Soalan :
Bolehkah seorang guru tidak menghalalkan ilmu kepada pelajarnya kerana pelajarnya melakukan kesalahan terhadap guru tersebut? Adakah tindakan tidak menghalalkan ilmu sesuatu tindakan yang wajar?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.
Islam amat menghargai ilmu. Tambahan pula, menuntut ilmu merupakan satu kewajipan bagi setiap umat Islam. Sebagaimana yang di sabdakan oleh Nabi SAW:
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Maksudnya: “Menuntut ilmu adalah satu kewajipan ke atas setiap Muslim”
Riwayat Ibnu Majah (224)
Dengan ilmu manusia akan menerima banyak kelebihan bahkan ia merupakan kayu ukur dalam kehidupan manusia bagi menentukan sama ada perkara tersebut baik ataupun buruk. Misalnya, ketika temuduga pekerjaan, latarbelakang pendidikan merupakan diantara kelayakan utama yang akan disemak oleh majikan sebelum diterima untuk bekerja.
Ini selari dengan firman Allah SWT memberi jaminan kepada orang yang berilmu di angkatkan darjatnya.
Firman Allah SWT:
يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”.
(Surah Al-Mujadalah:11)
Proses penyampaian ilmu merupakan tugas sinonim bagi seorang guru. Bahkan dalam menuntut ilmu, penuntut disarankan untuk berguru kerana ia merupakan jalan dan perantaraan yang terbaik untuk memperolehnya. Guru merupakan pendidik yang bertanggungjawab dalam memikul tugas mulia dan sentiasa diyakini sebagai orang yang memiliki ketinggian ilmu, akhlak dan tingkah laku.
Merujuk kepada soalan diajukan, tidak diketemui perbincangan yang khusus dikalangan ulama’ yang membahaskan konsep “tidak menghalalkan ilmu atau meminta untuk menghalalkan ilmu”. Kami beranggapan guru yang mengucapkan “tidak menghalalkan ilmu kepada penuntut ilmu atas alasan melakukan kesalahan, ia merupakan satu terma ugutan bagi seorang guru terhadap anak muridnya supaya beradab dalam menuntut ilmu. Begitu juga, konsep bagi anak murid meminta untuk menghalalkan ilmu daripada guru. Kami melihat kata-kata tersebut membawa erti tersirat yang menjelaskan ia sebagai satu adab tinggi bagi memperoleh keberkatan ketika menuntut ilmu disamping menghormati dan memuliakan gurunya.
Namun begitu, jika guru yang menyebut sedemikian di hadapan anak murid, maka hal tersebut tidaklah membawa kepada dosa jika diamalkan ilmu yang disampaikanya. Bahkan Imam Nasai’ sendiri pernah berlaku perselisihan bersama gurunya dan dihalau dari bertalaqi. Tetapi beliau tetap hadir bertalaqi walaupun tidak dapat melihatnya. Kisah ini diceritakan oleh Imam Ibnu Athir di dalam kitabnya, beliau menceritakan tentang biografi Imam Nasai’ bersama gurunya Al-Haris bin Miskin. Apabila Imam Nasai’ meriwayatkan hadis daripada Al-Haris bin Miskin, beliau akan mengunakan perkataan “telah berkata Al-Haris bin Miskin dan aku mendengar” berbanding beliau menggunakan “telah berkata kepada kami atau telah mengkhabarkan kepada kami” seperti mana beliau menggunakan pada guru-gurunya yang lain. Ini kerana, dikatakan bahawasanya Al-Haris dan Imam Nasai’ pernah berselisih faham sehingga menyebabkan beliau tidak dapat hadir lagi ke majlis gurunya itu. Bahkan beliau hanya bersembunyi pada satu sudut dan mendengar apa yang dibacakan oleh gurunya tanpa melihat.
(Rujuk Jamik al-Husul fi al-Hadith al-Rasul, 1/196).
Beradab di hadapan guru adalah prinsip yang amat penting bagi seorang penuntut ilmu. Lihat bagaimana Ulama’ terdahulu ketika menuntut ilmu, mereka akan mempelajari adab sebelum mempelajari ilmu. Seperti Imam Al-Ghazali yang amat mementingkan adab dalam menuntut ilmu. Beliau telah mengkhususkan satu bab di dalam kitabnya, Ihya’ Ulum al-Din khusus untuk mempelajari adab bersama guru. Bahkan Sheikh Abdullah bin Mubarak pernah menyatakan:
طلبت الأدب ثلاثين سنة، وطلبت العلم عشرين سنة؛ كانوا يطلبون الأدب ثم العلم
“Aku mempelajari adab menuntut ilmu selama 30 tahun, kemudian baru mempelajari ilmu”.
(Rujuk Ghoyatul Nihayah fi Tobaqat al-Qira’, 1/446)
Bahkan telah tercatat melalui karangan Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya, Ihya’ ‘Ulum al-Din yang menukilkan kisah adab dan akhlak Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah terhadap gurunya Imam Al-Syafi’e. Diriwayatkan bahawa Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah mengatakan: “Tidaklah aku solat semenjak 40 tahun melainkan di dalam solatku, aku mendoakan untuk al-Imam Al-Syafi’e semoga Allah SWT merahmatinya”.
Kesimpulan daripada isu ini, kami menasihatkan bahawa dalam menyampaikan ilmu guru perlulah bijak menguruskan masalah dan seharusnya berlapang dada dalam menghadapi situasi anak murid yang melakukan kesalahan dan nakal. Begitu juga kepada anak murid, beradab di dalam menuntut ilmu merupakan perihal yang penting bagi mendapat keberkatan ilmu. Tawadu’lah terhadap orang yang mengajarkan ilmu kerana mereka diibaratkan sebagai pahlawan. Dr. Hamka pernah menyatakan; guru adalah pahlawan yang sejati. Bukankah pahlawan tanah air, negarawan, pengarang, ahli pidato, orang penting atau berjawatan tinggi, dulunya pernah belajar di bangku sekolah dari serendah-rendahnya hingga setinggi-tingginya? Maka hargai insan yang bernama guru, kerana dia kamu dimuliakan.
WallahuA’lam.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel