≡ Menu

Manfaat Tahnik Menurut Sudut Kesihatan. Indahnya Ajaran Islam


Anak merupakan salah satu anugerah terindah buat pasangan yang telah mendirikan rumah tangga. Ramai yang menanti dan mendoakan cahaya mata sebagai penyeri dalam kehidupan mereka selepas kehadiran pasangan yang baik.

Apabila lahirnya cahaya mata, pasti banyak persiapan yang perlu dilakukan untuk memastikan kelancaran kehidupan mereka di dunia ini baik dari segi mental dan juga fizikal.

Antara amalan di awal kelahiran mereka yang boleh dilakukan mengikut panduan Islam dan sunnah ialah mengazankan dan mengiqamahkan mereka, membuat majlis aqiqah dan bersedekah mengikut kadar timbangan rambut mereka serta bertahnik.

Apa yang dimaksudkan dengan tahnik? Tahnik atau amalan ‘belah mulut’ yang digelar oleh masyarakat Melayu ialah amalan menyuapkan mulut bayi dengan tamar, iaitu kurma.

Kebiasaannya, golongan ustaz atau ulama’ akan dijemput oleh ibu bapa untuk mentahnikkan bayi mereka sebagai simbolik mengambil keberkatan agar bayi yang dilahirkan membesar sebagai anak yang soleh dan solehah.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Walau bagaimanapun, ibu bapa perlu ingat bahawa perangai anak-anak lebih besar dipengaruhi oleh corak yang diukir oleh ibu bapa sendiri. Orang di sekeliling hanya mampu mendoakan mereka.

Oleh itu, ibu bapa sendiri sebenarnya boleh mentahnikkan bayi mereka tanpa perlu bergantung kepada golongan ustaz. Selepas kewafatan Baginda juga, jarang berlakunya peristiwa mereka yang datang kepada para sahabat untuk meminta bayi mereka ditahnikkan. Namun, dapatlah difahami bahawa orang soleh yang dijemput untuk mentahnikkan bayi

Tahnik juga biasanya akan dilakukan sama ada dari hari pertama kelahiran atau hari ketujuh. Kadang-kadang, amalan ini akan disekalikan dengan majlis aqiqah bayi tersebut. Walau bagaimanapun, waktu yang afdal ialah pada hari pertama kelahiran bayi tersebut. Hal ini ada disebut dalam kitab Ibn Hajar, Fath al-Bari 15/390, iaitu:

“Bab menamakan bayi dan mentahnikkannya pada petang kelahirannya sekalipun belum dilakukan akikah.” (Imam Al-Bukhari)

Menurut Kamus Idris al-Marbawi (153), tahnik membawa pengertian sebagai lelangit di dalam mulut. Manakala, al-Nawawi dalam Sharh Sahih Muslim (1/426) mengatakan bahawa ia adalah amalan mengunyah buah tamar atau makanan yang seumpamanya dan digosok kepada lelangit mulut bayi.

Menurut para ulama’, amalan tahnik merupakan salah satu sunnah Nabi SAW dan hukumnya adalah sunat. Maka, sesiapa yang melakukannya akan diberi ganjaran pahala buatnya dan jika tidak melakukannya, ia adalah tidak mengapa.

Sunnah amalan ini ialah mentahnikkan bayi dengan buah kurma (tamar). Jika tiada, ia boleh dilakukan dengan kurma muda (rutab). Ada juga yang menggunakan air zam zam sebagai sapuan kepada lelangit mulut bayi kerana Rasulullah SAW pernah mentahnikkan Hasan dan Husin dengan air zam-zam (Kitab al-Faqihi Akhbar Makkah 3/198). Namun, sunnahnya di sini ialah tamar.

ذَهَبْتُ بِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي طَلْحَةَ الأَنْصَارِيِّ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم حِينَ وُلِدَ وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي عَبَاءَةٍ يَهْنَأُ بَعِيرًا لَهُ فَقَالَ ‏”‏ هَلْ مَعَكَ تَمْرٌ ‏”‏ ‏.‏ فَقُلْتُ نَعَمْ ‏.‏ فَنَاوَلْتُهُ تَمَرَاتٍ فَأَلْقَاهُنَّ فِي فِيهِ فَلاَكَهُنَّ ثُمَّ فَغَرَ فَا الصَّبِيِّ فَمَجَّهُ فِي فِيهِ فَجَعَلَ الصَّبِيُّ يَتَلَمَّظُهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ حُبُّ الأَنْصَارِ التَّمْرَ‏”.‏وَسَمَّاهُ عَبْدَ اللَّهِ

Maksud: “Aku membawa Abdullah bin Abu Talhah al-Ansari RA yang baru lahir menemui Rasulullah SAW pada ketika itu, Baginda memakai aba’ah sedang melumurkan untanya dengan minyak. Baginda bertanya: “Adakah kamu membawa tamar?” Aku menjawab ada lalu aku menyerahkan beberapa biji kepada Baginda. Baginda pun memasukkannya ke dalam mulut dan mengunyah-ngunyahkannya. Kemudian, Baginda membuka mulut Abdullah dan memasukkan tamar tersebut. Bayi itu pun menggerak-gerakkan lidah sambil menghisap manisnya. Lalu Baginda bersabda: “Kesukaan orang Ansar ialah buah tamar.” Lalu Baginda menamakannya Abdullah.” (Hadis Riwayat Muslim, no 2144)

Tujuan Tahnik Dari Sudut Kesihatan

Menurut Ibnu Hajar dalam Kitab Fathul Bari menyebut bahawa tujuan utama amalan ini ialah untuk melatih bayi makan dan juga minum. Ia sekali gus untuk menguatkan sistem ketahanan dalam badan bayi.

Disebabkan itulah, bayi digalakkan ditahnikkan dengan buah kurma atau makanan sunnah yang mengandungi khasiat yang bersesuaian dengannya dan tidak dibolehkan memberi makanan yang kasar dan masih sukar dicerna. Bimbang ia akan merosakkan sistem imun dalam badan bayi.

والتحنيك مضغ الشيء ووضعه في فم الصبي ودلك حنكه به يصنع ذلك بالصبي ليتمرن على الأكل ويقوى عليه وينبغي عند التحنيك أن يفتح فاه حتى ينزل جوفه وأولاه التمر فإن لم يتيسر تمر فرطب وإلا فشيء حلو وعسل النحل أولى من غيره

Maksud: “Tahnik ialah mengunyah sesuatu kemudian meletakkan atau memasukkan ke mulut bayi lalu menggosok-gosokkannya ke lelangit mulut. Hal ini dilakukan dengan tujuan agar bayi terlatih dengan pemakanan dan menguatkannya. Yang patut dilakukan ketika mentahnik hendaklah mulut (bayi tersebut) dibuka sehingga (sesuatu yang telah dikunyah) masuk ke dalam perutnya. Yang lebih utama, mentahnik dilakukan dengan kurma kering (tamar). Jika tidak mudah mendapatkan kurma kering, maka lakukan ia dengan kurma basah (rutab). Kalau tiada kurma boleh diganti dengan sesuatu yang manis.” (Ibnu Hajar Al-Asqalani)

Sebuah kajian yang telah dilakukan oleh Nora Haouari, Christopher Wood, Gillian Griffiths dan Malcom Levene di Leed General Infirmary di England terhadap 60 orang bayi yang berumur antara 1 hingga enam hari telah diberikan larutan sebanyak 2ml yang mengandungi gula sukrosa (kategori karbohidrat dan bersifat sebagai pemanis yang akan menghasilkan glukosa dan fruktosa).

Setiap bayi tersebut diberi kandungan gula yang berbeza, iaitu sama ada 12.5%, 25% sukrosa, 50% sukrosa atau air kosong sebagai kawalan.

Seterusnya, kajian dilakukan dengan mengira masa tangisan bayi terhadap cucukan (ambilan darah) yang dilakukan terhadap bayi tersebut.

Hasil kajian menunjukkan bahawa, masa tangisan bagi bayi yang diberikan sukrosa adalah pendek terutamanya bagi mereka yang diberikan larutan sukrosa yang paling tinggi berbanding dengan mereka yang hanya diberi air kosong.

BACA:  7 Perkara Yang Kita Perlu Buat Jika Hati Kita Resah Dan Gelisah Yang Diajar Dalam Islam

Kajian ini telah diberi nama sebagai The Analgesic (Pain Killing) Effect of Sucrose In Full Term Infants: A randomised Controlled Trial.

Sebuah kajian lanjutan juga telah dilakukan pada tahun 1995 yang dilaporkan di dalam British Medical Journal mengatakan tahnik dengan benda manis adalah selamat dan digalakkan. Buah tamar ialah antara manisan yang afdal kerana ia mempunyai kadar sukrosa yang seimbang untuk bayi.

Menurut Dr Muhammad Ali Al-Barr dalam Majallat Al I’jaz Al-Ilmi, tahnik dengan tamar mampu membantu untuk meningkatkan kadar gula dalam darah bayi kerana bayi yang baru lahir kebiasaannya mempunyai kadar gula yang sangat rendah apatah lagi bayi yang mempunyai berat kurang dari 2 kilogram.

Tambah Dr Abdullah Abdur Razzaq Al-Saeed dalam bukunya Ar-Rutab Wan-Nakhlah berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Iraqi Central Institute of Bacteriology mengatakan bahawa, kuman tidak mampu untuk hidup di dalam buah tamar.

Disebabkan itulah, buah tamar dapat bertahan dalam jangka masa yang panjang tanpa rosak isinya dan potensi untuk bayi tersebut dijangkiti dengan kuman adalah sangat rendah. Kajian ini juga hasil kerjasama dengan pakar daripada Badan Kesihatan Sedunia, iaitu Dr Oscar Fenzelfield.

Oleh itu, tahnik dengan tamar bukan sahaja mendapat pahala mengikut sunnah, malah mampu memberi kesihatan kepada bayi tersebut.

Bolehkah Tahnik Dengan Madu

Penulis telah melihat perkongsian yang dilakukan oleh Dr Izzar melalui Majalah Pa&Ma yang mengatakan bahaya mentahnikkan bayi dengan madu. Malah, bayi di bawah umur 1 tahun adalah tidak digalakkan untuk diberi minum madu sama ada ia dicampurkan dengan bahan makanan lain seperti susu atau tidak.

Bukankah madu merupakan salah satu manisan dan juga makanan sunnah? Mengapa ia dikatakan bahaya untuk bayi?

Sebuah kajian pada tahun 1998 yang telah dilakukan oleh beberapa pakar saintis di luar negara mengatakan bahawa 25 peratus dalam kandungan madu mengandungi spora bakteria yang diberi nama Clostridium Botulinum.

Bakteria ini dikatakan mempunyai racun yang merbahaya untuk bayi kerana sistem ketahanan badan mereka yang belum kuat.

Ia adalah makanan yang elok untuk mereka yang berusia tiga hingga empat tahun ke atas kerana pada waktu ini, sistem ketahanan kita sudah mampu untuk melawan 25 peratus racun tersebut dengan 75 peratus khasiat madu yang ada.

Malah, menurut Dr Ustaz Rozaimi Ramlee, tiada riwayat yang sahih atau sebarang penemuan mengenai tahnik dengan madu. Wallahu a’lam.

Kesimpulan

Amalan mentahnik bayi merupakan antara sunnah yang boleh diamalkan seawal kelahiran cahaya mata anda untuk membantu menguatkan daya tahan dan sistem imun mereka.

Selain diberi ganjaran pahala sunnah, ia juga merupakan salah satu langkah awal untuk mendidik anak anda dengan amalan dan gaya hidup yang lebih sihat dan diberkati.

Wallahu a’lam.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel