
KUALA LUMPUR: Empat lokasi yang dikenal pasti sebagai zon merah jangkitan COVID-19 di ibu negara, akan dipantau secara lebih intensif oleh pihak berkuasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata lokasi terbabit ialah Parlimen Lembah Pantai, Titiwangsa, Kepong dan Cheras.
“Kawasan ini dianggap sebagai zon merah COVID-19. Pemantauan dan pemerhatian lebih intensif akan dilakukan terutama di kawasan yang mempunyai kes positif jangkitan COVID-19.
“Kementerian Kesihatan turut mewartakan 11 tempat kuarantin di Wilayah Persekutuan termasuk Labuan.
“Pusat kuarantin ini akan mula digunakan esok, oleh Kementerian Kesihatan dan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) yang akan mengatur pemindahan sebahagian daripada mereka yang sedang dikuarantin di Masjid Seri Petaling,” katanya menerusi video dimuat naik di Facebook, hari ini.
Annuar berkata 5,000 individu termasuk 1,413 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 1,500 anggota polis dan 1,500 penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dikerahkan untuk bertugas dalam tiga shif berbeza sepanjang tempoh PKP sekitar ibu negara.
Katanya, beberapa doktor dan jururawat akan turut terbabit bagi mengawal situasi semasa.

“Dengan penambahan kekuatan daripada ATM, kita akan meningkatkan jumlah sekatan jalan di bandar raya ini daripada 40 kepada 58 sekatan jalan.
“Sekatan dibuat bagi memberi hebahan dan nasihat kepada orang ramai selain untuk memastikan setiap pergerakan yang dibuat berdasarkan keperluan semata-mata,” katanya.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, beberapa anggota bertugas akan meronda di Chow Kit, Brickfields dan Selayang selepas pihaknya mendapat laporan beberapa individu dan pemilik premis perniagaan tidak mematuhi konsep penjarakan sosial.
Mengulas mengenai Projek Perumahan Rakyat (PPR), Annuar berkata, pihak jawatankuasa pengurusan PPR perlu memainkan peranan bagi memastikan pergerakan terhad dalam kalangan penduduk.
“Ada 40,000 unit PPR di Wilayah Persekutuan. Jawatankuasa pengurusan di PPR boleh mainkan peranan menghalang penularan COVID-19.
“Yang kedua, kena pastikan lif bersih selain menjalankan pemeriksaan suhu badan kepada mereka yang keluar dan masuk terutama yang tinggal di PPR padat dengan penduduk,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Annuar berkata, orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan sumbangan seperti barangan keperluan, makanan dan topeng muka boleh menghubungi pejabat penguatkuasaan DBKL di Jalan Tun Razak menerusi talian, 03-26179505 atau 03-26179885.
“Kita alu-alukan sumbangan daripada orang ramai untuk membantu anggota dan pegawai dalam menjalankan tugas dalam tempoh PKP,” katanya

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel