≡ Menu

Hukum menyambut Tahun Baru Masihi: Mufti Wilayah


Apakah hukum menyambut Tahun Baru Masihi?

JAWAPAN:

Perkara yang selalu menjadi persoalan bagi masyarakat Malaysia khususnya yang beragama Islam, adakah Islam membenarkan sambutan sebegini ataupun tidak. Justeru dalam Irsyad al-Fatwa kali ini, ingin kami mengupas isu ini agar dapat memberikan panduan kepada kita semua. Sebelum kami menjawab pertanyaan berkenaan, suka ingin kami nyatakan beberapa fakta sejarah mengenai sambutan tahun baru.

Sejarah Sambutan Tahun Baru

Dunia merakamkan bahawa kaum yang mula-mula menyambut tahun baru sekitar 4000 tahun dahulu adalah Babylon. Mereka menjadikan sambutan ini dengan sambutan keagamaan yang dinamakan sebagai Akitu[1] yang disertakan bersamanya beberapa ritual . Sambutan ini juga mengenangkan kemenangan mistikal tuhan langit mereka, Marduk mengalahkan tuhan laut yang jahat bernama Tiamat.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

1 Januari Sebagai Tahun Baru

Permulaan kalander Roman pada asalnya hanya mempunyai 10 bulan dan 304 hari dan yang memulakannya ialah Romulus, pengasas Rom. Selepas itu, Raja Numa Pompilius telah melengkapkan kalender Roman menjadi 12 bulan dengan menambah bulan Januarius dan Februarius pada abad ke-8 sebelum masihi. Namun calendar yang sedia ada ini mengalami beberapa kekurangan dan akhirnya permasalahan ini telah diselesaikan oleh Julius Caesar dengan menghimpunkan ahli matematik dan astronomi yang terhandal pada zamannya. Dari situ, muncullah pula kalendar Julian yang mana lebih hampir penggunaannya dengan calendar moden Gregory yang mana kebanyakan manusia di seluruh dunia sedang menggunakannya pada waktu ini.

Rentetan dari perubahan tersebut, Caesar kemudiannya mengasaskan 1 Januari sebagai hari permulaan tahun yang mana antara lainnya bersempena dengan nama tuhan permulaan (God of Beginning) Rom, Janus. Pada waktu itu, masyarakat Rom menyambutnya dengan melakukan korban, bertukar-tukar hadiah dan juga menghias rumah-rumah mereka dengan menggunakan dahan dan ranting dari pohon Bay. Mereka juga mengadakan pesta liar bagi menyambut tahun baru tersebut.

Bagi masyarakat Eropah khususnya pada zaman pertengahan (Medieval), paderi-paderi menukarkan tahun baru 1 Januari kepada tarikh-tarikh yang lebih signifikan terhadap keagamaan seperti 25 Disember bersempena dengan hari kelahiran Jesus. Seterusnya pada tahun 1582, Pope Gregory yang ke-13 menukarkan kembali tarikh tahun baru kepada 1 Januari dan sehingga kini, masyarakat dunia mengguna pakai kalendar ini yang mana dikenali sebagai Kalendar Gregorian.


Hukum Menyambut Tahun Baru Masihi

Ulama’ berbeza pendapat dalam memberikan hukum terhadapt sambutan tahun baru masihi. Secara ringkasnya, ianya terbahagi kepada dua pendapat:

Pertama: Pendapat yang mengatakan haram bagi menyambut tahun baru masihi. Dalil yang digunakan adalah berdasarkan sabda Nabi SAW, dari Ibn ‘Umar R.Anhuma:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: Telah berkata Rasulullah SAW: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu”.

BACA:  5 Kesan Buruk Jika Al-Quran Tiada Dalam Jiwa Ibu Dan Bapa. Nauzubillah

Riwayat Abu Daud (4031)

Al-Imam al-San’ani Rahimahullah berkata bahawa hadis di atas menunjukkan barang siapa yang menyerupai orang-orang fasiq ataupun kafir ataupun orang yang melakukan bid’ah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka. [Subul al-Salam. Dar al-Hadis, 2/647]

Disebutkan juga pendapat lain yang mengatakan bahawa tasyabbuh itu juga berlaku dalam perkara-perkara dalaman bersifat i’tiqad, iradat (kemahuan dan kehendak) dan perkara-perkara luar dari segi perkataan, perbuatan yang boleh menjadi ibadat dan adat. [Faydh al-Qadir. Al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 6/104]

Kebiasaan sambutan tahun baru ini dimonopoli oleh golongan bukan Islam yang mana kita ketahui di dalam sambutan tersebut berlakunya perkara-perkara mungkar seperti pembaziran, meminum arak, ikhtilat, konsert nyanyian dan sebagainya. Ianya menjadi adat kebiasaan bagi golongan ini dan setiap hadirnya tahun baru, maka perkara-perkara mungkar ini akan berulang.

Berdasarkan hadith inilah, sebahagian ulama’ mengharamkan umat Islam dari menyambut dan juga menyertai majlis-majlis sambutan tahun baru yang mana pertamanya adalah meniru golongan kuffar dan yang keduanya dengan melihat perkara-perkara mungkar yang terdapat pada sambutan tersebut.

Kedua: Pendapat yang mengatakan harus bagi menyambut tahun baru. Ianya berdasarkan bahawa kalendar Gregorian yang digunakan pada masa kini, meskipun bukan ciptaan Islam, penerimaan terhadap kalendar moden ini tiada bersangkut paut dengan agama malah masyarakat awam tidak lagi mengetahui dan mengambil endah tentang asal-usulnya dan kaitannya dengan mana-mana agama. Oleh itu, penggunaan kalendar moden ini lebih kepada adat dan kebiasaan yang berlaku.

Ianya juga melihat kepada Islam yang menerima sesuatu adat setempat yang mana jika tidak bercanggah dengan syara’, maka ianya boleh diterima dan dijadikan sebagai satu hukum. Kaedah fiqhiyyah ini disebutkan sebagai:

العَادَةُ مُحَكّمَةٌ

Maksudnya: Adat (yang tidak bercanggah dengan syara’) boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan. [Lihat al-Suyuti, al-Ashbah wa al-Naza’ir. hlm.89]

Dalam satu kaedah fiqhiyyah yang lain ada menyebut:

إِنّما تُعْتَبَرُ العادَةَ إِذَا اطَّرَدَت أَو غَلَبَت

Maksudnya: Sesungguhnya (sesuatu itu) diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan atau dilakukan oleh majoriti.[Lihat Ali Ahmad al-Nadwi, Al-Qawa’id al-Fiqhiyyah. Hlm. 65]

Sambutan ini, meskipun hukumnya diharuskan, namun perlulah diberikan garis panduan yang sewajarnya agar tidak berlaku perkara-perkara kemungkaran. Antara yang perlu diberikan perhatian adalah seperti berikut:

Sambutan Tahun Baru mestilah disambut dengan asas ianya adalah uruf dan adat kebiasaan dan bukannya dianggap sebagai upacara keagamaan.Tidak berlaku percampuran di antara lelaki dan perempuan.Tidak dihidangkan arak dalam majlis sambutan tersebut.Tidak diadakan program-program yang melalaikan dan sebagai satu inisiatif yang lain, pihak penganjur perlulah memikirkan program-program yang baik dan dapat mendidik jiwa masyarakat yang menyertai sambutan tersebut.Tidak berlakunya pembaziran.

BACA:  Benarkah Kolestrol Yang Tinggi Menjadi Penyebab Darah Membeku? Baca Penjelasan Doktor

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Setelah melihat hujahan dari kedua-dua belah pihak dan pendapat mereka, kami lebih cenderung kepada keharusan untuk menyambut tahun baru namun perlu mengikut dhawabit yang telah ditetapkan.

Saya tertarik dengan satu pendapat yang telah dikemukakan oleh Syeikh Abdullah bin Bayyah Hafizahullah, antara lain menyebut:

“Memperingati hari-hari bersejarah tertentu bukanlah satu hari raya yang berbentuk keagamaan. Ia hanyalah satu sistem duniawi yang digunakan untuk tujuan memperingati dan mengambil pengajaran daripada sejarah serta bersyukur dengan nikmat Allah. Bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram. Tidak. Yang haram adalah menurut mereka dengan niat (al-tashabbuh) bukannya semata-mata wujud persamaan (al-mushābahah) Abū Yūsuf pernah disoal tentang pemakaian selipar yang sama dengan selipar agama orang Kristian. Beliau menjawab: Nabi Muhammad pernah memakai selipar yang berbulu yang menyerupai golongan rahib. Maknanya al-mushābahah tidak sama dengan al-tashabbuh. Nabi tidak memakai selipar itu dengan niat untuk menyerupai mereka, bahkan ia hanyalah satu bentuk persamaan biasa sahaja,”

Justeru, dalam kita menyambut Tahun Baru, marilah sama-sama kita mengubah ke arah yang lebih baik dalam lainnya dengan menghadirkan diri ke masjid dan kelas-kelas pengajian agama untuk belajar tentang solat, berzikir bersolat dan berdoa serta bermunajat agar tahun baru yang mendatang ini lebih diberkati dan juga sebagai titik perubahan buat kita ke arah yang lebih baik. Elakkan sama sekali aktiviti-aktiviti yang membazirkan masa, maksiat dan juga meniru cara orang-orang yang lalai ketika menyambut tahun baru. Ingatlah bahawasanya waktu yang kita miliki ini amat terhad dan terbatas. Marilah kita isikannya dengan perkara-perkara dan perbuatan-perbuatan yang akan dipahalakan oleh Allah SWT dalam mizan hasanat kita kelak. Ingatlah juga firman Allah SWT:

يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٞ وَلَا بَنُونَ إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٖ سَلِيمٖ

Maksudnya: “Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,”Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);

(Al-Syu’ara’: 88-89)

Saya berdoa kepada Allah SWT semoga tahun baru ini dapat memberikan sinar bahagia dan menghilangkan kabus kesusahan dalam kehidupan kita dan seterusnya kita sentiasa berada rahmat, taufik, hidayah dan inayah-Nya.

Akhukum fillah,

S.S. Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber: muftiwp.gov.my

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel