≡ Menu

Jangan Lupa Kurang 30 Hari Lagi


1. Sedang kita semua leka dengan percakaran sesama sendiri menjelang pilihan raya umum ke-14, Amerika Syarikat (AS) dan Israel pula giat bersedia untuk merasmikan pembukaan Kedutaan AS di Baitulmaqdis pertengahan Mei ini. Simbolik pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara haram Israel ini dijangka bakal dilakukan serentak dengan sambutan 70 tahun ‘kemerdekaan’ Israel pada 14 Mei.

2. Hal ini bermakna kurang 30 hari sahaja dari sekarang pemindahan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis akan berlaku, iaitu kurang seminggu selepas rakyat Malaysia membuang undi pada 9 Mei.

3. Lebih menyayat hati, tarikh sehari kemudian iaitu 15 Mei dikenang setiap tahun sebagai ‘Hari Nakba’, iaitu Hari Kehancuran buat Palestin di mana antara 1947-1949 lebih daripada setengah juta warga Palestin dihalau dari tanah tumpah mereka sendiri bagi menubuhkan negara haram Israel.

4. Buat masa ini, laporan Al-Jazeera mengatakan bahawa Duta AS David Freidman beserta beberapa kakitangannya akan berpindah dari Tel Aviv ke bangunan konsulat di Arnona, Baitulmaqdis sebelum lokasi Kedutaan AS yang tetap di Baitulmaqdis dipersiapkan.

5. Rakyat Palestin tentulah tidak berdiam diri dan hal ini dibuktikan dengan gugurnya berpuluh pejuang mereka yang syahid sejak perisytiharan Trump pada hujung 2017 lagi. Terkini, protes rakyat Palestin di Gaza telah menyaksikan pembunuhan berterusan dilakukan Zionis termasuklah dengan khidmat penembak tepat (sniper).

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

6. Dalam tempoh antara 30 Mac 2018 ke 14 April 2018 sahaja, tidak kurang 34 orang warga Palestin yang syahid dibunuh Zionis. Kebanyakannya terdiri daripada peserta penunjuk perasaan yang dianjurkan Hamas sempena ‘Great March of Return’ yang mendesak hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah mereka yang kini dijajah Israel.

BACA:  Betul Ke Buang Toksik Melalui Rendaman Kaki? Mari Baca

7. Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) pula jelas tidak dapat berbuat apa-apa di mana cubaan untuk mengusulkan siasatan bebas pembunuhan Zionis di Gaza telah diveto oleh AS meskipun kesemua 14 negara anggota UNSC yang lain menyokong.

8. Tragedi sebegini mendesak kita untuk memikirkan kembali tentang suatu hal yang cukup kritikal: Penstrukturan semula Majlis Keselamatan PBB (UNSC). Sememangnya kuasa Veto di UNSC mencerminkan realiti kuasa ketenteraan global kini yang dimonopoli Amerika Syarikat (AS), Rusia, UK, Perancis, dan China yang dikenali sebagai ‘P5’.

9. Dengan kata lain, meskipun hanya satu sahaja antara kesemua anggota P5 ini menggunakan kuasa veto mereka, maka seluruh usul yang dicadangkan – seperti mana dalam kes siasatan pembunuhan di Gaza kini – terpaksa dibatalkan.

10. Artikel 27 Piagam PBB secara jelas mengurniakan kuasa veto ini kepada anggota tetap UNSC iaitu negara-negara P5 di mana sebarang keputusan Majlis Keselamatan PBB ini perlu dipersetujui oleh kesemua anggota tetap. Ketetapan ini diambil susulan pengajaran Perang Dunia Kedua di mana negara-negara pengasas PBB melihat pentingnya mekanisme sedemikian wujud untuk memastikan kesediaan AS untuk menjadi anggotanya. Ketiadaan AS dalam pertubuhan terdahulu iaitu Liga Bangsa-bangsa telah mengakibatkan kelemahan pertubuhan berkenaan dalam menjamin kestabilan dan keamanan dunia.

BACA:  Bahayanya Cyanide, Lelaki Ini Kongsikan Kenapa Cyanide Sangat Berbahaya!

11. Namun demikian, AS telah dilihat tidak lebih daripada memanipulasi kuasa Veto yang mereka miliki ini demi menjaga kepentingan pelobi Yahudi yang menyokong autoriti mereka di Rumah Putih. Untuk rekod, demi melindungi Israel sahaja AS telah menggunakan kuasa veto mereka sebanyak 43 kali sehingga penghujung 2017 lalu.

12. Kali pertama AS menggunakan kuasa veto mereka melindungi Israel ialah pada 1972 ketika Israel menceroboh sempadan Lubnan, dan hanya di penghujung pentadbiran Obama sahaja AS berkecuali dalam Resolusi 2334 yang mengecam pendudukan haram Israel di Tebing Barat.

13. Maka buat masa ini, selain daripada menyeru penstrukturan semula Majlis Keselamatan PBB, Malaysia perlu bertindak tegas memimpin seluruh Dunia Islam dan juga menyeru anggota P5 yang lain seperti Rusia, China, Perancis, dan UK dalam mendesak AS dan Israel agar menghentikan rancangan mereka. Hal ini bukan sahaja merujuk kes pembukaan Kedutaan AS Israel di Baitulmaqdis, tetapi juga dalam kes pembunuhan berterusan ke atas penunjuk perasaan Palestin di Gaza.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel