
Di era teknologi dan digital ini, hampir separuh kehidupan kita banyak tertumpu di media sosial. Tidak dinafikan media sosial banyak memudahkan perhubungan kita pada hari ini. Namun, sejauh mana kesedaran kita tentang adab sebagai pengguna media sosial?
Kebanyakkan pengguna mengabaikan adab di media sosial kerana para pengguna tidak berhadapan secara langsung. Sebenarnya keadaan ini tidak boleh dijadikan tiket untuk pengguna media sosial memperlakukan netizen lain sewenang-wenangnya. Justeru mari kita semak beberapa adab yang perlu dijaga untuk bergaul di media sosial.
#1- Pasakkan Niat Yang Baik
Realiti hari ini, media sosial menjadi medan fitnah yang sangat hebat. Bayangkan, kecanggihan teknologi hari ini telah menyebabkan maruah seseorang boleh dijatuhkan dengan hanya satu klik sahaja.
Berlakunya kepincangan dalam penggunaan media sosial adalah disebabkan oleh kegagalan individu untuk memahami tujuan sebenar mereka mencipta akaun di media sosial.
Tujuan sesuatu perkara dilakukan adalah bergantung kepada niat kita. Jika baik niat, maka baiklah tindakannya dan jika buruk niatnya, maka buruklah akibatnya. Soalnya, apa niat kita untuk mencipta akaun di media sosial. Adakah untuk mempromosikan produk? Atau sekadar ingin mengikuti perkembangan kawan lama dan sebagainya.
Seelok-eloknya, untuk mencipta sesuatu akaun sosial, perlu untuk kita fahami apa tujuan asal kita. Sekiranya niat kita baik, lebih mudah untuk kita mengelakkan diri daripada terlibat dalam pengaruh negatif di media sosial seperti mengumpat, memfitnah dan mencerca orang lain.
#2 – Tidak Meninggalkan Kewajipan Utama
Satu kajian barat mendedahkan bahawa kebanyakkan pekerja membazirkan 38% daripada masa bekerja mereka di laman sosial. Sebagai muslim, perkara ini haruslah dielakkan kerana masa bekerja adalah amanah.
Sekiranya pekerja sibuk melayari laman sosial, produktiviti kerja akan mula merosot. Banyak kerja yang gagal disiapkan mengikut garis masa yang telah ditetapkan. Akhirnya tidak mustahil prestasi syarikat akan jatuh merudum.
Kelalaian di media sosial bukan hanya berlaku di sektor pekerjaan, malah juga dalam kehidupan rumah tangga. Bukan sedikit kes penceraian yang berlaku disebabkan kelalaian individu terhadap media sosial. Pasangan suami isteri gagal menyempurnakan tanggungjawab masing-masing kerana sibuk melayan sahabat maya di Facebook atau Instagram masing-masing.
Islam menggalakkan seseorang untuk besederhana dalam segala sesuatu. Tidak salah untuk bersosial di media tetapi gunakanlah secara sederhana. Janganlah terlalu lalai di media sosial sampai pembelajaran anak-anak terabai, keperluan suami isteri tidak dipenuhi dan sebagainya. Kuasailah teknologi media sosial, jangan biarkan teknologi itu yang menguasai kita.
#3 – Menjaga Akhlak
Antara cabaran yang besar di media sosial adalah menjaga akhlak. Sudah menjadi lumrah untuk seseorang itu menerima kritikan di media sosial. Soalnya bagaimana respon kita terhadap kritikan itu. Adakah kita menerimanya dengan hati yang terbuka atau melawan balik dengan lemparan maki hamun dan carut marut.
Di alam maya, banyak video kontroversi yang ditularkan oleh netizen. Sesetengah video dimuat naik tanpa dikenal pasti kesahihan sumbernya. Malangnya lebih ramai netizen yang memberi komen menghukum tanpa menyelidiki apa yang berlaku di sebalik video tersebut.
Namun, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Orang yang terlalu cepat menghukum pasti akan menyesal jika video yang ditularkan itu tidak benar. Sebab itulah Islam mengajar kita untuk sentiasa berhati-hati dalam mendengar suatu perkhabaran. FirmanNya di dalam Al-Quran:
Hai orang-orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu
(Al-Hujurat:6)
Lagipun, jika kita terlalu seronok mengeji dan mencaci netizen lain di alam maya, jangan terkejut jika anda sukar untuk mendapat kerja atau pinangan anda ditolak suatu hari. Ini kerana segala perbuatan dan tutur kata anda akan dinilai oleh orang lain jua suatu hari nanti.

#4- Menjaga Keselamatan Diri
Di laman sosial, pengguna perlu bijak menjaga keselamatan diri. Sesetengah individu suka berkongsi perkara secara terperinci. Contohnya, alamat rumah, pekerjaan dan di mana dia sering berada. Sebenarnya berkongsi maklumat diri bukanlah sesuatu yang bijak terutamanya kepada umum. Ini kerana, sesiapa sahaja boleh memanipulasikan maklumat peribadi kita untuk kepentingan tertentu.
Terlalu kerap berkongsi gambar di laman sosial juga sangat berbahaya terutamanya buat wanita. Jika ada lelaki yang tergoda dengan kecantikan wanita, tidak mustahil lelaki tersebut akan memburunya dan melakukan perkara yang tidak elok kepada wanita itu.
Kes sebegini pernah berlaku di Nigeria di mana seorang model yang suka memuatnaik gambarnya di facebook akhirnya mati dibunuh oleh peminatnya yang sudah lama tergila-gilakannya.
#5 – Jadikan Media Sosial Sebagai Medan Dakwah
Sebenarnya, medan sosial boleh menjadi sumur pahala yang besar jika kita pandai memanfaatkannya. Contohya berkongsi video ceramah agama dan motivasi, menulis kata-kata inspirasi dan sebagainya. Sekiranya apa yang didakwahkan menjadi ikutan, pasti ia akan menyuburkan kebaikan dalam kehidupan kita. Tawaran Allah kepada si penyebar kebaikan juga sangat besar sebagaimana yang disabdakan Nabi iaitu:
“Maka demi Allah, sekiranya Allah memberi hidayah kepada seorang sahaja (kerana dakwah) melalui dirimu, itu adalah lebih baik baik bagi kamu daripada memiliki unta-unta merah”
(HR Bukhari dan Muslim)
Perbandingan hari ini, unta merah itu ibarat Ferrari, Lamboghini dan pelbagai lagi kenderaan mewah. Subhanallah, betapa tingginya nilai hidayah di sisi Allah sehingga mengatasi segala kemewahan hidup di dunia ini. Jadi, apa tunggu lagi? Teruskan berkongsi perkara yang baik. Perkongsian yang baik itu mungkin menjadi kunci hati buat pemburu redha Allah.
#6 – Berpada-Pada Dalam Berinteraksi Dengan Bukan Mahram
Menjaga pergaulan di alam maya hari ini sangat menuntut disiplin dan kejujuran diri yang tinggi. Kebanyakkan kes zina yang berlaku hari ini adalah disebabkan pergaulan yang mula bertunas di media sosial. Contohnya aplikasi We Chat. Ramai remaja yang hilang kehormatan diri dek terlalu mudah mempercayai individu yang tidak dikenali melalui aplikasi tersebut.
Berinteraksi secara berlebihan di media sosial akan membuka pelbagai pintu fitnah yang lebih besar. Banyak kes-kes keruntuhan rumah tangga berlaku disebabkan pertemuan dengan kekasih lama di alam maya.
Apabila cinta monyet kembali berbunga, individu itu sangat sukar untuk berfikiran rasional sehingga sanggup menggadaikan kebahagiaan keluarga yang sedia ada demi mengejar cinta lama yang disaluti keindahan palsu.
Lantaran itu, kita mestilah berhati-hati. Jangan sesekali kita memberi laluan mudah kepada syaitan untuk merosakkan kebahagiaan rumah tangga kita. Berhubunglah mengikut kadarnya sahaja. Jika ia berlarutan sehingga melibatkan perkongsian perasaan, hentikan sahaja. Semoga mujahadah kita melawan hawa nafsu akan diganjarkan Allah dengan sebaik-baik balasan.
Kesimpulannya, dalam kita bergaul di media sosial, jangan lupa kepada zat Allah yang Maha melihat dan memerhatikan hambanya. CCTV Allah itu sentiasa berada di mana-mana dan akan berfungsi setiap saat dan setiap ketika. Bahkan satu makhluk pun tidak akan terlepas daripada pemerhatianNya.
Kita mungkin boleh memadam kembali history carian yang kita buat. Namun di sisi Allah, perkara itu tidak mungkin terpadam. Ia akan tercatat di buku amalan dan selamanya akan berada di situ. Justeru, ingatlah malaikat pencatat yang setia di sisi dan takutlah pada Allah di saat kita bersendirian kerana itulah yang akan membentengi diri kita daripada tercampak ke lembah kemungkaran.
Sumber: Tazkirah.net

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel