≡ Menu

Kita Teruk Dijajah China Selepas 60 Tahun Merdeka?


Tiada siapa mampu nafikan bahawa isu yang paling kencang bertiup menjelang sambutan kemerdekaan negara ke-60 kali ini ialah ‘penjajahan China’. Berikut analisis 19 isu yang perlu diberi perhatian.

1. Isu hartanah: persepsi ini agak ketara dikaitkan dengan projek di Johor dan di Melaka. Demikianlah projek ‘Shenzen Malaysia’, serta skim seperti Malaysia My Second Home (MM2H). Pemberian status pegangan bebas ‘freehold’ kepada warga China dipersoalkan kerana warga tempatan sendiri tidak mampu untuk memiliki aset hartanah. Keadaan ini juga bakal mengimpak struktur demografi penduduk negara kelak. Kerajaan Malaysia perlu campur tangan secara agresif dalam menghadapi isu pemilikan hartanah asing ini.

2. Isu Bank China: persepsi bahawa Bank China seperti Export-Import Bank of China (Exim Bank) memiliki peranan besar dalam penentuan beberapa keputusan melibatkan projek infrastruktur di Malaysia di mana syarat pelantikan kontraktor ditetapkan agar memberi kelebihan dan keutamaan hanya kepada para kontraktor China tidak kurang hebatnya. Rakyat Malaysia juga perlu membayar hutang projek pembangunan yang dibiayai pinjaman Bank China ini. Sewajarnya dari awal lagi sumber pembiayaan alternatif lain turut dipertimbangkan seperti Bank Pembangunan Asia (ADB) atau pun Bank Pembangunan Islam (IDB).

3. Isu kontraktor China: Malaysia tidak kekurangan pakar dan kemahiran bagi membina infrastruktur berskala besar seperti syarikat Gamuda, IJM, dan sebagainya. Maka sekali pun kontraktor seperti IJM diberi peluang bekerjasama dengan Beibu Gulf Port Group (China) dalam projek pelabuhan Kuantan, namun pihak kerajaan perlu lebih agresif mengusahakan agar lebih banyak kontraktor Malaysia mendapat peluang dan manfaat berbanding kontraktor China dalam pembinaan aset strategik negara.

4. Isu Nelayan China: pihak Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) serta khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri seperti Datuk Seri Shahidan Kasim sendiri telah berulang kali memberi amaran akan penjajahan para nelayan asing (termasuklah dari China) di Zon Ekonomi Eksklusif milik Malaysia. Selain daripada bantahan diplomatik yang lebih signifikan, pemerkasaan aset seperti radar dan kapal peronda perlu diberi keutamaan.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

5. Isu Pulau Buatan China: Perkembangan pesat pembinaan pulau-pulau buatan China di Kepulauan Spratly tidak boleh dinafikan memberi impak kepada perkiraan strategik (strategic calculation) Malaysia di Laut China Selatan. Meski pun tidak berada dalam perairan Malaysia secara langsung, namun kelengkapan ketenteraan yang semakin canggih dan semakin banyak ditempatkan di sana pastinya menggugat kestabilan rantau ini.

6. Isu Sembilan Garis Terpecah: Peta yang diterbitkan China pada 2009 ini jelas menceroboh Zon Ekonomi Malaysia (ZEE) di mana Garis Keempat menceroboh perairan Bintulu dan Miri di Sarawak manakala Garis Kelima menerobos jauh dari perairan berhampiran Beaufort, Papar, Kota Kinabalu, Kota Belud, dan Kudat, Sabah. Dialog Konstruktif perlu diteruskan oleh Malaysia agar China memahami bahawa ianya adalah lebih bermanfaat untuk China melindungi kepentingan mereka di Laut China Selatan menerusi kerjasama ketenteraan bilateral dengan negara-negara Asia Tenggara, dan bukannya dengan cara cuba membolot Laut China Selatan.

7. Isu alam sekitar: Dominasi syarikat China dalam projek ECRL menimbulkan persoalan dari segi pemantauan terhadap penjagaan alam sekitar di kawasan yang terlibat. Terkini, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) telah menyerahkan memorandum bantahan berhubung keperluan laporan penilaian impak alam sekitar (EA) projek ECRL ini terutama sekali hakikat bahawa Banjaran Titiwangsa bakal direntasi dalam projek ini.

8. Isu Tenaga: Edra Energy iaitu aset penjana tenaga milik syarikat 1MDB yang berjaya dibeli syarikat China juga dianggap bakal menjadi pemain industri tenaga yang utama di Malaysia. Meskipun kerajaan memberi jaminan bahawa TNB masih merupakan aktor yang bertanggungjawab dalam penentuan kadar tenaga (elektrik) dalam negara, namun senario sebegini perlu diperbetulkan kembali demi meraih keyakinan rakyat. Perancangan ke arah mengambil alih Edra kembali ke pangkuan milik kerajaan mahu pun swasta di Malaysia perlu dimulakan.

9. Isu pelabuhan Malaysia: Syarikat China telah memiliki pegangan dalam beberapa projek pembinaan pelabuhan strategik negara seperti Pelabuhan Kuantan di Pahang dan Melaka. Meskipun pembinaan pelabuhan ini cukup penting bagi meningkatkan kapasiti pelabuhan negara yang setakat ini ditampung Pelabuhan Klang dan Tanjung Pelepas sahaja, namun ia tidak seharusnya dilihat eksklusif memanfaatkan China semata-mata sedangkan dalam masa yang sama memencilkan kuasa pasifik lain seperti Jepun dan Korea Selatan yang turut sepatutnya diundang kerana kebergantungan yang sama kepada laluan yang sama.

10. Isu automotif: Penjualan pegangan 49.9 peratus Proton kepada Geely dari China masih belum menunjukkan impak signifikan. Sebaliknya produk Geely iaitu ‘Boyue’ pula yang cuba dipasarkan di Malaysia. Sepatutnya Proton yang diutamakan untuk diberi akses ke China dan juga negara operasi Geely yang lain di seluruh dunia, di samping mengemukakan perancangan ampuh jangka panjang untuk kemajuan automotif negara.

11. Isu Sosiobudaya: Antara tanda-tanda isu ini tidak boleh dipandang enteng adalah apabila Duta China ke Malaysia Dr. Huang Huikang membuat kenyataan tentang kepentingan kaum Cina di Jalan Petaling. China turut mengeluarkan kad khas buat orang China di seberang laut. Meski pun Malaysia tegas dalam isu kewarganegaraan, isyarat perlu diberi kepada Beijing bahawa urusan dalaman negara Malaysia – sekali pun melibatkan mereka yang berketurunan Cina – tidak boleh diizinkan kepada campur tangan China.

12. Isu Bahasa Mandarin: sepatutnya China tidak mengulangi hegemoni kuasa-kuasa Barat yang mengutamakan Bahasa ibunda mereka semata-mata tanpa penghormatan kepada Bahasa ibunda negara-negara lain, terutama sekali negara kecil. Pemimpin Malaysia pula perlu memberi penekanan pada Bahasa Melayu sebagai Bahasa antarabangsa dan menganjurkan order multipolar bukan hanya dalam konteks politik, tetapi juga dalam konteks Bahasa.

13. Isu akses Maklumat: kebanyakan projek berskala gergasi China di Malaysia sukar untuk dikaji kerana kekurangan akses maklumat terbuka yang boleh dicapai secara atas talian. Hal ini pastinya membimbangkan kerana terdapat beberapa kes di mana syarikat milik China ini didapati bermasalah dalam pengurusan projek di negara-negara lain seperti China Communication Construction Company (CCCC).

BACA:  BAHAYA PENGGUNAAN KORSET DAN BENGKUNG!! NAK CANTIK KENA BERPADA-PADA

14. Isu aset Ketenteraan: keputusan Malaysia untuk membeli empat kapal laut dari China bagi tujuan ketenteraan turut mengundang pertimbangan yang lebih mendalam. Hal ini demikian kerana kapal milik tentera China diketahui sering ‘berkonfrontasi’ dengan TLDM di ZEE milik Malaysia seperti yang pernah dialami KD Kedah tidak berapa lama dahulu. Sewajarnya syarikat anak tempatan diberi keutamaan penuh dalam projek aset strategik negara ini.

15. Isu Jentera China: projek pembangunan infrastruktur di Malaysia juga tidak dapat dinafikan bakal diusahakan oleh jentera-jentera berat dari China. Tiadakah syarikat milik anak tempatan yang boleh diberi peluang bagi menyediakan kemudahan jentera ini? Kerajaan Malaysia perlu mempertimbangkan langkah yang boleh memberi manfaat kepada kontraktor serta jentera yang dioperasikan anak tempatan.

16. Isu Teknologi China: setakat ini boleh dikatakan tiada hitam putih yang jelas diisytiharkan tentang manfaat pemindahan teknologi dari China yang boleh memanfaatkan kapasiti syarikat atau agensi milik awam Malaysia di bawah projek-projek infrastruktur di Malaysia.

17. Isu peluang pekerjaan: projek-projek gergasi China di Malaysia turut membawa bersama para buruh dari tanah China. Malah baru-baru ini luas tersebar syarat pengambilan kerja yang melibatkan beberapa posisi dalam projek pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang hanya menerima pekerja yang boleh berbahasa Mandarin sahaja. Kerajaan Malaysia perlu mengambil serius isu ini agar diskriminasi sebegini tidak berterusan.

18. Isu Import China: kadar kebergantungan serta hubungan perdagangan yang pesat dengan China turut menimbulkan kebimbangan. Meski pun China merupakan rakan dagang utama Malaysia, namun potensi untuk berlakunya pengurangan eksport kita ke China serta lambakan import yang memudaratkan dari China tidak boleh dipandang mudah. Maka Malaysia perlu untuk menambah nilai dalam produk eksport ke China dan dalam masa yang sama mempelbagaikan destinasi import agar kebergantungan kepada import China dapat dioptimumkan.

19. Isu peluang anak negeri: Projek ECRL dikatakan bakal memberi faedah kepada para penduduk di sekurang-kurangnya tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu, dan Pahang. Namun demikian, anak negeri di ketiga-tiga negeri tersebut kurang diberi peluang yang sepatutnya dalam proses pembinaan ECRL ini. Anak negeri Pantai Timur juga sepatutnya dilibatkan secara lebih intensif dan pada peringkat yang tertinggi dalam pembuatan keputusan berkaitan projek ECRL ini, bukannya hanya sekadar menjadi pemerhati atau mendapat peluang kerja yang ibarat ‘melukut di tepi gantang’ semata-mata.

Oleh: Abdul Muein Abadi

Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel