Soalan:
Assalamu’alaikum S.S Mufti, apakah boleh dibunuh kerengga-kerengga di sarangnya dengan cara membakar sarang tersebut ?
Jawapan:
Wa’alaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Sebagai umat Islam kita dituntut untuk melakukan kebaikan kepada kesemua makhluk. Ia merangkumi berbuat baik kepada manusia sama ada orang Islam atau bukan Islam, demikian juga kita dituntut untuk berbuat baik kepada haiwan. Ini seperti yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu.
Riwayat Muslim (1955)
Hadis ini jelas dalam menyatakan kewajiban berlaku ihsan kepada setiap makhluk. Kata Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di : ‘’Maka termasuklah antaranya berbuat ihsan kepada kesemua kategori manusia, dan juga kepada haiwan-haiwan. Sehinggakan pada saat ingin menyembelih haiwan juga dituntut (untuk berlaku ihsan)’’. Rujuk Bahjah Qulub Al-Abrar, Al-Sa’di (1/127).
Dari sudut hukum fekah, perkataan كَتَبَ menunjukkan kepada hukum wajib. Ini seperti yang dikatakan oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali: ‘’Lafaz Al-Kitabah membawa hukum wajib di sisi para fuqaha danusuliyyun, (dan pendapat ini) diperselisihkan oleh sebahagian mereka. Sesungguhnya diketahui pengunaan lafaz al-Kitabah ini di dalam al-Quran terhadap perkara yang wajib dan mesti dibuat”. RujukTafsir Ibn Rajab (1/617).
Justeru apabila kita menyatakan bahawa hukum berbuat ihsan dengan haiwan adalah wajib, maka menyakiti dan berbuat kezaliman kepada haiwan-haiwan tanpa sebarang yang dibenarkan oleh syarak adalah haram hukumnya. Bahkan pengabaian dalam hal ini boleh menyebabkan seseorang itu ditempatkan ke dalam neraka. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah bin ‘Umar R.A. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ
Maksudnya: Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.
Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadis di atas iaitu dikatakan kepadanya:
لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِيهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ
Maksudnya: Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga dia boleh makan serangga yang berada di tanah.
Riwayat Al-Bukhari (2365)
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami kongsikan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Hamzah al-Aslami bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
فَإِنَّهُ لاَ يُعَذِّبُ بِالنَّارِ إِلاَّ رَبُّ النَّارِ
Maksudnya: Sesungguhnya tidaklah mengazab seseorang itu dengan api melainkan Tuhan api itu sendiri.
Riwayat Abu Daud (2673)
Daripada hadis di atas ini dapatlah kita fahami bahawa seseorang itu tidak boleh mengazab sesuatu itu dengan api yang mana ia merupakan perbuatan yang dilakukan oleh Allah S.W.T. Justeru tidak boleh untuk membunuh atau mengazab mana-mana haiwan dengan menggunakan api dan pembakaran.
Namun, di sana terdapat pengecualian terhadap haiwan-haiwan yang memberikan gangguan atau memudaratkan seseorang itu dan tidak ada cara lain untuk membunuhnya melainkan dengan cara menggunakan api. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
نَزَلَ نَبِيٌّ مِنَ الأَنْبِيَاءِ تَحْتَ شَجَرَةٍ فَلَدَغَتْهُ نَمْلَةٌ، فَأَمَرَ بِجَهَازِهِ فَأُخْرِجَ مِنْ تَحْتِهَا، ثُمَّ أَمَرَ بِبَيْتِهَا فَأُحْرِقَ بِالنَّارِ، فَأَوْحَى اللَّهُ إِلَيْهِ فَهَلاَّ نَمْلَةً وَاحِدَةً
Maksudnya: Seorang Nabi dari kalangan para Nabi telah berehat di bawah sebatang pokok, kemudian dia digigit oleh seekor semut. Beliau kemudiannya mengarahkan supaya barang-barangnya dialih dari bawah pokok tersebut, kemudian beliau mengarahkan agar sarang semut tersebut dibakar dengan api. Maka Allah memberikan wahyu kepada beliau dengan kata-Nya: ‘’Tidakkah sepatutnya (dibunuh) seekor semut sahaja (iaitu yang menggigit kamu) ?’’.
Riwayat al-Bukhari (3319)
Para ulama mengambil faedah daripada hadis ini dengan berkata: Sesungguhnya seekor semut yang menyakiti Nabi tersebut boleh untuk dikecualikan dari keumuman larangan membakar dengan menggunakan api. Dari sudut boleh untuk ia dibunuh dan diazab dengan api, sekiranya sudah tidak ada cara yang lain bagi menghalang kemudaratan darinya.
Kesimpulan
Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa adalah tidak dibolehkan untuk membakar kerengga-kerengga di sarang mereka tanpa sebarang sebab. Lebih-lebih lagi apabila kerengga tersebut tidak mendatangkan mudarat kepada sesiapa pun. Ini dalam menggambarkan sifat rahmah Allah S.W.T kepada keseluruhan makhluk, serta menzahirkan sifat ihsan kepada kesemua makhluk seperti yang diwajibkan oleh Allah S.W.T kepada setiap manusia.
Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel