Apa hukum memakan daging arnab?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Sebelum kami menjawab isu ini, alangkah baiknya kita mengenali dahulu dengan lebih terperinci arnab dan habitatnya.
Takrif Arnab dan Habitatnya
Arnab atau kelinci merupakan sejenis haiwan mamalia yang tergolong dalam keluarga Leporidae yang tergolong dalam order Lagomorpha. Arnab mudah dikenali dengan telinganya yang panjang dan tirus, gigi kacip tengah yang ketara dalam mulut, kaki belakangnya yang besar berbanding kaki depan, serta ekornya yang pendek. Arnab boleh hidup secara liar mahupun dijadikan haiwan peliharaan atau ternakan yang memberikan sumber makanan kepada manusia.
Dalam bahasa Melayu, perkataan “arnab” berasal daripada bahasa Arab, iaitu arnab (أرنب). Perkataan “kelinci” pula lebih banyak digunakan dalam bahasa Indonesia, dan berasal daripada bahasa Belanda, yakni istilah konijntje yang bererti “anak arnab”. Apapun, ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat Nusantara mula mengenali arnab atau kelinci daripada perdagangan antarabangsa pada zaman silam, padahal di Pulau Sumatera ada satu spesies arnab asli (Nesolagus netscheri) yang baru ditemui pada tahun 1972.[1]
Habitat Arnab
Bermacam-macam jenis arnab tinggal di kawasan padang rumput, hutan, gurun dan tanah lembap mengikut kesesuaian dengan spesiesnya. Kebanyakan spesies arnab tinggal dalam sarang bawah tanah yang dimasuki melalui lubang, tetapi berbeza pula dengan arnab dalam genus Lepus yang bertempat tinggal di atas tanah dengan kawasan rumput yang rata sebagai sarang. Kebanyakan spesies arnab tinggal secara berkelompok.
Lebih separuh jumlah populasi arnab di dunia tinggal di Amerika Utara. Arnab juga merupakan haiwan asli di Eropah, Asia Tenggara, Asia Timur, Afrika dan Amerika Selatan. Arnab mula-mula memasuki Amerika Selatan kesan peristiwa Pertukaran Besar Amerika. Sebahagian besar benua itu cuma ada satu spesies arnab, iaitu tapeti, manakala di kawasan kerucut selatan benua itu pula tiada spesies arnab yang asli.[2]
Hukum Makan Daging Arnab
Hukum memakannya adalah halal di sisi jumhur. Ini berdasarkan hadis Anas R.A yang berkata:
أَنْفَجْنَا أَرْنَبًا فَسَعَى الْقَوْمُ فَلَغَبُوا ، فَأَخَذْتُهَا وَجِئْتُ بِهَا أَبَا طَلْحَةَ ، فَذَبَحَهَا وَبَعَثَ بِوَرِكِهَا – أَوْ قَال : بِفَخِذِهَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَبِلَهُ
Maksudnya: Kami terserempak dengan arnab lalu mengejarnya. Dan aku dapat menangkapnya serta membawa kepada Abu Talhah. Beliau sembelih dan memberi sebahagiannya kaki atau pehanya kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah menerimanya.
Riwayat al-Bukhari (2572)
Muhammad bin Safwan (atau Safwan bin Muhammad) berkata:
اصَّدْتُ أَرْنَبَيْنِ فَذَبَحْتُهُمَا بِمَرْوَةٍ ، فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم عَنْهُمَا فَأَمَرَنِي بِأَكْلِهِمَا
Maksudnya: Aku memburu dua ekor arnab dan aku sembelihnya di Marwah. Maka aku bertanya Rasulullah SAW lantas beliau memerintahkan aku makan kedua-duanya.
Riwayat Abu Daud (2822), Ibn Majah (3175)
dan al-Nasa’ie (4239)
Arnab juga haiwan yang tiada bertaring dan tiada nas yang menunjukkan haramnya. Dengan sebab itu, dinukilkan bahawa Sa’ad bin Abi Waqqas telah memakannya. Begitu juga diberi kelonggaran oleh ulama’ dalam kalangan sahabat dan selepasnya. Antaranya Abu Said al-Khudri, Atha’, Ibn al-Musayyib, al-Laith, Abu Thaur dan Ibn al-Munzir.
Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita untuk melaksanakan agama Islam dengan sebaik mungkin. Amin.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel