Soalan
Assalamualaikum. Mohon penjelasan. Apa hukum menyentuh kemaluan dengan tangan kanan?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Guru kami Fadilah al-Syeikh Mustafa al-Khin berkata: Hendaklah beristinja’ dengan tangan kiri untuk membersihkan tempat keluar najis sama ada dengan air, batu atau seumpamanya, kerana cara ini lebih baik. Makruh beristinja’ dengan tangan kanan sebagaimana makruh menyentuh zakar dengannya.
Sekiranya perlu memegang zakar untuk membersihkannya dengan batu atau pepejal yang lain, maka hendaklah memegang batu tersebut dengan tangan kanan tanpa menggerakkannya, sementara tangan kiri memegang zakar dan menggerak-gerakkannya untuk membersihkan tempat keluar najis. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/209)
Daripada Abdillah bin Abi Qatadah, daripada ayahnya, daripada Nabi SAW bersabda:
إِذَا بَالَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَأْخُذَنَّ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ وَلاَ يَسْتَنْجِي بِيَمِينِهِ وَلاَ يَتَنَفَّسْ فِي الإِنَاءِ
Maksudnya: Apabila seseorang kamu kencing, maka janganlah dia memegang zakarnya dengan tangan kanannya, dan jangan beristinjak dengan tangan kanannya, dan jangan bernafas dalam bekas minuman.
Riwayat al-Bukhari (154)
Imam al-Bukhari dalam perkara ini menamakan tarjamah babnya sebagai:
بَاب لَا يُمْسِكُ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ إِذَا بَالَ
Maksudnya: Bab jangan menyentuh kemaluan dengan tangan kanan sekiranya sedang membuang air kecil.
Berdasarkan tarjamah bab ini, Muhammad ‘Abd al-Qadir Abu Faris berkata bahawa dalam hal ini, Imam al-Bukhari berpendapat menyentuh kemaluan dengan tangan kanan dalam keadaan tidak membuang air kecil adalah tidak dilarang. Namun begitu, apabila diperhatikan kepada tarjamah bab Imam al-Bukhari di atas, tidak terdapat kenyataan seperti yang dikatakan oleh beliau. Kemungkinan dalam hal ini, beliau menggunakan kaedah mafhum mukhalafah, iaitu apabila Imam al-Bukhari hanya menyatakan larangan melakukan demikian adalah dalam hal membuang air kecil sahaja, maka sudah tentu dalam keadaan tidak membuang air kecil adalah dibolehkan.
Perkara ini dapat difahami dengan penerangan oleh Ibn Hajar yang berkata bahawa tarjamah bab yang dibuat oleh Imam al-Bukhari mengisyaratkan mengenai larangan mutlak menyentuh kemaluan dengan tangan kanan hanya dalam keadaan membuang air kecil sahaja. Oleh itu, selain membuang air kecil, dibolehkan menyentuh kemaluan dengan tangan kanan. (Lihat Fath al-Bari, 1/254)
Kesimpulannya, Imam al-Bukhari berpandangan boleh menyentuh kemaluan dengan tangan kanan dalam keadaan seseorang itu tidak membuang air kecil.
Para ulama sebenarnya telah khilaf berkenaan larangan ini, adakah membawa kepada haram atau tanzihi.
Mazhab Zahiri berpendapat hukumnya haram kerana mengambil zahir hadis.
Jumhur ulama’ berpendapat hukumnya makruh kerana nahi bersifat irsyad dan taujih. Inilah pendapat yang rajih.
Sebaik-baiknya adalah kita mengikat setiap permasalahan fardi dengan kaedah Syarak yang umum daripada kaedah tersebut ialah: “Bahawa syariah datang untuk mengiqrarkan maslahat dan menolak mudarat sama ada maslahat itu bersifat semata-mata atau pemberatnya.” (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 1/342)
Justeru, apabila kita laksanakan kaedah umum dengan cara tatbiq yang benar, maka hukum akan nyata lagi terang. Maka jadilah apa yang dinyatakan oleh jumhur ulama’ termasuk daripada bab al-Adab, taujih dan irsyad dan meninggalkannya termasuk dalam perkara makruh tanzihi.
Semoga kita sentiasa dapat beramal dengan Sunnah Rasulullah SAW yang menjadi pedoman dalam kehidupan kita. Amin.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel