Kisah ini berlaku di zaman Imam Abu Hanifah masih kecil iaitu ketika usianya sekitar 7 tahun. Pada waktu itu ada seorang ulama yang memiliki ilmu yang sangat tinggi, hebat dan tiada tandingannya yang bernama Dahriyah.
Seluruh Ulama pada waktu itu tidak ada yang mampu menandingi Dahriyah ketika berdebat, terutamanya dalam bab Ilmu Tauhid. Dahriyah juga manusia biasa macam kita. Tanpa sedar muncul sifat angkuh dan sombong hinggakan akhirnya dengan berani mengatakan bahawa ALLAH SWT itu tidak ada.
KISAH IMAM ABU HANIFAH
Sayangnya pada ketika itu tidak ada dikalangan Ulama yang mampu mengalahkan dia dalam berdebat secara fakta dan ilmiah. Sehinggakan pada satu pagi ketika para Ulama berhimpun di suatu Majlis milik Syaikh Himad, iaitu guru kepada Imam Abu Hanifah yang ketika itu beliau masih kecil hadir juga di majlis itu.
Imam Abu Hanifah
Dahriyah juga hadir dalam majlis tersebut dan tanpa rasa malu, beliau naik ke mimbar lalu berkata dengan sombong dan angkuh:
“Siapakah di antara kalian wahai para Ulama yang akan sanggup menjawab pertanyaanku?”
Suasana menjadi senyap-sunyi, semua hadirin diam selepas mendengar pertanyaan itu. Tiba-tiba berdirilah seorang kanak-kanak (Imam Abu Hanifah) lalu berkata:
“Apakah yang tuan cakap ini? Maka barang siapa tahu pasti mereka akan menjawab pertanyaanmu”.
APAKAH YANG BERLAKU SETERUSNYA?
Dahriyah: Siapa kamu wahai budak hingusan? Berani kamu berkata-kata denganku. Tidakkah kamu tahu, bahawa yan tua-tua, berserban besar, para pegawai kerajaan dan pemilik jubah kebesaran, kesemua dikalangan mereka kalah dan diam mendengar pertanyaan dariku?. Inikan kamu masih budak hingusan berani menentangku!
Abu Hanifah: ALLAH tidak menyimpan kemuliaan dan keagungan kepada pemilik serban yang besar, para pegawai kerajaan dan para pembesar, tetapi kemuliaan hanya diberikan kepada Al-Ulama.
Dahriyah: Apakah kamu yang akan menjawab pertanyanku?
Abu Hanifah: Ya! Saya akan menjawab pertanyaan kamu dengan taufiq ALLAH.
Mendengar jawapan kanak-kanak tersebut, Dahriyah memulakan pertanyaanya yang dianggap akan memberikan masalah kepada kanak-kanak tersebut.
Dahriyyah: Apakah ALLAH itu ada?
Abu Hanifah: Ya, ada.
Dahriyah: Jika Allah itu ada, beritahuku dimanakah Dia?
Abu Hanifah: DIA (Allah), tiada tempat bagi DIA.
Dahriyyah: Bagaimana kamu mengatakan ada sedangkan DIA tidak bertempat?
Abu Hanifah: Dalilnya ada di badan kamu iaitu Ruh. Saya tanya, kalau kamu yakin Ruh itu ada, maka di mana tempatnya? Adakah ia berada di kepalamu, di perutmu atau di kakimu?
Ketika ini Dahriyah terdiam seribu bahasa dengan rasa malu.
Lalu Abu Hanifah minta segelas susu daripada gurunya iaitu Syaikh Himad lalu bertanya kepada Dahriyah.
Abu Hanifah: Apakah kamu yakin di dalam susu ini ada rasa manisnya?
Dahriyah: Ya! Aku yakin di susu itu ada manisnya.
Abu Hanifah: Kalau kamu yakin ada manisnya, Apakah rasa manis itu ada di bahagian bawah, tengah, atau di bahagian atas?
Dahriyah tidak dapat menjawab soalan ini dan diam serta malu.
Abu Hanifah: Seperti Ruh atau MANIS yang tidak memiliki tempat, maka seperti itu juga tidak akan ditemukan bagi ALLAH tempat di Alam ini, baik di Arsy atau di Dunia ini.
Dahriyah masih tidak berpuas hati lalu bertanya lagi: Sebelum ALLAH itu apa dan setelah ALLAH itu apa?
Abu Hanifah: Tidak ada apa-apa sebelum ALLAH dan sesudahnya tidak ada apa-apa.
Dahriyah: Boleh kamu jelaskan tentang sebelum dan sesudahnya itu tidak ada apa-apa?
Abu Hanifah: Dalilnya ada di jari tangan kamu. Antara ibu jari dengan jari kelinking, yang mana dulu? Adakah ibu jari atau jari kelinking yang dijadikan dahulu? Demikianlah sifat ALLAH. Ada sebelum semuanya ada dan tetap ada bila semuanya tiada. Itulah maksudnya kalimah ADA bagi Hak ALLAH.
Dahriyah bertambah malu, namun dia bertanya lagi:
Satu lagi pertanyaanku, apakah yang ALLAH buat sekarang?
Abu Hanifah: Kamu telah membalikkan fakta, seharusnya yang bertanya itu di bawah mimbar dan yang ditanya itu harus berada di atas mimbar.
Akhirnya Dahriyah turun dari mimbar dan Abu Hanifah naik ke atas mimbar.
Dahriyah: Baik, Apakah yang ALLAH buat sekarang?
Abu Hanifah: Jika kamu mahu tahu, apa yang ALLAH buat sekarang adalah menjatuhkan orang yang sesat dan sombong seperti kamu ke bawah jurang Neraka dan menaikkan yang benar seperti aku ke atas mimbar keagungan.
Kesimpulan
Maha Suci ALLAH yang telah menyelamatkan keyakinan Islam melalui seorang anak kecil ini yang dikenali sebagai Imam Abu Hanifah.
Mudah-mudahan kisah Imam Abu Hanifah ini boleh dijadikan teladan dan menjauhkan kita semua dari sifat-sifat megah, riak, sombong, angkuh, suka merendahkan orang lain, sentiasa berburuk sangka, takabbur dan zalim.
Sebagai orang tua, pemimpin, guru jangan kita anggap yang di bawah kita adalah tidak mampu untuk melebihi kita dalam apa jua termasuk ilmu pengetahuan. Semoga bermanfaat untuk semua. Aamiin.
Rujukan – Dikutip dari Kitab _Fathul Majid_, Syekh Muhammad Nawawi bin Umar Al-Jawi Asy-Syafi’i; والله اعلم
Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel