Setiap ibu sudah pasti ingin memberikan yang terbaik buat bayinya. Jadi, sedari awal kehamilan, ibu sudah mula mengambil berat akan pemakanan mereka bagi memastikan kesihatan tubuhnya dan bayi dalam kandungan.
Selain mengambil vitamin pranatal, ramai ibu hamil yang semakin ‘celik’ untuk mendapatkan vitamin dan mineral lain yang baik untuk kehamilan mereka. Salah satunya adalah pengambilan probiotik. Probiotik boleh didapati bukan sahaja melalui suplemen, bahkan juga dalam sumber pemakanan seperti yogurt, kimchi dan minuman berkultur. Probiotik merupakan bakteria baik yang ada pada dinding usus, yang amat penting untuk penghadaman. Terkini, probiotik dikaitkan dengan risiko ekzema yang lebih rendah untuk kanak-kanak.
Mengapa probiotik baik untuk ibu hamil?
Fungsi probiotik kepada tubuh ibu hamil masih lagi menjadi perdebatan ramai penyelidik. Namun, probiotik diketahui membantu mengurangkan bakteria jahat dalam tubuh, sekali gus mengurangkan potensi mendapat jangkitan tertentu dan masalah kesihatan lain.
Peranan probiotik dalam membantu sistem penghadaman bekerja dengan berkesan juga dapat mencegah gejala-gejala kehamilan yang sering melanda wanita hamil seperti sembelit dan cirit-birit.
Manfaat probiotik semasa laktasi
Penyusuan susu ibu adalah cara penting untuk memberikan nutrisi dan membekalkan keselesaan fizikal kepada bayi. Manfaat lain penyusuan susu ibu atau laktasi adalah bakteria baik dalam usus ibu disalurkan dari ibu kepada bayi melalui susu badan. Jika ibu mengambil probiotik, terdapat bukti yang mengatakan bakteria baik ini boleh membantu menguatkan sistem imun bayi. Malahan, pengambilan probiotik semasa hamil juga amat baik untuk merawat atau mencegah kolik, alergi dan juga keadaan kulit atopik seperti ekzema.
Kaitan pengambilan probiotik semasa hamil dan laktasi dengan ekzema untuk kanak-kanak
Menurut kajian yang dilakukan oleh Imperial College London dan University of Nottingham di United Kingdom, wanita yang mengambil probiotik semasa hamil dan laktasi adalah kurang cenderung mempunyai anak dengan ekzema, berbanding ibu hamil yang tidak mengambil probiotik.
Pengambilan probiotik oleh wanita semasa hamil dan laktasi juga dikaitkan dengan 22 peratus lebih rendah risiko kanak-kanak mendapat ekzema, iaitu gangguan keradangan kulit. Ini adalah sama dengan pencegahan 44 kes ekzema untuk setiap 1,000 kanak-kanak.
Walau bagaimanapun, kajian tersebut bukanlah dibuat untuk membuktikan bagaimana probiotik dapat mencegah ekzema, namun terdapat kebarangkalian bahawa pengambilan probiotik mengubah komposisi susu ibu serta mempengaruhi cara sistem imun dan perkembangan kulit seseorang kanak-kanak.
Bahkan, menurut penyelidik juga, terdapat beberapa bukti yang menunjukkan pendedahan probiotik dalam awal usia bayi boleh mengurangkan risiko ekzema. Namun, dalam kajian tersebut, jelas sekali probiotik yang ibu ambil semasa kehamilan dan penyusuan dapat melindungi bayi daripada ekzema, sedangkan probiotik yang ditambah ke dalam diet bayi secara langsung tidak dapat melindungi bayi daripada mendapat ekzema.
Kajian lain yang dibuat pada tahun 2002 oleh Journal of Allergy and Clinical Immunology menemukan bahawa probiotik yang diambil oleh ibu hamil dan ibu yang menyusukan bayi dapat meningkatkan potensi perlindungan imun melalui susu badan ibu. Pakar saintis menunjukkan bahawa probiotik meningkatkan bahan anti-radang dan merupakan cara terbaik untuk mengurangkan risiko ekzema dalam dua tahun pertama kehidupan bayi.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel