KEJADIAN seorang pelajar terbunuh akibat ditimpa kerusi yang dicampak dari tingkat atas Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pantai Dalam, Kuala Lumpur hanyalah satu kisah budaya tidak bertimbang rasa terhadap orang lain dalam masyarakat kita. Setiap hari, kita mendapati ada sahaja individu yang melonggokkan sampah di tempat yang tidak sewajarnya. Sebenarnya budaya tidak kisah dengan orang lain ini berlaku di mana-mana sahaja.
Setiap kali memandu di jalan raya, kita akan dapati betapa sukarnya pemandu untuk memberikan lampu isyarat sama ada ingin membelok ke kiri atau kanan. Kita juga mendapati, orang kita parkir kereta di tempat yang tidak sewajarnya sekalipun tahu perbuatan tersebut boleh menyebabkan jalan bertambah sesak dan menyusahkan orang lain.
Kita juga sering kali melihat lori yang membawa muatan berisiko seperti batu atau kayu tetapi ia tidak ditutup dengan kanvas bagi mengelak barangan tadi terjatuh. Dalam situasi yang lain, di kedai makan atau dalam kawasan hospital yang merupakan tempat dilarang merokok, orang kita akan merokok seperti biasa. Seolah-olahnya ia tidak ada kaitan dengan orang lain dan orang lain juga tidak terganggu dengan apa yang mereka lakukan.
Semua ini adalah budaya buruk yang wujud di mana-mana sahaja dalam kalangan masyarakat kita. Dalam kes pembuangan kerusi yang berlaku di PPR baru-baru ini, secara psikologinya ia bukanlah tindakan pertama individu tadi atau masyarakat sekelilingnya.
Hal biasa
Sekiranya kita melalui kawasan PPR, kita akan mendapati longgokan sampah akan berada di mana-mana sahaja. Pasti jugalah, membaling objek sama ada besar atau kecil dari tingkat atas juga adalah hal biasa. Bagaimanapun, budaya tidak kisah dengan orang lain ini berlaku setiap hari dan orang lain yang melihatnya juga tidak pernah kisahkan dengan situasi yang berlaku.
Akhirnya semua orang merasakan tindakan seperti ini adalah sesuatu yang buruk tetapi ia adalah hal yang dibolehkan. Sebenarnya dalam kebanyakan kes, manusia ini boleh dikawal perilaku mereka melalui watching eyes effect atau dalam bahasa yang mudah, diperhatikan orang lain.
Ia sama ada diperhatikan secara langsung atau mereka merasa seolah-olah sedang diperhatikan. Di kawasan yang bersih, seseorang akan merasakan mereka sebenarnya diperhatikan sekiranya cuba untuk membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan.
Begitu jugalah dengan penjenayah. Mereka tidak akan melakukan jenayah di kawasan yang dianggap selamat kerana mereka merasa seolah-olah sedang diperhatikan orang lain. Sekiranya kita lihat kawasan perumahan di Putrajaya atau kondominium mewah, kita akan dapati bahawa persekitarannya sangat nyaman dan bersih.
Ini bukanlah bermakna bahawa penduduk yang tinggal di situ adalah mereka yang mempunyai sifat bersih belaka. Sebaliknya, keadaan persekitaran yang bersih, ditambah pula dengan pemasangan kamera litar tertutup, manusia akan cuba menjaga reputasi mereka. Mereka tidak akan melakukan sesuatu yang boleh merosakkan imej mereka sekalipun dengan kesalahan yang kecil.
Sebenarnya kawasan yang kotor juga memberikan implikasi kehidupan masyarakat yang lain. Kajian-kajian akademik di beberapa negara Barat menunjukkan bahawa kawasan kediaman yang kotor berkait rapat dengan tingginya kadar jenayah, vandalisme, penagihan dadah dan beberapa aktiviti tidak bermoral lain.
Ambil peduli
Ini kerana wujudnya sampah itu sendiri memberikan ‘isyarat’ betapa masyarakat di situ tidak pernah mempedulikan orang lain. Ini memberikan ruang yang banyak untuk mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan jenayah atau tindakan tidak bermoral. Sebab itu, setiap orang harus mempunyai rasa peduli.
Kematian yang berlaku akibat pembuangan kerusi itu sebenarnya hanya sekadar isyarat betapa masyarakat kita sedang dirosakkan dengan rasa pentingnya diri sendiri. Selama ini, masyarakat kita tidak pernah pun merasa ‘sedang diperhatikan’ kerana apabila mereka melakukan sesuatu yang buruk, tidak pernah ada sesiapa yang menegur.
Malah, orang lain melakukan perkara yang sama. Kitalah yang patut memulakannya. Saranan untuk memasang jaring bagi mengelakkan berulangnya kejadian yang buruk kepada penduduk di situ tidak akan mengubah apa-apa.Ia hanya bakal menjadi ‘tong sampah’ baharu sekiranya penduduk sendiri tidak pernah mahu berubah.
SUMBER: KOSMO
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel