Soalan
Isteri saya lewat datang haid, jadi saya bersetubuh dengan isteri saya. Kemudian setelah selesai bersetubuh, saya melihat ada kesan darah. Apabila diteliti memang ada kesan darah pada pakaian dalam isteri. Adakah saya perlu membayar kafarah?
Jawapan
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.
Persoalan ini telah kami jawab secara ringkas dalam artikel kami yang bertajuk Al-Kafi #730: Bersama Suami Selepas Haid, Sebelum Mandi Wajib[1]
Bersetubuh dengan isteri ketika haid adalah haram berdasarkan firman Allah SWT:
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.
(Surah al-Baqarah: 222)
Oleh itu, suami hendaklah menahan diri ketika fatrah atau tempoh yang dilarang daripada melakukan persetubuhan.
Pandangan Ulama Tentang Kafarah Bagi Persetubuhan Ketika Haid
Imam Nawawi menyebutkan pandangan dalam mazhab al-Syafie yang masyhur bahawa orang yang melakukan persetubuhan dengan isteri yang sedang haid dengan sengaja dan mengetahui hukum, tidak dikenakan sebarang denda atau kafarah. Tetapi hendaklah dia memohon keampunan kepada Allah dan bertaubat di atas perbuatannya itu. Namun begitu, disunatkan dia bersedekah dengan satu dinar sekiranya dia melakukan persetubuhan di permulaan haid, dan setengah dinar sekiranya dilakukan pada akhir-akhir haid. Lihat Raudhah al-thalibin (1/35).
Ulama’ mazhab al-Hanafi mengatakan bahawa disunatkan bagi mereka yang melakukan persetubuhan ketika haid untuk bersedekah dengan satu dinar atau setengah dinar. Lihat al-Ikhtiyar fi Ta’lil Mukhtar (1/28).
Di sisi mazhab al-Maliki, tidak dikenakan sebarang kafarah. Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyah (18/325).
Mazhab al-Hanbali mewajibkan kafarah dengan setengah dinar bagi mereka yang melakukan persetubuhan ketika haid. Lihat al-Insof (1/350).
Kesimpulan
Berdasarkan dalil dan hujah di atas, bersetubuh dengan tidak sengaja kerana tidak tahu bahawa isteri dalam keadaan haid atau tidak, dimaafkan.
Kafarah bagi mereka yang melakukan persetubuhan ketika haid secara sengaja adalah sunat sahaja. Sekiranya, yang melakukan persetubuhan ini adalah daripada golongan yang berkemampuan, kami galakkan untuk membayar kafarah sebanyak satu dinar emas, mengikut nilai harga semasa. Selain itu, hendaklah memohon keampunan kepada Allah SWT kerana melanggar larangan syariat.
Semoga Allah SWT mengurniakan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala suruhan-Nya. Amin.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel