≡ Menu

Ini Cara Didikan Nabi Terhadap Anak Perempuan. Masya’Allah


“Puteriku merupakan sebahagian daripadaku, sesiapa yang menyulitkan dirinya, maka ia sebenarnya turut menyulitkan diriku dan sesiapa yang menyakiti dirinya, maka orang berkenaan juga menyakiti diriku.” Demikian maksud Hadith daripada al-Miswar ibn Makhramah yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari. Penegasan Nabi SAW ini menunjukkan limpahan kasih sayang Baginda kepada anak perempuan Baginda, iaitu Fatimah r.a. yang lahir lima tahun sebelum kerasulan Baginda. Kasih sayang, pembelaan dan empati yang ditunjukkan Baginda sekali gus menunjukkan ketinggian kedudukan anak perempuan dalam Islam. Hal ini sekali gus menolak amalan keji masyarakat Arab Jahiliah yang menganggap anak perempuan sebagai suatu bentuk kehinaan sehingga mengabaikan mereka atau lebih kejam lagi, membunuh mereka.

Imam Mustafa al-Maraghi yang mentafsirkan ayat 8-9 Surah ak-Takwir menyatakan bahawa sekiranya masyarakat Arab Jahiliah menghendaki anak perempuan yang lahir itu hidup, maka ia akan dibiarkan hidup tanpa kasih sayang. Anak perempuan berkenaan akan diberikan jubah daripada bulu atau rambut dan dihantar ke pinggiran desa untuk menggembala unta bapanya. Sebaliknya, jika mereka mahu membunuh anak perempuan yang lahir, mereka akan menunggu sehingga ia berusia enam tahun. Bapa kanak-kanak perempuan berkenaan akan meminta isterinya atau ibu kanak-kanak tersebut untuk memakaikannya dengan perhiasan dan haruman sebelum dibawa ke tempat ia ditanam hidup-hidup. Sementara itu, sebuah lubang telah pun digali di padang pasir oleh bapa kanak-kanak tersebut. Apabila tiba di tempat berkenaan, bapa kanak-kanak yang malang itu meminta agar ia melihat ke dalam lubang tersebut. Lantas ia dengan kejamnya menolak anak perempuannya ke dalam lubang dan menimbun tanah sehingga rata. Sesetengah kabilah malah menguburkan anak perempuan yang masih hidup dengan cara yang lebih kejam.

Episod menyayat hati yang dirakam sejarah tentang pembunuhan dan kebencian masyarakat Jahiliah terhadap terhadap anak-anak perempuan terubat melalui kedudukan tinggi yang diberikan Nabi SAW kepada mereka. Hal ini umpamanya jelas melalui layanan istimewa yang diberikan kepada puteri Baginda, Fatimah al-Zahra’ r.a. Keakraban hubungan antara Nabi SAW dengan puterinya menyebabkan Fatimah r.a. sebagaimana dikatakan oleh Sayyidatuna `Aisyah r.a., memiliki cara bertutur dan berjalan yang amat mirip dengan Baginda. Nabi SAW juga malah tidak dapat berjauhan dengan Fatimah r.a., iaitu setelah mengahwini Sayyidina `Ali k.w. Kerinduan Baginda disedari sahabat-sahabat. Lantas, Nu’man bin Harithah r.a. menawarkan rumahnya yang terletak paling berdekatan dengan Baginda untuk dihadiahkan kepada Fatimah r.a. agar Baginda sentiasa dapat menatap wajah puteri kesayangannya itu.

BACA:  Panadol Merosakkan Hati? Nah! Baca Jawapan Daripada Pakar Perubatan Ini!

Kasih sayang Nabi SAW kepada Fatimah juga ketara melalui cara Baginda mententeramkan dan mendidik puterinya itu untuk menangani kesulitan menguruskan rumahtangga. Fatimah malah sering bersama-sama ayahandanya dalam peperangan. Diriwayatkan bahawa beliaulah yang merawat luka Rasulullah SAW dalam Peperangan Uhud. Meskipun dibesarkan dengan penuh kasih sayang, namun ia tidak menjadikan Fatimah sebagai insan yang angkuh malah sebaliknya beliau menjadi anak yang taat, penyabar dan berdikari. Sungguhlah Fatimah al-Zahra’ menjadi simbol kejayaan Nabi SAW dalam mendidik dan membesarkan seorang anak perempuan.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Tanggungjawab memuliakan dan memelihara selain kelebihan mendidik serta menunaikan hak anak-anak bahkan juga saudara perempuan ditegaskan Nabi SAW melalui Hadis Baginda dalam pelbagai riwayat. Antaranya termasuklah Hadis daripada Abu Sa`id al-Khudri r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang memiliki tiga orang anak perempuan atau saudara perempuan atau dua orang anak perempuan atau saudara perempuan lalu ia berbuat baik dan bertakwa kepada Allah dalam urusan mereka, maka disediakan untuknya syurga.” (Al-Tirmizi) Dalam Hadis ini misalnya, Nabi SAW menekankan hak anak dan saudara perempuan untuk ditunaikan oleh ibu bapa atau penjaga mereka. Hak yang ditunaikan itu meliputi aspek lahiriah dan batiniah yang terangkum dalam maksud berbuat baik. Dari sudut lahiriah, mereka berhak diberikan makanan, minuman, pakaian dan kediaman yang baik. Dari sudut rohani pula, ibu bapa dan penjaga bertanggungjawab memberikan pendidikan yang terbaik, memupuk adab yang sempurna, meneguhkan kecenderungan untuk mempertahankan kesucian diri dan membiasakan mereka dengan tanggungjawab menyeru kebaikan serta menghalang dosa atau keburukan.

Pendidikan keimanan, akhlak, jasmani, mental, psikologi, sosial sehinggalah seksual bagi anak-anak telah dibahaskan dengan mendalam oleh sarjana tersohor Islam untuk dimanfaatkan ibu bapa dalam kehidupan seharian. Khusus bagi anak perempuan, amatlah penting untuk diberikan kesedaran tentang keutamaan sifat malu yang ditekankan Nabi SAW sebagai sebahagian iman. Begitu juga dengan keutamaan memelihara maruah serta kesucian diri dan kaitannya dengan penjagaan keturunan, iaitu salah satu matlamat utama syari`ah (maqasid al-syari`ah). Oleh itu, ibu bapa perlu memberikan perhatian berat bukan sahaja terhadap aurat dan pakaian, bentuk pergaulan malah juga rakan anak-anak serta tindak-tanduk mereka di alam maya. Pendedahan akhbar tempatan baru-baru ini tentang peningkatan jumlah perogol juvana dan 35% daripada 822 kes tahun ini menurut statistik PDRM melibatkan mereka pastinya amat membimbangkan. Apatah lagi faktornya disebabkan kemudahan akses bahan-bahan pornografi dalam talian misalnya media sosial dan aplikasi mesej. Sebahagian besar kes rogol juvana melibatkan remaja namun terdapat kanak-kanak berusia hanya tujuh tahun yang cuba memperkosa rakan sebayanya. Beberapa contoh kes diberikan PDRM bagi menggambarkan ketidakmatangan remaja dalam mempertimbang akibat perbuatan mereka. Antaranya termasuklah pasangan remaja yang cuba meniru adegan yang disaksikan dalam video pornografi dan remaja perempuan yang tidak terfikir akan hamil dengan melakukan hubungan seksual hanya sekali.

Pendedahan oleh akhbar berkenaan menyedarkan bahawa tanggungjawab mendidik anak bukanlah mudah apatah lagi pada zaman yang dibayangkan oleh Nabi SAW sebagai amat menguji disebabkan kerosakan termasuk keruntuhan akhlak yang berleluasa. Ganjaran besar bagi ibu bapa yang berjaya melaksanakan tugas mendidik anak-anak terutamanya anak perempuan, iaitu perlindungan daripada api neraka serta syurga sudah pasti menggambarkan bahawa ia sememangnya mencabar. Oleh yang demikian, tiadalah petunjuk yang lebih baik selain Nabi SAW sendiri untuk mewujudkan hubungan yang amat akrab, penuh kasih sayang dan tiada rahsia dengan anak-anak perempuan. Hanya dengan hubungan seumpama itulah kemuliaan dan kepercayaan akan diperoleh ibu bapa. Dengan demikianlah pula nasihat dan panduan yang diberi meresap mudah ke dalam hati dan dituruti sewajarnya oleh anak-anak. Semoga sentiasalah Nabi SAW dan ahli keluarga Baginda menjadi teladan yang dituruti pada setiap masa serta keadaan oleh kita semua.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel