Sewaktu kecil dahulu saya selalu takut tidur berseorangan dalam gelap. Takut-takut jika ada sesuatu yang muncul dalam gelap. Takut-takut malaikat tiba-tiba datang mencabut nyawa dan saya akhirnya mati berseorangan dalam gelap.
Kemudian apabila di bangku sekolah pula, apabila ada ceramah motivasi, pasti ada rakaman video tentang kematian, jenazah diusung ke kubur dan akhirnya ditinggalkan berseorangan, juga dalam gelap.
Benar, hakikatnya apabila meninggal dunia, kita akan ‘kembali’ secara berseorangan sebagaimana ketika waktu kita dilahirkan ke dunia dahulu. Namun ada beberapa perkara yang boleh menemani dan mengikuti kita ke alam barzakh.
Perkara Yang Akan ‘Mengikut’ Setelah Meninggal Dunia
1. Ilmu yang berguna yang diajarkan dan disebarkan kepada orang lain. Hal ini termasuklah ilmu dalam bentuk buku, catatan, artikel, video, rakaman suara dan sebagainya.
2. Anak soleh yang ditinggalkan setelah mati yang sentiasa mendoakan dan memohon ampun buatnya.
3. Al-Quran yang diwariskan atau diwaqafkan untuk kegunaan orang lain.
4. Masjid yang dibangunkan untuk kegunaan orang ramai.
5. Rumah yang dibangunkan untuk Ibnu Sabil iaitu orang yang terkandas dalam perjalanan atau tidak mempunyai sebarang bekalan.
6. Sungai yang dibina atau dialirkan untuk manfaat makhluk tidak kira manusia, haiwan dan juga tumbuh-tumbuhan. (Ia boleh juga difahami sebagai punca air yang diperlukan oleh semua hidupan)
7. Harta milik sendiri yang disedekahkan semasa sihat dan masih hidup seperti derma, sedekah dan juga wakaf.
Perkara ini disandarkan kepada hadis sahih daripada Nabi SAW.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِمَّا يَلْحَقُ الْمُؤْمِنَ مِنْ عَمَلِهِ وَحَسَنَاتِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ عِلْمًا عَلَّمَهُ وَنَشَرَهُ وَوَلَدًا صَالِحًا تَرَكَهُ وَمُصْحَفًا وَرَّثَهُ أَوْ مَسْجِدًا بَنَاهُ أَوْ بَيْتًا لِابْنِ السَّبِيلِ بَنَاهُ أَوْ نَهْرًا أَجْرَاهُ أَوْ صَدَقَةً أَخْرَجَهَا مِنْ مَالِهِ فِي صِحَّتِهِ وَحَيَاتِهِ يَلْحَقُهُ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِ
Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya antara perkara yang akan mengikut orang-orang mukmin dari segi amalan dan kebajikannya sesudah mati antaranya Ilmu (berguna) yang diajar dan disebarkan, atau anak yang soleh yang ditinggalkan (memohon istighfar dan berdoa untuknya), atau al-Quran diwariskan, atau masjid yang ia bangun, atau rumah yang ia bangun untuk ibnu sabil, atau sungai yang ia alirkan (untuk orang lain), atau sedekah yang ia keluarkan dari harta miliknya dimasa sihat dan masa hidupnya, semuanya akan mengiringinya setelah meninggal”(HR Ibnu Majah, no.238 – Status Hadis Hasan)
Jika hendak diharapkan kepada amal ibadah yang dilakukan, pasti ada yang tidak sempurna, yang cacat dan lompong di mana-mana. Maka inilah talian hayat terakhir yang kita ada bagi membantu dan menyelamatkan kita selepas mati kelak. Jika tidak mampu melabur dalam kesemua tujuh perkara di atas, maka pilihlah beberapa di antaranya.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel