SOALAN
Assalamualaikum. Apakah hukum menyertai acara maraton yang dianjurkan oleh syarikat judi? Mohon penjelasan. Terima kasih.
JAWAPAN
Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.
Sukan marathon adalah suatu perlumbaan yang melibatkan barjalan, berlari biasa ataupun berlari anak-anak dengan jarak yang tetap sebanyak 42.195 kilometer (26.219 batu atau 26 batu 385 ela)[1]. Secara umumnya, agama Islam tidak menghalang aktiviti pertandingan seperti ini. Justeru, pertandingan seperti ini adalah dibenarkan oleh Islam selagimana tidak menyalahi kerangka syariat Islam yang digariskan. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah R.Anha, beliau telah berkata:
سابقنِي رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وآلِه وسلَّم فَسَبَقْتُه فلبِثْنَا حتى إذا أَرْهَقَنِي اللحمُ سابَقَنِي فسَبَقَنِي فقال هذه بِتِيكِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW berlumba lari mendahuluiku dan kemudian aku pula yang mendahuluinya. Sehinggalah tubuhku agak berisi dan baginda mendahuluiku dan terus mendahuluiku. Kemudian baginda mengatakan: “Ini adalah balasan kepada kekalahan yang lalu.”
Riwayat Ibn Hibban (4691)
Secara umum, bagi pertandingan yang dianjurkan, hendaklah memenuhi perkara-perkara berikut:
Jenis pertandingan adalah harus, tidak haram.
Tidak membabitkan pertaruhan yang berupa perjudian.
Hadiah bukan datang dari sumber yang haram seperti dari syarikat arak, judi atau sebagainya.
Tidak melalaikan dari kewajipan syarak; solat dan sebagainya.
Tidak melibatkan larangan-larangan syarak yang lain seperti percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram. (Ahkam al-Musabaqat Fi asy-Syari’ah al-Islamiyyah, Abdus-Somat bin Muhammad Balhaji, Dar an-Nafais, Jordan, 2004)
Menjawab kepada persoalan di atas, kita dapat melihat bahawa sesuatu yang membawa kepada haram adalah haram hukumnya. Dosa perbuatan haram tersebut bukan hanya dipikul oleh si pelaku sahaja, malah dosa tersebut turut dipikul oleh mereka yang menyumbang ke arahnya, sama ada sumbangan tersebut melalui wang ringgit ataupun sokongan moral. Setiap orang akan menanggung dosa mengikut kadar sumbangannya. (Lihat Halal dan Haram di Dalam Islam, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 27)
KESIMPULAN
Setiap mukallaf dipertanggungjawabkan di atas apa yang dilakukan di dunia ini. Dalam isu ini, kami cendurung mengatakan bahawa haram dan dilarang untuk menyertai maraton atau apa sahaja pertandingan yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat judi atau syarikat yang menjalankan perniagaan yang dilarang oleh syarak. Ini kerana, perbuatan menyertainya dilihat secara langsung sebagai tanda sokongan serta merestui apa yang dilakukan oleh penganjur tersebut. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Nu’man Ibn Bashir R.A, Nabi SAW telah bersabda:
إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَإِنَّ بَيْنَ ذَلِكَ أُمُورًا مُشْتَبِهَاتٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas, dan di antara kedua-duanya ada perkara yang samar-samar.”
Riwayat al-Tarmizi (1205) dan al-Nasa’ie (5710)
Justeru di atas dasar untuk mengelakkan perkara-perkara syubhah, maka perkara seperti ini perlu dijauhi dan dielakkan. Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka minda dan melapangkan hati kita semua untuk terus istiqamah beramal mengikut syariat yang sebenar.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel