menghidap eczema sudah tentu tahu bahawa kulit mereka mudah sekali bertindakbalas dengan bahan tertentu. Oleh itu, pesakit eczema haruslah sentiasa berwaspada jika ingin memilih sesuatu produk untuk dipakai seperti pewarna bibir, pelembap bibir, bedak muka, ubat gigi, penyegar mulut dan sebagainya.
F) Ubat-ubatan – Beberapa ubat di pasaran yang digunakan untuk merawat jerawat mengandungi bahan aktif isotretinoin. Penggunaan yang kerap akan menyebabkan kulit menjadi terlalu kering dan meningkatkan risiko mendapat AC.
Selain itu, terdapat kajian yang mengatakan pengambilan minyak ikan kod dan vitamin A yang berlebihan juga boleh menyebabkan pesakit mendapat AC.
Penagih dadah yang menggunakan dadah jenis cocaine, heroin dan metamphetamine juga kerap mengalami masalah ini.
G) Rokok – Jika anda seorang perokok tegar dan pada masa yang sama memiliki kulit sensitive, maka kencenderungan anda untuk mendapat AC adalah sangat tinggi. Hal ini kerana kandungan racun kimia di dalam rokok adalah bersifat menghakis dan kawasan paling cepat terkesan dengannya adalah tentu sekali di sudut bibir anda.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel