“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, serta (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah (yang diserahkan kepada) kamu, sedangkan kamu mengetahui dosanya. Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu hanya menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar” (Surah al-Anfal: 27-28). Anak adalah amanah dan ujian kepada manusia. Anak yang lahir daripada perkahwinan lazimnya menjadi penyeri rumah tangga, pengikat kasih sayang di antara suami isteri. Namun lewat ini, banyak paparan mengenai kes-kes penderaan yang melibatkan anak-anak kecil dilaporkan di media. Didera seawal usia masih lagi bayi, anak-anak kecil ini ada sebahagiannya meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dan sebahagiannya lagi hidup dalam trauma yang berpanjangan sehingga mereka dewasa.
Penderaan terhadap anak-anak kecil dalam keluarga sering dikaitkan dengan bukti serangan fizikal. Adapun penderaan emosi dikatakan yang paling kerap berlaku, namun tidak banyak maklumat mengenainya serta kurang diberi perhatian. Penderaan emosi terhadap kanak-kanak kecil dalam keluarga boleh berlaku bersama-sama dengan penderaan fizikal ataupun boleh berlaku secara berasingan. Penderaan dari sudut inilah sebenarnya banyak mencorakkan perilaku dan gaya berfikir individu apabila dewasa kelak.
Perilaku ibu bapa atau penjaga seperti menolak kewujudan anak dalam keluarga, tidak mengambil berat, mengasingkan anak dan sebagainya merupakan contoh-contoh penderaan emosi yang dilakukan dengan sengaja mahupun tanpa disedari. Anak-anak yang mengalami kematian ibubapa, anak-anak perceraian, anak-anak dalam perkahwinan ibu atau bapa bersama pasangan baharu mereka kerap mengalami situasi ini. Kes-kes penderaan dan pengabaian yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah meningkat dari tahun ke tahun contohnya pada tahun 2005 sebanyak 1,800 kes dilaporkan, tahun 2007 sebanyak 2,279 kes dan tahun 2008 sebanyak 2,780 kes. Malah dipercayai bahawa jumlah kes yang tidak dilaporkan jauh lebih tinggi.
Tren penderaan dalam kalangan anak yang dijaga ahli keluarga juga telah menunjukkan evolusi seperti didera oleh teman lelaki atau wanita kepada ibu bapa mangsa. Anak-anak yang dibesarkan dalam suasana kekeluargaan yang yang penuh dengan kelakuan ganas penderaan atau dari segi emosinya penuh dengan interaksi yang mengandungi penghinaan, caci mencaci, perli memperli, komunikasi nada tinggi (marah, tengking dan sebagainya) akan mudah terbiasa dengan keadaan ini dan memahami bahawa inilah situasi yang biasa yang berlaku dalam sesebuah keluarga. Apa yang dikhuatiri ia boleh meningkatkan kecenderungan untuk melakukan perkara yang sama pada masa akan datang.
Mengambil satu laaporan statistik dari Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan peningkatan warga tua dan orang papa yang ditempat di rumah kebajikan kendalian JKM meningkat seperti pada tahun 2005 seramai 2,670 orang, tahun 2007 seramai 2,885 orang dan tahun 2009 seramai 3010 orang. Ini tidak termasuk jumlah penghuni rumah kebajikan warga tua kendalian pihak swasta mahupun badan bukan kerajaan dan yang berpeleseran tiada tempat tinggal. Apabila diselidiki rata-rata alasan yang diberikan ialah akibat daripada masalah kewangan, pasangan yang tidak mahu menerima warga tua dan juga akibat daripada kejahilan dan kecuaian sendiri anak tersebut. Manakala masyarakat secara terang-terangan pula terus ‘menderhakakan’ si anak dalam memberi respon kepada situasi ini. Namun begitu, terdapat satu perkara yang kurang dibincangkan secara mendalam dan terbuka ialah adakalanya pengabaian warga tua ini adalah akibat perbuatan penderaan yang dilakukan terhadap anak-anak mereka satu masa dahulu.
Umum memahami bahawa walau bagaimana keadaan dan perilaku ibu bapa, anak-anak wajib memuliakan mereka sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Luqman ayat 14 yang bermaksud “Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu”.
Akan tetapi amatlah malang apabila kedudukan ini disalah guna oleh ibu bapa dengan melakukan pelbagai penderaan terhadap anak-anak. Bahkan lebih malang apabila berasakan menjadi ibu bapa bermaksud tidak pernah berbuat dosa terhadap anak-anak. Sesunguhnya setiap manusia yang berakal itu bertanggungjawab ke atas setiap perbuatan mereka tanpa ada pengecualian termasuklah ibu bapa sebagaimana firman Allah dalam surah al-Mudhatthir ayat 38 yang bermaksud, “setiap diri terikat (bertanggungjawab) dengan apa yang telah dikerjakannya”.
Kasih sayang tanpa asas amat sukar dipaksa ke atas manusia seperti sukarnya seorang anak yang dibuang, diabai, disisih, didera sepanjang hidup mereka sehingga dewasa untuk menyayangi insan yang tidak menyayangi mereka. Apatah lagi dengan didikan agama yang kurang sempurna dari ibu bapa, bagaimana anak-anak ini memahami hubungan istimewa di antara anak dan ibu bapa sebagaimana yang dituntut dalam agama.
Kita tidak mahu kitaran ini berlaku dari semasa ke semasa kerana ia boleh meruntuhkan pembangunan sosial negara pada masa akan datang apabila anak-anak mula cenderung untuk ‘membalas’ setiap perbuatan ibu bapa mereka. Individu menjadi semakin metarialistik manakala soal kebajikan keluarga tidak lagi dipeduli. Akhirnya jadilah kita satu bangsa yang mundur dan lemah akalnya kerana tidak kembali kepada fitrah kekeluargaan.
Sesungguhnya anak-anak adalah cerminan para ibu bapa. Adakalanya ibu bapa terguris dengan perbuatan anak-anak ketika mana mereka membesar, usahlah mudah ‘menderhakakan’ si anak. Janganlah pula mudah ‘tangankan’ si anak. Tegurilah dengan hikmah dan maafkanlah mereka dan berilah kasih sayang sepenuh jiwa kerana barangkali ada kekhilafan diri kita yang pernah dilakukan sewaktu membesarkan mereka.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel