≡ Menu

MAKAN ORGAN DALAM HAIWAN: MANFAAT ATAU MUDARAT?


MAKAN ORGAN DALAM HAIWAN : MANFAAT ATAU MUDARAT

Daging yang selalu dimakan oleh anda adalah bahagian otot sehingga apabila pakar pemakanan bercakap tentang daging dan nilai nutriennya, mereka sebenarnya merujuk kepada daging yang diambil daripada bahagian otot haiwan. Di samping bahagian otot, kita juga gemar memakan organ dalam haiwan seperti hati dan paru-paru. Terdapat banyak lagi organ dalam yang dimakan oleh manusia seperti perut, limpa, jantung, buah pinggang, lidah,otak dan ada juga yang memakan buah zakar. Apakah sebenarnya manfaat dan mudarat memakan organ-organ dalam ini? Orang awam seringkali dinasihati supaya tidak mengambil organ dalam kerana kandungan lemak dan kolesterol yang tinggi. Rencana pendek ini akan mengupas mengenai apakah manfaat dan mudarat mengambil organ-organ dalam ini.

MANFAAT ORGAN DALAM

Umumnya, organ dalam menyediakan banyak jenis vitamin dan nutrient di antaranya adalah vitamin B, zat besi, fosforus, tembaga, magnesium, vitamin A, vitamin D, vitamin E dan vitamin K.

HATI

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Hati mungkin organ dalam yang menyediakan paling banyak nutrient. Di samping sumber protin yang berkualiti, ia adalah sumber vitamin A yang tinggi untuk kesihatan mata dan juga mempunyai sifat antikeradangan. Hati juga mengandungi asid folik, viamin B5, B12, zat besi, kromium, tembaga, selenium dan zink. Di dalam 85 gram daging lembu mengandungi 31,714 IU vitamin A iaitu lebih daripada 700% keperluan vitamin A dalam sehari. Kuantiti yang sama juga membekalkan lebih kurang 80% keperluan zat besi untuk lelaki dan 40% keperluan harian untuk wanita.

Satu ratus gram hati lembu membekalkan 190 kalori tenaga dan 24.7 gram protein yang lengkap. Walau bagaimanapun di dalam 100 gram hati ini juga mengandungi 396 mg kolesterol yang sudah melebihi keperluan harian anda. Pertubuhan jantung Amerika mengesyorkan pengambilan kolesterol kurang daripada 300 mg sehari. Ini jauh lebih tinggi daripada kandungan kolesterol di dalam 100 gm daging otot lembu iaitu sebanyak 90 mg ataupun 30% daripada keperluan harian.

BUAH PINGGANG

Buah pinggang kaya dengan protein dan mengandungi asid lemak omega 3. Setiap 100 gram buah pinggang menyediakan 159 kalori tenaga. Buah pinggang juga mengandungi vitamin B12 dan asis folik yang penting untuk pembinaan darah. Seperti juga hati, buah pinggang juga membekalkan zat besi dan fosforus. Walaupun kandungan lemak yang tidak tinggi, buah pinggang mengandungi kolesterol yang tinggi.

OTAK

Otak mengandungi protein dan juga nutrient-nutrien lain termasuk asid lemak omega 3. Setiap 100 gram otak mengandungi lebih kurang 12 gram protein dan hamper 1 gram asid lemak omega 3 yang dikenali sebagai asid docosahexaenoic (DHA). Di antara vitamin yang terkandung di dalam otak adalah vitamin B5 dan B12.

BACA:  3 Cara Mudah Mengatasi Sedu.

Di samping nilai nutrisi yang dinyatakan di atas, terdapat beberapa kebimbangan apabila anda memakan otak. Otak lembu boleh dijangkiti oleh penyebab keradangan otak yang dikenali sebagai penyakit Creutzfeldt-Jakob yang juga dikenali sebagai penyakit lembu gila (“mad cow disease”). Faktor ini boleh menjangkiti orang yang memakan otak. Otak juga mengandungi kolesterol yang sangat tinggi, satu hidangan 100 gram otak mengandungi 3401 mg kolesterol ataupun 10 kali lebih tinggi daripada keperluan harian.

JANTUNG

Jantung mengandungi tinggi asid folik, zat besi, zink dan selenium. Ia juga mengandungi vitamin B2, B6 dan B12, sekumpulan vitamin B yang tergolong di dalam vitamin B complex. Daging jantung juga mengandungi antioksidan yang dikenali sebagai coenzyme Q10. Setiap 100 gram daging jantung mengandungi lebih kurang 125 kalori tenaga, 20 gram protein, 5 gram lemak dan 210 mg kolesterol.

PARU-PARU

Seperti mana organ-organ yang lain, paru-paru mengandungi kandungan vitamin B12, zat besi dan selenium yang tinggi. Setiap 100 gram paru-paru mengandungi 150% keperluan vitamin B12 dan 100% keperluan zat besi sehari. Selain daripada itu paru-paru juga mengandungi vitamin C, fosforus, niacin dan riboflavin. Setiap 100 gram paru-paru mengandungi lebih kurang 100 kalori, 18.3 gram protein, 2.8 gram lemak dan 220 mg kolesterol.

PERUT

Ramai yang suka makan perut di dalam pelbagai kaedah masakan termasuk sup, kerabu dan satay. Satu ratus gram daging perut mengandungi 94 kalori, 12 gram protein, 4 gram lemak dan 156 mg kolesterol. Perut juga mengandungi vitamin B12, vitamin K, selenium, fosforus dan zink. Nilai nutrient yang dinyatakan di sini adalah daripada bahagian perut dan bukan usus kecil haiwan.

LIDAH

Lidah juga mengandungi tinggi zat besi dan vitamin yang diperlukan untuk menambah kandungan sel darah. Ia juga mengandungi vitamin B12, choline dan zink. Setiap 100 gram daging lidah mengandungi 19.3 gram protein, 22 gram lemak dan 132 mg kolesterol.

RISIKO MEMAKAN ORGAN DALAM

Daging daripada organ dalam mengandungi kolesterol dan lemak tepu yang tinggi. Mengikut cadangan Pertubuhan Jantung Amerika, seseorang individu yang perlu menurunkan kandungan kolesterolnya perlu menghadkan pengambilan lemak tepu tidak melebihi 5-6% daripada jumlah kalori di dalam satu hari. Organ dalam juga mengandungi purine, sejenis molekul yang boleh menyebabkan masalah kepada pengidap penyakit gout. Jika haiwan ini dijangkiti, mengambil toksin ataupun racun, ianya boleh berkumpul di dalam organ dalam badan. Dikuatiri dengan memakan organ dalam ini toksin atau racun tersebut boleh memudaratkan manusia. Walau bagaimanapun kebimbangan ini hanyalah kepercayaan dan belum terbukti. Otak lembu yang mengalami penyakit Creutzfeldt-Jakob ataupun penyakit lembu gila juga boleh menjangkiti individu yang memakan organ ini. Organ dalam yang asalnya kotor seperti usus dan perut boleh menjadi sumber toksin dan bakteria jika tidak dibersih dan dimasak dengan sempurna. Terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa kualiti organ dalam haiwan boleh dipengaruhi oleh cara bagaimana haiwan itu dibesarkan, apakah makanan yang diberikan serta persekitaran tempat ianya membesar. Haiwan yang tidak diberikan makanan yang sempurna serta di dalam keadaan stress menyebabkan kualiti organ dalam mereka juga rendah. Mungkin organ dalam haiwan ini mempunyai kandungan lemak dan kolesterol yang lebih tinggi seperti mana juga manusia yang tidak menjaga makanannya.

BACA:  Subhanallah! Bangunan Habis Dijilat Api, Tetapi Al-Quran Terpelihara.

Kajian yang dijalankan di satu daerah di negara Uganda mendapati bahawa organ dalam mengandungi tinggi kandungan logam seperti besi, plumbum dan tembaga. Penyelidik mendapati kandungan logam-logam ini di dalam hati, pedal, perut, usus dan buah pinggang adalah melebihi daripada tahap maksimum yang dibenarkan (0.5mg/kg berat basah). Maka penyelidik berpendapat kesan negatif akibat daripada logam-logam ini boleh berlaku jika organ-organ dalam ini diambil dalam jangkamasa panjang terutama oleh golongan kanak-kanak. (1)

KESIMPULAN

Organ dalam badan mengandungi pelbagai nutrien termasuk mineral dan vitamin yang berkualiti. Ianya juga sumber protein yang berkualiti dan mengandungi antioksidan seperti koenzim Q10. Walau bagaimanapun organ dalam mengandungi tinggi kolesterol dan logam, jadi tidak sesuai diambil dalam kuantiti yang banyak untuk jangkamasa yang panjang. Kualiti organ dalam juga dipengaruhi oleh pemakanan dan bagaimana haiwan itu dibesarkan. Kaedah memasak dan ramuan-ramuan tambahan ke atas organ dalam ini juga mempengaruhi kualiti makanan ini keseluruhannya. Kesimpulannya, organ dalam boleh diambil tetapi di dalam kuantiti yang sederhana. Individu yang menghidap penyakit jantung dan penyakit-penyakit yang dikaitkan dengan kandungan kolesterol yang tinggi mungkin perlu lebih berhati-hati. Pengguna yang bijak akan juga mengkaji latarbelakang sumber organ dalam itu diambil.

RUJUKAN

1. Ogwok P, Bamuwamye M, Apili G, et al. Health Risk Posed by Lead, Copper and Iron via consumption organ meat in Kampala City (Uganda). Journal of Environment Pollution and Human Health, 2014 2 (3), pp 69-73.
DOI: 10.12691/jephh-2-3-3

2.https://www.medicalnewstoday.com/articles/319229.php

3.https://www.healthline.com/nutrition/organ-meats#section1

4. https://www.livestrong.com

5.https://www.livestrong.com/ar…/470909-is-tripe-good-for-you/

6.https://www.livestrong.com/…/261789-beef-kidney-nutritiona…/

SUMBER: MEDICAL MYTHBUSTER

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel