≡ Menu

Kenapa Ibu Selalu Ajar Baca Surah Maryam Agar Mudah Bersalin! Ini Sebabnya


“Selalu kita dengar orang akan suruh kita baca Surah Maryam masa mengandung dan inginkan zuriat, supaya nanti mudah bersalin. Jadi kita pun bacalah… Tapi, kenapa ya?”

Sebenarnya, tidak ada sebarang syarak yang menetapkan surah ini dibaca sewaktu hamil. Namun, seperti ayat Al-Quran yang lain, setiap baris ayatnya sangat bermakna dan membawa mesej luarbiasa kepada hati manusia yang beriman. Malah, ia mengandungi doa khas untuk bacaan harian bagi pasangan yang ingin mendapat zuriat.

Dalam Surah Maryam khususnya, kita akan dapat menghayati beberapa pengajaran yang boleh dikaitkan dengan kehamilan dan keibubapaan. Secara tidak langsung, ia menyokong kenapa surah ini amat sesuai untuk kita baca sewaktu mengandung dan agar mudah bersalin.

PENGAJARAN DARI SURAH MARYAM: 8 TIPS KEHAMILAN DAN MUDAH BERSALIN

1. JANGAN SESEKALI BERPUTUS ASA
11 ayat terawal surah ini menceritakan tentang kisah Nabi Zakaria yang berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah supaya dikurniakan zuriat.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Mesej luarbiasa yang ingin disampaikan di sini ialah bagaimana Nabi Allah ini mengatakan baginda tidak pernah kecewa dengan setiap doa yang dipanjatkan kepada Allah dan tidak akan berputus asa untuk terus memohon walaupun ia nampak seperti sesuatu yang mustahil.

Dalam ayat 4-5, maksud ayat tersebut:
“Ia merayu dengan berkata Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putih melepaklah kepalaku; dan aku – wahai Tuhanku – tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.”
“Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas agama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki.”

Bayangkanlah, Nabi Zakaria sendiri mengaku betapa usianya telah lanjut, tambahan pula isterinya seorang yang mandul!

Namun, kedua-dua sebab ini tidak pernah menjadi halangan kepada Allah untuk memakbulkan permintaan seorang hamba. Jadi, sedangkan seorang nabi diuji dengan pelbagai ujian hebat tidak pernah berputus asa, jadi siapakah kita untuk berhenti berharap dan berdoa?

2. SENTIASA BERSYUKUR
Daripada kisah di atas juga, kita dapat jadikan pengajaran untuk bersyukur atas kurniaan anak ini kerana terdapat ramai di luar sana yang belum mampu mendapatkan zuriat walaupun setelah sekian lama mencuba.

Ia juga mengingatkan kita walau dalam apa jua keadaan, kita mesti sentiasa positif dan optimis. Contohnya, jika kita rasa letih semasa mengandung, peringatan ini juga akan memberi kekuatan kepada kita untuk bersyukur dan percaya kepada rezeki Allah.

BACA:  Tangguh Menunaikan Nazar Kerana Uzur. Apakah Hukumnya? Ini Jawapannya

Secara tidak langsung, kita akan menghargai seluruh perjalanan kehamilan ini dan berazam untuk mendidiknya sebaik mungkin.

3. TETAPKAN HARAPAN UNTUK MENDAPAT ANAK YANG SOLEH
Tips Didik Anak Cara Rasulullah. Walaupun Moden, Masih Relevan.

Dalam doa Nabi Zakaria di atas, baginda menyatakan perasaan terdesaknya mendapatkan anak lelaki supaya zuriatnya itu dapat meneruskan dakwahnya. Bukan untuk tujuan keduniaan yang lain. Bukan kerana malu dengan pandangan masyarakat, dan bukan juga kerana mahu seseorang untuk menjaganya kelak.

Oleh itu, semasa mengandung kita perlulah sentiasa menanamkan niat supaya anak yang dilahirkan itu akan menjadi anak yang soleh. Soleh bagaimana?

Mintalah doa dengan terperinci supaya anak yang dikurniakan itu dilembutkan hatinya mengenal dan mencintai Allah. Mohonlah supaya dengan adanya anak ini nanti, kita akan turut menjadi ibu yang sabar, bertanggungjawab, mengamalkan sunnah dalam mendidiknya, dan semoga anak tersebut menjadi saham kita di akhirat kelak.

4. MAKAN KURMA UNTUK TENAGA DAN PENCERNAAN
Dalam ayat 23-26, Allah menceritakan bagaimana Maryam menghadapi sakit bersalin seorang diri. Namun, Allah mempermudahkannya dan kita boleh juga menjadikannya panduan semasa menghampiri proses bersalin nanti.

Disebutkan dalam ayat 23, maksudnya “(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!”

Lalu, dalam ayat berikutnya Allah menyeru Maryam supaya tidak bersedih dan memberikan beberapa kemudahan buatnya; iaitu anak sungai yang mengalir, dan buah tamar yang jatuh untuk dimakan apabila digegarkan pohonnya.

Dari segi saintifik, memang telah terbukti khasiat kurma untuk wanita mengandung mudah bersalin. Ia mengandungi kandungan glukosa yang mampu membekalkan tenaga, mengatasi anemia, serat yang memperbaiki proses pencernaan untuk ibu hamil, selain nutrisi yang cukup untuk pembentukan janin.

5. AIR MEMBANTU PROSES BERSALIN
Saya juga menemui beberapa hujah yang menarik di mana mereka mengulas bahawa anak sungai yang mengalir ini merujuk kepada pentingnya kita banyak meminum air untuk lebih mudah bersalin.

Selain itu, berendam di dalam air atau mandi pancuran air suam banyak manfaatnya dalam membantu melegakan kontraksi. Bukan itu saja, bersalin di dalam air seperti proses ‘water birth’ yang makin popular sekarang ternyata menjadi pilihan ramai kerana ia menenangkan dan mempunyai kesan koyakan yang minima. Subhanallah!

BACA:  Selalu Je Nampak, Tapi Tak Tahu Manfaatnya! Ini Kebaikan Bunga Kenanga Yang Tak Ramai Tahu

6. PERLU USAHA, WALAUPUN SAKIT!

Episod pengorbanan ibu ditunjukkan melalui kesakitan Maryam semasa bersalin seorang diri. Ia mengingatkan kita bahawa bukannya mudah bersalin melahirkan zuriat.

Di sebaliknya, ayat ini turut menunjukkan bahawa walaupun Allah mempermudahkan jalan untuk kita, Dia lebih suka jika kita berusaha, walaupun sedikit. Lihatlah saja bagaimana Allah Maha Berkuasa sekiranya Dia mahu Maryam melahirkan Nabi Isa tanpa sebarang kesakitan. Justeru, Dia lebih tahu apa yang terbaik buat hambanya.

7. POSISI BERSALIN
Maka, diajarkan Maryam agar menggegarkan pohon kurma sebagai salah satu usaha mengurangi kesakitan. Dalam perubatan moden, hal ini sangat relevan kerana pelbagai posisi bersalin menggalakkan kita berada dalam keadaan duduk atau separa berdiri, bukannya berbaring.

Beberapa posisi lain serta teknik pernafasan juga diajar kepada wanita mengikut keselesaan agar dapat mengurangi sakit dan lebih mudah bersalin.

Keseluruhan proses ini bukan sahaja memberi cabaran kepada wanita secara fizikal, tetapi ia memberi kesan yang mendalam dari segi mental. Kekuatan inilah yang membentuk peribadi wanita yang kuat dan tabah dari segala hal setelah bergelar ibu.

8. PERSIAPAN BERGELAR IBU BAPA
Dalam ayat 42-50, diceritakan pula kisah Nabi Ibrahim AS yang berbicara kepada ayahnya supaya mengakui keesaan Allah. Salah satu pengajaran untuk kita adalah apabila sudah menjadi ibu bapa kelak, kita perlu bersedia menerima teguran atau tunjuk ajar, walaupun daripada anak sendiri.

Ini kerana, mungkin anak kita telah diberikan kelebihan atau hidayah yang belum dikurniakan kepada kita. Secara logiknya, setelah menjadi ibu bapa, kita cenderung mengarah anak dan jarang mempunyai masa untuk refleksi diri dan mencari kelemahan masing-masing. Tidak kiralah seseorang itu muda atau tua, lelaki atau perempuan.

SETIAP AYAT MENGANDUNGI HIKMAH
Sebenarnya, terdapat banyak lagi kelebihan yang dapat ditonjolkan dalam Surah Maryam, tidak terhad kepada proses kehamilan dan mudah bersalin sahaja. Namun, di atas perkongsian yang sedikit ini diharapkan kita lebih menghayati setiap bait ayat daripada Surah Maryam apabila membacakannya.

Semoga Allah memberkati anak yang dikandungkan kelak dan menetapkan Al-Quran dalam hati kita untuk setiap keadaan. Wallahu Alam.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel