Suami kena terima saya seadanya. Mungkin itu yang anda rasakan pabila sudah bertahun-tahun hidup bersama, tidur sekatil dan sesekali berkongsi satu bantal berdua. Nah, biarpun sudah beranak-pinak dan usia pun kian meningkat, pastikan sang suami tetap bangga memiliki anda di sisinya. Membongkar 21 petua cantik agar cinta cik abang terus mekar berkembang! Pemulaan, Tempuhi hari baru dengan amalan bangun tidur ini. Tarik nafas dalam dan lakukan sedikit regangan untuk melancarkan darah. Kemudian minum segelas air, berselawat dan raupkan wajah untuk awet muda.
1. Bagi wanita berkerjaya atau surirumah yang sibuk, dapatkan potongan rambut pendek yang comel mengikut bentuk wajah anda. Ia lebih ringkas, mudah diurus dan membuatkan penampilan kelihatan lebih muda.
2. Ramai suami yang menyukai bau rambut isteri yang bersih selepas dicuci. Jadi pastikan anda bersyampu dan memakai perapi rambut setiap petang. Rutin ini juga memudahkan rambut didandan pada keesokan hari.
3. Kulit yang mulus tidak akan menjelma sekelip mata. Amalkan rutin mengusap krim malam yang baik sebelum tidur agar wajah kembali segar bermaya, sebaik anda terjaga dari lena.
4. Samada bertudung atau tidak, sembunyikan uban dari pandangan suami anda! Litupi uban dengan inai atau pewarna rambut rona gelap. Lakukan highlight jika berani, suami anda pasti teruja.
5. Rona kulit yang tidak sekata, kusam atau berbelak-belak boleh disembunyikan dengan aplikasi BB Cream. Ia bertindak sebagai bedak asas, pelembap, pencerah dan pelindung SPF yang lengkap untuk kegunaan harian.
6. Punya date membeli-belah dengan yang tersayang? Usah biarkan wajah polos tanpa solekan. Ingat lima asas solekan ringkas – berbedak, maskara, eyeliner, blusher dan lip gloss!
7. Tip agar pembayang mata bertahan lama, oleskan warna pilihan dengan putik kapas lembap berbanding berus aplikator yang disediakan. Putik kapas lembap juga baik untuk merapikan warna yang comot.
8. Semburkan mist selepas bersolek untuk membuatnya tahan berjam-jam. Amalan ini sesuai jika anda pulang dijemput suami atau berjanji makan malam dengannya selepas waktu pejabat.
9. Titiskan pelembap mata pada siang hari untuk mengembalikan kilauan, menyegar dan menghilangkan kepenatan. Lebih-lebih lagi jika memakai kanta lekap atau berkaca mata, tidaklah nanti mata asyik terkebil-kebil sahaja.
10. Bulu mata yang lentik terlihat lebih galak dan memukau. Jika bulu mata anda pendek dan tidak menarik, amalkan pemakaian alat pelentik bulu mata untuk mencipta kesan dramatik. Nah, bukankah cinta itu datang dari mata?
11. Oleskan jeli petroleum pada kening dan bulu mata sebelum tidur. Ia membantu agar ia tumbuh lebih lebat, kemas dan berkilat.
12. Mata yang sembab atau dilingkari bebayang hitam pasti tidak menarik. Lindungi masalah ini dengan gel mata yang disimpan dalam peti sejuk. Sensasi dingin akan merawat keletihan mata dengan berkesan.
13. Selain itu, gunakan timun atau uncang teh dingin untuk memulihkan lingkaran gelap. Untuk menghapuskan kantung mata, uruti daerah luar dan sekeliling mata dengan krim pelembap sambil merangsang lymphatic drainage.
14. Bayangkan bibir yang lembut mengucup kulitnya… Atasi masalah bibir kering dengan eksfoliasi setiap hari. Hanya gosok lembut dengan berus gigi dan sapukan Vaseline. Kemudian sapukan balm bibir dengan SPF 30.
15. Eksfoliasi bahagian wajah, leher dan tengkuk anda untuk menyisihkan kulit mati setiap dua minggu sekali. Bahagian-bahagian ini perlu diberi perhatian rapi kerana ia menjadi pusat perhatian suami.
16. Pupuk masker setiap minggu untuk membantu menyerlahkan wajah yang bebas cela. Namun elakkan masker ini dipakai semasa tidur, bimbang suami terkejut pula nanti!
17. Ketika bermanja dengan suami, pastikan seluruh kulit tubuh anda lembut dan licin, termasuklah tapak kaki. Amalkan sapuan losen dan sesekali lakukan rawatan spa pedicure untuk merawati tumit merekah.
18. Berurut sangat baik untuk merehatkan badan, selain membantu melancarkan darah, menyahtoksin dan membentuk badan yang pejal. Lebih intim jika anda menempah couple treatment di spa untuk urutan bersama suami.
19. Kenakan losen pelembap sebelum tidur. Tumpukan pada bahagian-bahagian kering seperti siku dan lutut. Aroma losen yang lembut juga boleh memberikan efek sensual ketika berbaring dengan suami.
20. Atasi masalah bau nafas tidak menyenangkan dengan berkumur-kumur menggunakan mouthwash khas untuk masalah ini. Lebih-lebih lagi ketika bangun dari tidur, sebaiknya gosoklah gigi terlebih dahulu sebelum mengejutkan suami.
21. Cuba belek album perkahwinan anda, lalu bandingkan perbezaan dulu dan sekarang. Apakah anda kini lebih gemuk dan tidak terurus? Kembalikan wanita jelita di dalam gambar-gambar itu. Anda masih belum terlewat untuk berdiet dan menjaga pemakanan. Mungkin tidak sekurus dulu tetapi sekurang-kurangnya berat badan terjaga.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel