Soalan:
Asalamualaikum tuan. Apakah hukum memakan buah-buahan yang hidup di tanah perkuburan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.
Umum mendapati kawasan perkuburan Islam di Malaysia, terutama di kampung-kampung, ditanam pohon buah-buahan. Timbul isu, milik siapakah buah-buahan itu dan apakah hukum jika seseorang memakan buah-buahan yang tumbuh di atas tanah perkuburan ini?
Kami menyatakan di sini terdapat hukum bagi dua situasi:
Pertama, hukum memakan buah-buahan daripada pohon yang ditanam dalam kawasan perkuburan wakaf am adalah harus. Ini seperti mana yang dinyatakan oleh Syeikh Zainuddin al-Malibari dalam Fath al-Mu`in:
ثمر الشجر النابت بالمقبرة المباحة مباح وصرفه لمصالحها أولى
Maksudnya: “Buah daripada pokok yang tumbuh di perkuburan yang diharuskan (yakni berstatus waqaf atau disabilkan bagi tujuan perkuburan orang Islam) adalah harus (halal memakannya) dan jika ditasarrufkan (dibelanjakan) untuk keperluan kubur adalah lebih utama.”
Keduanya, jika pohon buah itu berada di tanah perkuburan persendirian seperti tanah perkuburan diraja, dan keluarga tertentu, yang bukan daripada tanah wakaf atau tanah sabil, maka hasil daripada tanaman ini adalah kepunyaan kaum pemilik tanah kubur tersebut. Orang awam dilarang dari mengambil hasil tersebut, kecuali dengan izin pemilik tanah, dan jika diambil maka wajib baginya untuk mengantikan apa yang telah diambil. Fakta ini disebut oleh Syeikh Abu Bakar al-Dimyati apabila mengulas ibarat dalam Fath al-Mu`in di atas:
وخرج بها: المملوكة، فإن ثمر الشجر النابت فيها مملوك أيضا، وقوله مباح، خبر ثمر، أي فيجوز لكل أحد الأكل منه
Maksudnya: “Terkeluar daripada keharusan itu adalah tanah yang dimiliki orang (bukan wakaf dan sabil). Namun jika buah daripada pohon yang ditanam di perkuburan persendirian itu diharuskan makan oleh pemiliknya, maka diharuskan (halal) juga bagi sesiapa yang ingin memakanya.”
Rujuk I`anah al-Talibin (3/261)
Justeru, jika sekirannya pemilik tanah mengizinkan dan membiarkan pokok berkenaan untuk dimanfaatkan oleh orang ramai maka itu maka itu lebih baik kerana ia boleh menjadi amalan yang menganjarkan pahala yang berterusan sehingga hari akhirat.
Daripada Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: “Apabila meninggal seorang itu maka akan terputus amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kepadanya.”
Hadis riwayat Muslim (no.1631)
Daripada Jabir RA, sabda Baginda lagi:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا، أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا، فَيَأْكُلُ مِنْهُ طَيْرٌ أَوْ إِنْسَانٌ أَوْ بَهِيمَةٌ، إِلاَّ كَانَ لَهُ بِهِ صَدَقَةٌ
Maksudnya: “Tidaklah seorang muslim yang menanam tanaman atau menabur benih lalu (hasilnya) dimakan oleh manusia, burung atau binatang ternak melainkan hal tersebut menjadi sedekah baginya.”
Hadis riwayat Bukhari (no.2320
Boleh juga pahala sedekah daripada manfaat yang diperoleh daripada tersebut disedekahkan kepada ibu bapa atau waris yang telah meninggal dunia.
Seorang sahabat Nabi SAW, Sa’ad bin ‘Ubadah RA telah kematian ibunya lalu dia bertanya kepada Rasulullah, “Wahay Rasulallah! Sesungguhnya ibuku meninggal dunia dan aku tidak bersamanya. Apakah bermanfaat baginya apabila aku menyedekahkan sesuatu atas namanya?” Sabda Rasulullah SAW: “Ya.” Sa`ad berkata, “Sesungguhnya aku menjadikan engkau saksi bahwa kebunku yang berbuah itu menjadi sedekah atas nama ibuku.
Hadis riwayat Bukhari (no. 2756)
Justeru, dihalalkan untuk orang ramai memakan buah-buahan yang tumbuh kawasan perkuburan awam. Manakala, di kawasan perkuburan persendirian, ia tertakluk kepada kebenaran pemilik tanah. Semoga penjelasan ini dapat menghilangkan kekeliruan yang timbul.
WallahuA’lam.
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel