≡ Menu

Inilah Amalan Yang Dipandang Mulia Disisi Allah.


ARAHAN SUPAYA BERTAQWA

Allah SWT berfirman:Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah sejauh yang termungkin.” (At Taghabun: 16)

Sejauh yang termungkin di sini bermaksud turun naik nafas mesti dijadikan taqwa. Mendengar, melihat, makan minum, berjalan, berhibur, semuanya mesti dijadikan amalan taqwa. Jangan ada satu hembusan nafas yang tidak jadi taqwa. Jangan ada seulas nasi yang tidak jadi taqwa. Jangan ada satu pen­dengaran atau satu penglihatan yang tidak jadi taqwa. Malahan jangan ada satu apa pun dalam hidup ini yang tidak membawa kepada taqwa. Itulah maksud sejauh yang termungkin dalam mengusahakan taqwa.

BERAMAL UNTUK MENAMBAH TAQWA

Firman Allah SWT:Maksudnya: “Hendaklah kamu menambah bekalan. Maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah sifat taqwa.” (Al Baqarah: 197)

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Di sini Tuhan menyuruh kita supaya sentiasa menambah sifat taqwa. Kerana sifat taqwa ini adalah bekalan kita di Akhirat. Ia juga untuk mendapat bantuan Tuhan di dunia dalam berbagai bentuk. Itulah yang merupakan khawariqul ‘adah. Kalau di zaman Rasulullah SAW dikatakan mukjizat. Kalau bukan di zaman Rasulullah dikatakan keramat atau berkat atau rahmat dari Tuhan.

Seperti yang pernah berlaku dan dipaparkan dalam sejarah, dalam peperangan, umat Islam yang sedikit boleh mengalahkan musuh yang ramai, atau mendapat rezeki dari sumber yang tidak diduga dan lain-lain lagi contoh yang banyak berlaku di kalangan para Sahabat. Itu di dunia, tetapi yang paling utama ialah di Akhirat.

Tuhan sebut dalam firman-Nya di atas, hendaklah kita sen­tiasa menambah bekalan iaitu sifat taqwa. Kita disuruh mem­bangunkan aset di Akhirat sambil mendapat pertolongan dan bantuan Tuhan di dunia. Menambah sifat taqwa ini mestilah di atas landasan syariat. Yang asas-asasnya ialah sembahyang (solat), puasa, zakat dan naik haji. Itu asas atau tapak untuk menambah taqwa.

BACA:  Ajaibnya Solat Dhuha! Tak Perlu Lama Pun, 15 Minit Pun Dah Cukup Untuk Dhuha

Selain yang asas ini, banyak lagi yang lain. Mungkin di atas landasan fardhu kifayah, di atas landasan perkara-perkara sunat dan hal-hal yang harus. Walaupun asalnya harus, tetapi kalau kita pandai mengikut ilmunya, yang harus pun boleh menam­bah sifat taqwa.

Seperti yang disebut di atas, menambah sifat taqwa mesti di atas landasan syariat. Sebagai contoh yang mudah, yang dapat dilihat oleh mata sebab ia dilaksanakan oleh lahiriah kita ialah seperti membangunkan ekonomi. Mengapa kita bangunkan ekonomi? Dalam Islam, berekonomi bukan untuk mencari untung, walaupun di situ ada untung. Kita berekonomi untuk menambah sifat taqwa. Tetapi kebanyakan orang berniaga dan berekonomi untuk tujuan komersial dan untuk mendapat untung. Itu tidak betul. Untung itu datang sendiri. Jadi sebenar­nya berdasarkan ayat tadi, hendaklah kita berekonomi untuk menambah bekalan dan bekalan di sini ialah sifat taqwa.

Dalam Islam kita berniaga untuk menambahkan lagi sifat taqwa. Berniaga itu ibadah. Ia samalah dengan ibadah-ibadah yang lain seperti sembahyang, hanya ia berbentuk umumiah. Kita berkebudayaan, hendak menambah lagi sifat taqwa. Kita bangunkan jemaah, moga-moga dengan jemaah itu dapat membangunkan lagi sifat taqwa. Kita bekerjasama, mengajar, bangunkan pendidikan, maka di situlah kita dapat menambah sifat taqwa. Kita bangunkan kesihatan, klinik dan sebagainya, moga-moga dari situlah kita dapat menambah sifat taqwa. Kita berdakwah, buat perhubungan, semoga dapat menambah sifat taqwa. Kita nikah kahwin, berkeluarga, beranak cucu, moga­moga dari situ dapat menambah lagi sifat taqwa. Kalau di­campur-campur banyaklah jumlahnya. Itu semua adalah iba­dah yang boleh mendatangkan taqwa.

BACA:  Kesihatan Mental Remaja Kita Berada Di Paras Merbahaya! Tolong Jangan Abaikan

Janganlah kita mencari taqwa di atas syariat yang terbatas seperti yang terkandung di dalam rukun Islam yang lima itu sahaja. Itu hanya asasnya sahaja. Banyak lagi cabang-cabang dan ranting-rantingnya. Banyak lagi perkara yang boleh dijadi­kan ibadah. Jangan berwirid, berzikir, baca Al Quran dan duduk­duduk di dalam masjid dan di surau sahaja. Sebenarnya seluruh tindakan lahir dan aktiviti kita dalam kehidupan ini walaupun yang harus, itu adalah syariat. Angkat tangan, pandang sana, pandang sini, hayun kaki, itu semua termasuk syariat. Maka moga-moga dengan mengamalkan seluruh syariat itulah kita akan dapat menambah sifat taqwa. Sifat taqwa banyak di tengah-tengah kehidupan. Bukan di masjid atau di surau sahaja. Membantu orang, bersatu padu, berkasih sayang, menyelesai­kan masalah orang dan berkerjasama, itu semua adalah amalan taqwa.

Kalau benda atau syariat itu dianggap kecil, maka kecillah sifat taqwanya. Kalau dianggap besar, maka besarlah sifat taqwanya. Dari situlah malaikat akan tulis pada kitab amalan kita. Kitab amalan itu akan dibagi kepada kita, digantung di leher di Padang Mahsyar nanti. Setiap orang akan ada catatan amal­nya. Masing-masing akan bawa. Yang tukang baca ialah kita sendiri. Barulah kita faham bahawa menambah sifat taqwa itu adalah di atas segala usaha dan aktiviti kita. Di atas penglihatan, pendengaran, gerakan tangan, gerakan kaki ke tempat-tempat yang kita pergi. Malahan ia berlaku dalam apa sahaja aktiviti hidup kita. Di situlah kita akan dapat taqwa.

Sumber

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel