≡ Menu

KPWKM garis saranan elak kes anak tertinggal dalam kereta


KUALA LUMPUR, 27 Mac — Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggariskan beberapa saranan yang boleh diamalkan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak bagi mengelak kes tertinggal anak di dalam kenderaan sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian, berulang.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pihaknya memandang serius isu kecuaian ibu bapa meninggalkan anak di dalam kenderaan yang menyebabkan lima kematian kanak-kanak dan bayi sejak 2016.

Katanya antara langkah pencegahan adalah menyarankan ibu bapa meletakkan kanak-kanak di kerusi khas dalam kenderaan khusus untuk bayi dan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah, meletakkan bayi di tempat duduk dan pakaikan tali pinggang keledar dengan kemas, kanak-kanak tidak boleh diletakkan di tempat duduk belakang kerusi pemandu kerana ia merupakan titik buta.

“Selain itu, ibu bapa yang membawa bayi atau kanak-kanak dalam kenderaan disaran meletakkan barang penting seperti beg tangan di bahagian belakang mengikut kesesuaian sama ada di atas kerusi atau di ruang kaki penumpang, atau meletakkan beg keperluan anak di tempat duduk hadapan bagi mengingatkan anak ada di bahagian belakang,” katanya.

BACA:  Haqiem, Ini Sebabnya Kenapa Depression Bukanlah Satu Perkara Yang Boleh Dimainkan

Rohani berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Shahanim Mohamad Yusoff mengenai pendekatan diambil kerajaan dalam menangani kes kematian bayi akibat tertinggal di dalam kenderaan bagi mengelak kes seumpama itu berulang, pada persidangan Dewan Negara di sini semalam.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Selain itu, Rohani berkata penjaga disaran meletakkan label atau tag pada pemegang pintu kenderaan bagi mengingatkan mereka bahawa anak-anak ada bersama di tempat duduk penumpang dan mengamalkan memeriksa semua ruang tempat duduk sebelum mengunci dan meninggalkan kenderaan.

“Ibu bapa juga boleh menghantar pesanan kepada pasangan, pengasuh atau pihak sekolah memaklumkan kanak-kanak ada dengan mereka, jadi apabila pengasuh menghubungi ibu bapa dan memberitahu anak mereka tidak berada di tempat asuhan dan sekolah pada waktunya, secara tidak langsung mengingatkan ibu bapa ini di mana anak mereka berada,” katanya.

Rohani berkata meskipun langkah berkenaan dilihat sebagai ‘redundant step’ namun ia berupaya membantu ibu bapa mengelakkan berlakunya kes kecuaian sehingga mengakibatkan kanak-kanak lemas atau meninggal di dalam kenderaan.

BACA:  Mana Lebih Elok, Air Mineral Atau Air Isotonik Selepas Bersukan?

Dalam masa sama, katanya mana-mana ibu bapa yang terlibat dalam kecuaian menjaga anak-anak mereka sehingga menyebabkan kemalangan atau kehilangan nyawa tetap tidak terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001.

Seksyen itu memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali dan sebagai tambahan boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat tidak kurang daripada 36 jam dan tidak lebih 240 jam, jika sabit kesalahan, katanya.

“Kami faham apabila berlaku musibah seperti kehilangan anak yang disayangi tapi bukan disengajakan,” katanya dan menzahirkan takziah kepada ibu bapa mangsa seraya mengingatkan bahawa tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka yang cuai selain mahu berlaku adil kepada kanak-kanak dan bayi yang telah meninggal dunia. — Bernama

 

Sumber: www.themalaymailonline.com

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel