
Allah mempunyai pelbagai nama yang sempurna. Seperti yang terkandung dalam 99 nama yang selalu disebut – Al-Malik (Pemerintah atau Penguasa), Al-Muhaimin (Yang Maha Menjaga), Al-Wadud (Yang Maha Menyayangi) dan banyak lagi. Walaubagaimanapun, nama yang paling kerap disebut dalam doa atau ucapan kita pastilah ‘Ya Allah’.
Akhir-akhir ini, agak kerap kita melihat kalimah ‘Ya Allah’ ditulis sebagai ‘Ya Auloh’, ‘Yakwoh’ atau ‘Yowwoh’ di media sosial. Dipercayai ia bermula daripada cara sebutan bahasa Indonesia yang sedikit berbeza daripada bahasa Malaysia.
Tiada masalah sebenarnya jika benar tidak dapat menyebut kalimah Ya Allah dengan betul disebabkan masalah ‘pelat’ dan keterbatasan lidah, namun yang menjadi masalah adalah apabila ia disebut secara main-main dan sengaja. Sebutan ‘Ya Auloh’, ‘Yakwoh’ dan seumpamanya tidak mempunyai apa-apa makna.
Perkara ini turut dikomen oleh Ustaz Ad-Dien di laman Twitter miliknya. Kalimah Allah tidak boleh dipermainkan sebutannya. Kalimah Allah menurut beliau adalah kata seruan yang digunakan dalam hajat dan doa. Dari segi bahasa, kalimah Ya Allah sama juga dengan Allahumma yang bermaksud ‘Wahai Tuhan Kami’. Inilah yang disebutkan oleh Sibawaih, Al-Khalil dan majoriti mazhab nahu Basrah. (Tafsir Al-Qurtubi – 4/53)

Manakala dalam mazhab Nahu Basrah, kalimah Ya Allah juga disamakan dengan kalimah permohonan ‘Allahumma ummana bi khair’ (Wahai Tuhan kami tenangkan kami dengan kebaikan). Ini pula merupakan pandangan Al-Farra’ dan ahli Kufah yang lain.
Kesimpulannya, sebut dan eja lah nama Allah dengan betul walau di mana sahaja. Perkara berkaitan agama seharusnya tidak dipermain-mainkan, bimbang ia mengundang murka Allah tanpa kita sedari.
Seperti yang pernah diingatkan oleh Nabi SAW, sesungguhnya lidah dan lisan kita juga mampu mengheret diri ke jurang neraka.
“Sesungguhnya ada seseorang yang berbicara dengan satu perkataan, ia tidak menganggapnya berbahaya; dengan sebab satu perkataan itu ia terhumban selama 70 tahun di dalam neraka”(HR Tirmidzi- Hadis dinilai hasan sahih)
Sesungguhnya Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik. Kita juga boleh menggunakan mana-mana nama yang lebih hampir dengan apa yang ingin diminta. Contohnya jika ingin meminta keselamatan, maka mintalah kepada Allah dengan menggunakan nama ‘Ya Salam’, manakala jika ingin meminta keampunan maka pohonlah dengan nama ‘Ya Ghaffar’.
“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu…” (Surah Al-‘Araf 7:180)

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel